April 8, 2011

Tubuh Cawangan Balakong Jaya Perkukuh Kedudukan

Balakong, 29 Rabiul Akhir = 03 April (Ahad):

Hasrat bagi menambahkan cawangan di Balakong yang dianggap sebagai kubu kuat Umno telah lama dibincangkan. Ianya bermula dengan penambahan Pasti di sini beberapa bulan yang lalu. Berikutnya dengan usaha Tuan Haji Hasan Basri Pemilik Pasti dan Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan Pas Serdang serta kawan-kawan dapat dilakukan penubuhan cawangan di sini. Maka Jawatankuasa Penaja dilantik dengan Tuan Haji Razali bin Mat Dali ahli Pas Veteran dilantik sebagai Ketua. Penubuhan cawangan di sini penting kerana ianya menjadi markas dan induk bagi segala kegiatan dilakukan di kawasan Balakong Jaya. Dengan penubuhan cawangan di sini juga memperkukuhkan Pas dan Pakatan di kawasan ini.

Hari ini adalah merupakan Hari Perasmian Penubuhan bertempat di Dewan Orang Ramai Balakong Jaya. Bagi memeriahkan perasmian turut dijemput sama hadir YB sdri. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Tuan Syed Idrus Wafa bin Al-Syed Munir Wafa yang dilantik sebagai Setiausaha Cawangan, Tuan Haji Rushdi, jawatankuasa-jawatankuasa dan ahli-ahli Pas, DAP dan Keadilan.

Dalam ucapannya Tuan Haji Razali bin Mat Dali menyebutkan bahawa, ``Selama ini ahli Pas bersendirian di Balakong Jaya bergerak secara senyap dan diam. Dengan adanya cawangan di sini kami mempunyai tempat dan peluang untuk bergerak. Menurut Tuan Haji Razali, ``Kami akan berusaha untuk meramaikan ahli cawangan di sini dan mengadakan berbagai-bagai kegiatan.``

YB Teo Nie Ching dalam ucapannya berterima kasih dijemput ke Majlis Yang Bersifat Kepartian. Ini bermakna hubungan antara Pas dan DAP di kawasan Serdang amat rapat hingga di Majlis parti juga kami dijemput. Memang menurut YB Teo, `` Selama ini kami banyak mengadakan kegiatan, khususnya yang bersifat kemasyarakatan secara bersama. Saya percaya kata YB Teo, ``Dengan penubuhan Cawangan Pas di Balakong Jaya, bukan saja mengukuhkan kedudukan Pas di Balakong Jaya, bahkan mengukuhkan kedudukan DAP di dalam Pakatan. Beliau berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya sebarang kegiatan yang akan dilakukan oleh Pas Kawasan Balakong Jaya.``

YB Dr. Shafie Abu Bakar selaku YDP Pas Serdang bersyukur kepada Allah, akhirnya sebuah cawangan baru, iaitu Balakong Jaya dapat ditubuihkan, Beliau berterima kasih di atas usaha berbagai pihak seperti Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan Serdang bersama AJKnya, Tuan Haji Hasan Basri pemilik Pasti di sini yang melalui Pastinya pertemuan-pertemuan awal dapat diadakan, seterusnya semua AJK yang membawa tertubuhnya Cawangan di sini.

Menurutnya dengan tertubuhnya cawangan di sini target untuk menubuhkan cawangan di Serdang 50 cawangan hampir tercapai. Cawangan terbaru adalah merupakan cawangan ke 47. Kata Dr. Shafie, ``Sebelum tertubuh cawangan di sini, kita sering turun di kawasan ini di dalam program-program kebajikan, sambutan-sambutan, kegiatan Ramadhan, hariraya dan sukan. Namun tidak melalui cawangan, kerana belum ada cawangan. Diharap dengan adanya cawangan kita akan adakan kegiatan-kegiatan melalui cawangan dengan kerjasama persatuan dan institusi setempat. Beliau mengharapkan cawangan mengatur program-program. Dr. Shafie memaklumkan, ramai penduduk di sini, khususnya dari kalangan pengundi Melayu tidak mendaftar mengundi di sini sebaliknya mendaftar di kampong, walaupun sudah mempunyai kediaman tetap di sini. Dr Shafie berharap, mereka yang menetap di sini dan mencari punca rezeki di sini dapat mendaftar mengundi di sini. Ini bermakna kita mengambil bahagian di dalam menentukan pengundian di sini, kitalah sepatutnya menentukan kepimpinan dan corak kehidupan kita di sini.

Pada akhir majlis, Dr. Shafie selaku YDP Pas Serdang menerima penyerahan borang-borang keahlian Cawangan Balakong Jaya dari Ketua Penaja Cawangan Tuan Haji Razali Mat Dali. Beliau juga menyampaikan sumbangan kepada 10 orang warga mas dan mereka yang miskin.

Sekian.

No comments:

Post a Comment