February 11, 2011

UNISEL Jangan Sekadar `Universiti-Universitian`

BBB, 07 Rabiul Awwal = 10 Februari (Khamis):


Sebagaimana dimaklumkan melalui media, bahawa UNISEL akan menjenamakan dirinya dan sekaligus menukarkan nama universiti itu dari Universiti Industri Selangor (UNISEL) kepada Universiti Selangor (Akronimnya tetap sama UNISEL). Penjenamaan ini mengingatkan kita kepada apa yang berlaku pada masa UPM di bawah Naib Canselornya Tan Sri Profesor Jalaluddin yang mencadangkan dan mengubahkan nama Universiti Pertanian Malaysia (UPM) kepada Universiti Putera Malaysia (Akronimnya juga tetap sama UPM). Penjenamaan baru dijangka membawa misi perubahan yang lebih dinamik sesuai dengan kehadiran abad ke 21. Namun walaupun dengan nama Universiti Putera Malaysia, orang lebih membuat telahan, bahawa keinginan merubah nama universiti itu kepada Universiti Putera, sempena Putera kepimpinan Negara yang merujuk kepada Tengku Abdul Rahman, orang lebih membuat telahan, bahawa ada anggapan UPM atas nama Universiti Pertanian Malaysia ada semacam membawa imej kurang maju, keterbelakangan dan ketinggalan lantaran pertanian bersifat rural dan agrari dan tidak bersifat moden dan kontemporari. Barangkali pentadbir yang menukarkan nama universiti itu melihat universiti-universiti seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia lebih luas cakupan dan ruang lingkup serta kepelbagaian bidang kursus dapat ditawarkan, lantas dilihat lebih terkehadapan dan dinamaik serta lebih menarik pelajar dalam dan luar Negara melamar untuk belajar, lantas bertukarlah nama Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putera yang dilihat lebih patriotik, terbuka dan dapat diperluaskan cakupannya. Namun hingga kini imej Universiti Pertanian yang terkenal sebagai salah sebuah Universiti Pertanian terbaik di dunia tetap kekal dan kita lebih selesa dan menghormatinya sebagai sebuah Universiti Pertanian Malaysia.

Sifat melihat kebaikan pada orang lain dan tidak menyedari tentang keistimewaan diri dan bersyukur, lantas bersifat mengikut dan duplikasi dengan universiti lain berlaku. Misalnya di UPM diwujudkan fakulti Sastera dengan pengajian bahasa dan sebagainya. Sedangkan kekuatan pengajian sedemikian berada di Universiti Malaya, UKM dan USM. Bagi yang mahu mengkhusus dalam bidang bahasa dan sastera tentu memilih antara tiga universiti ini. Begitulah dengan bidang-bidang yang bersifat duplikasi yang kekuatannya berada pada universiti-universiti yang lain. Seharusnya UPM memperkukuhkan kedudukannya di dalam bidang Sains Pertanian yang ruang lingkupnya begitu luas dan peranan bagi memajukan bidang berkenaan dan memajukan negera di dalam bidang pertanian amat luas.

Apakah UNISEL juga bersifat terikut-ikut dan didorong oleh motif yang sama? Tetapi pola dan imej antara UPM dengan UNISEL tidak sama. UPM sudah lama dan begitu menonjol, sedangkan UNISEL relatifnya amat baru, usianya baru 10 tahun. UNISEL belum mencipta nama. Ketokohan kepimpinan dalam bidang akademik dan kepimpinan tidak dikenali sebagai terkenalnya misalnya Profesor Ungku Aziz di Universiti Malaya dan Profesor (al-Marhum) Ahmad Ibrahim di UIAM. Nama Universiti Industri Selangor adalah identik dan sesuai dengan negeri Selangor yang maju dan terkehadapan di dalam bidang industri berbanding dengan negeri-negeri yang lain dan bidang ini amat luas untuk diteroka untuk kepentingan negeri Selangor dan juga negara Malaysia.

Lagi pula dengan memberi nama Universiti Selangor secara umum kurang wajar kerana pada masa hadapan akan lahir lagi universiti-universiti lain di Selangor yang boleh dipanggil sebagai Universiti Selangor. Lantas mengapa mahu ditukar atau dalam bahasa yang lebih ilmiah menjenamakannya semula dengan perubahan nama? Adakah kerana melihat pada nama institusi-institusi pengajian tinggi yang lain lebih baik dan luas cakupannya, lantas mahu diubah agar bidang dan cakupan serta kekuatan pada institusi yang lain mahu diikuti dan diekori? Kalau ada sifat sedemikian, misalnya melihat UITM kuat dalam bidang perundangan, maka UNISEL juga mahu buka bidang perundangan, melihat Universiti Lim Kok Weng maju dalam bidang seni, maka UNISEL mahu menawarkan bidang berkenaan, jika demikian UNISEL tak ke mana. UNISEL seharusnya membina kekuatan di dalam bidang yang bakal mengidentitikannya dengan Industri. Dalam keadaan sekarang orang lebih melihat pelarian UNISEL dari skop asal lebih kepada kelemahan UNISEL sendiri di dalam membina imejnya sebagai Universiti Industri. Banyak pendekatan yang dapat dibuat bagi pembinaan imej UNISEL sebagai Universiti Industri yang belum diteroka, menyebabkan UNISEL sebagai Universiti Industri masih belum dikenali, jauh dari terkenal sebagai Universiti Industri. UNISEL jangan bersifat ikut-ikutan dan jangan sekali-kali bersifat cacamurbi. Di dalam hal ini penulis masih teringat pada kata-kata Profesor Sutan Takdir Ali Shahbana seorang ahli filosof dan akademik yang mengkagumi barat – terutama German sehingga beliau pun berkahwin dengan wanita German. Beliau dijemput ke UKM sekitar 1980an sebagai Profesor Pelawat Istimewa UKM. Dalam satu seminar yang disampaikan beliau di UKM beliau menyebut:

``Janganlah mengikut orang bina universiti, kita pun turut mahu bina universiti. Sedangkan kekuatan universiti dan dihormati adalah dengan kekuatan dan mutu ilmiah, sedangkan kita sekadar universiti-universitian. Pelajar sebuah universiti tekun di dalam pengajian sedangkan pelajar bersifat universiti-universitian lebih berkogeran dari pengajian.``

Sekian.

No comments:

Post a Comment