April 1, 2011

Tilawah Al-Qur`an Peringkat Hulu Langat: Memilih Wakil

Masjid Kajang, 20 Rabiul Akhir = 25 Mac (Jumaat):

Adun Bangi hadir ke Masjid di atas mulai dari berjamaah Maghrib bagi menunaikan jemputan bagi merasmikan Majlis Tilawah pada peringkat Hulu Langat bagi memilih wakil ke peringkat negeri. Pada masa ini berlangsung Festival Maulid Ar-Rasul yang berterusan selama seminggu. Sebab itu ruang dihadapan masjid dipenuhi khemah-khemah pameran dan perniagaan. Sebuah pentas juga dibina. Majlis Tilawah bermula selepas solat Isyak. Majlis pembukaan dihadiri antaranya YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, En. Zulkifli Ketua Timbalan Pegawai Daerah yang mewakili Pegawai Daerah, Tuan Haji Mughni Pegawai Tadbir Pejabat Agama Daerah Hulu Langat, Tuan Haji Hanafi Nazir Masjid Kajang, saudara Azmi, jemputan-jemputan dan orang ramai.

Sebagai Pengerusi Tilawah dalam ucapan alu-aluannya, Tuan Haji Mughni melahirkan dukacita kerana sambutan terhadap Tilawah agak dingin, walaupun maklumat disampaikan melalui ketua kampong, masjid dan surau. Beliau yang baru bertukar dan bertugas di sini berharap pada masa akan datang sambutan lebih baik akan didapati dari kawasan Hulu Langat.

Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya berharap mutu bacaan pada tahun ini bertambah baik. Menurut Adun, beliau difahamkan calon dari Hulu Langat dapat mewakili negeri pada tahun lepas. Pada tahun ini kita berharap dapat menghantar calon yang lebih baik dan berharap mewakili Negara. Seramai 8 orang calon telah disaring bagi tilawah pada peringkat akhir di daerah malam ini.

Menurut Adun kita mewarisi dalam Islam dua perkara penting, iaitu Tradisi Iqra` berdasarkan ayat Qur`an pertama diturunkan yang berkait dengan tilawah dan Tradisi Al-Kitab berdasarkan ayat kedua di dalam Surah Al-Baqarah ( Itulah KITAB yang tidak disangsi lagi memberi pertunjuk kepada yang bertaqwa). Budaya mempelajari al-Qur`an sesungguhnya melahirkan peradaban cemerlang dalam Islam. Tradisi tilawah `IQRA`berkembang melalui Kaedah Membaca (Iqra`) dan menghafal – termasuk TILAWAH, pengajian tahfiz., khutbah, tazkirah, bahkan bacaan terbawa di dalam tafsir dan pengajaran. Pada malam ini melalui tilawah kita meneruskan budaya membaca. Pembacaan yang betul menentukan sah atau tidak ibadat kita (Solat).

Satu lagi budaya ialah melalui konsep `AL-KITAB`, melalui memahaminya secara mendalam yang darinya tercetus kesedaran ilmu dan membawa kepada kajian dan melahirkan berbagai-bagai ilmu pengetahuan sama ada bersifat agama atau sains. Penglahiran keilmuanlah yang memajukan peradaban Islam, bahkan peradaban manusia. Kedua-dua pendekatan pembacaan dan kajian `Al-Kitab` memajukan manusia. Kita berharap tradisi membaca dan tradisi mengkaji – al-Kitab, seiring terus berlaku. Pada malam ini kita sebenarnya melanjutkan tradisi tilawah yang menjadi ciri pembacaan al-Qur`an yang bukan saja setakat membaca, tetapi melibatkan kesempurnaan ibadat.

Keputusan tilawah pada malam itu:

Johan Lelaki: Encik Mohamad Hafiz bin Mohamad Foizi
Naib Johan: Ahmad Rashid bin Abu Bakar

Johan Perempuan; Puan Norfaezah binti Panut
Naib Johan: PUAN Sharifah Jamilah bt. Syed Mohamad

Sekian.

No comments:

Post a Comment