March 12, 2011

Menyerahkan Lesen Diperbaharui Kepada Peniaga Pasar Malam

Pekan Bangi, 05 Rabiul Akhir = 10 Mac (Khamis):

Petang ini turun ke Pasar Malam Pekan Bangi bersama Ketua Kampung Tuan Haji Zakaria Bujang, Tuan Haji Sukaimi Rasmi, sdr. Md. Roslan bin Ab. Manap dan beberapa yang lain menyampaikan lesen-lesen perniagaan Pasar Malam yang diperbaharui oleh MPKj untuk tempoh setahun.

Jumlah peniaga-peniaga pasar malam di Pekan Bangi yang berniaga setiap petang Khamis di sini ialah seramai 200 orang. Pasar malam di sini antara pasar malam yang maju dan dikunjungi oleh ramai pembeli. Tujuan dikeluarkan lesen ialah untuk mendaftar peniaga-peniaga berkenaan dan dikenalpasti, agar peniaga-peniaga tidak berlesen tidak menceroboh dan berniaga di pasar malam berkenaan. Lesen berkenaan bersampul plastic, kalis air dan tahan serta bergambar untuk dipamerkan oleh peniaga-peniaga semasa berniaga.


Ia juga bertujuan untuk mengelak dari peniaga-peniaga menjual tapaknya kepada peniaga-peniaga yang lain atau mengalibaba – contoh kepada peniaga-peniaga Indonesia dan sebagainya. Lesen-lesen dikeluarkan bagi pelbagai jenis perniagaan yang dikawal jumlah hingga hampir semua keperluan dapur dan keperluan harian boleh dapat di pasar malam. Lesen juga dikeluarkan kepada pelbagai kaum.

Bayaran lesen yang dikenakan oleh MPKj amatlah murah, hanya RM10/= sahaja untuk tempoh setahun. Tetapi bayaran harian berniaga (petang Khamis) RM5.00 bagi satu tapak. Ini adalah merupakan bayaran membersih kepada pekerja-pekerja dan RM2.00 daripadanya adalah bayaran pengurusan kepada MPKj. Bayaran berkenaan tidak dilakukan secara sewenang-wenang oleh pihak AJK & Pengurusan, tetapi ditentu dan diluluskan oleh pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan dan diselaraskan kepada semua tempat.

Untuk mengelak dari mengganggu peniaga dari berniaga dan bertujuan untuk berkenalan dengan mereka Ketua Kampong dan AJK membawa Adun bersalam dan berkenalan dengan peniaga-peniaga dan menyerahkan lesen kepada yang berkenaan. Dari tinjauan Adun kedudukan susunatur perniagaan yang dibuat oleh AJK adalah baik dan dari pertanyaan yang dibuat terhadap peniaga-peniaga mereka adalah berpuashati dengan pentadbiran dan peraturan yang dibuat. Nampak keceriaan pada wajah-wajah peniaga dengan pengunjung yang datang bertaliarus membeli belah.



Pada petang ini Adun hanya menyampaikan sebahagian daripada lesen-lesen yang telah disiapkan oleh pihak MPKj dan sebahagian yang lain akan disampaikan oleh AJK.

Sekian.

No comments:

Post a Comment