February 17, 2011

Sungai Ramal Dalam Mempunyai Pejabat Sendiri

Sungai Ramal Dalam. 11 Rabiul Awwal = 14 Februari (Isnin):


Cawangan Sungai Ramal Dalam diluluskan penubuhannya pada 15.07 1995. Sejak penubuhannya cawangan ini bergerak dari rumah Ustazah Hindun Lidin di Bukit Radhi sebagai Markas yang beliau juga adalah Ketua Muslimat Pas Serdang (Sebelumnya terletak di bawah Kawasan Puchong). Ustazah dibantu antaranya oleh Ustaz Radhi yang juga suaminya, Wak Kassim (al-Marhum) dan golongan Pemuda, muslimat dan Nisa`. Kini sejak mesyuarat agung terakhir 2009 cawangan Sungai Ramal Dalam di bawah kepimpinan Ustaz Asnawi Haji Hassan.


Sempena dengan Program YB Masuk Kampong terserlah kepimpinan dinamik tempatan yang menggerakkan Program YB Masuk Kampong, khususnya di bawah kepimpinan Ustaz Asnawi Haji Hassan. Beliau dibantu oleh tenaga-tenaga aktif seperti isterinya yang memimpin muslimat, Dr. Idris, saudara Zainal Alam, Haji Muhammad dan wujudnya kelompok pemuda setempat.


Lebih menggembirakan sempena dengan YB Masuk Kampong Markas bagi Pas Cawangan Sungai Ramal Dalam diwujudkan hasil dari kemurahan hati Ustaz Haji Asnawi yang menggunakan rumah miliknya di sini menjadi Markas Pas Sungai Ramal Dalam. Maka majlis yang diadakan pada malam ini bertujuan merasmikan Markas Sungai Ramal Dalam di sini. Hadir pada malam ini Saudara Khairuddin Haji Othman selaku Setia PAS Negeri Selangor, ahli-ahli dan penduduk setempat.


Dalam ucapan alu-aluan Ustaz Asnawi melahirkan kesyukuran kepada Allah, kerana melalui markas yang dirasmikan malam ini, ahli-ahli Pas di Sungai Ramal Dalam mempunyai tempat untuk bergiat. Menurutnya melalui markas ini akan diadakan usrah, tazkirah, ceramah, iftar jama`I, gerak kerja penculaan dan pendaftaran ahli. Juga tempat kunjungan pemimpin tempatan, kawasan dan negeri, bahkan pusat.


ADUN Bangi yang berucap melahirkan syukur kepada Allah dengan adanya Markas Pas Sungai Ramal Dalam. Beliau berharap Sungai Ramal Dalam yang bekerjasama rapat dengan Cawangan Surada akan menjadi cawangan terkuat di Serdang. Markas di sini juga menjadi sumber maklumat bagi kegiatan parti, menyampaikan maklumat pakej tawaran oleh kerajaan Negeri Selangor yang ternyata belum begitu diketahui oleh penduduk. Beliau bersyukur kepada Allah selama lima hari ADUN masuk Kampong ke Sungai Ramal Dalam baru-baru ini mendapat sokongan dan dokongan yang erat dari semua pihak. Program ini mendekatkan diri dengan masyarakat, menyelami hati budi dan mengetahui masalah mereka dari dekat. Beliau berharap kegiatan susulan dan tindakan akan terus dilakukan baik oleh pihak AJK ADUN dan juga pihak pimpinan setempat.


Saudara Khairuddin bin Haji Othman selaku Setiausaha Pas Selangor mengimbau Bangi semasa sebahagian dari DUN Kajang di bawah Parlimen Hulu Langat dan peristiwa-peristiwa yang beliau terlibat seperti Surau Jubli Perak diruntuhkan, di Seksyen 4 di Bandar Baru Bangi. Beliau mau Bangi terus mendapat sokongan rakyat berbagai kaum dan mengukuhkan kedudukan Pas di negeri Selangor. Beliau juga menggalurkan perjuangan Pas dari pasca merdeka hingga terkini.


Puncak dari majlis pada malam itu, ialah penyampaian sijil-sijil keahlian kepada ahli-ahli baru di Cawangan Sungai Ramal Dalam oleh ADUN Bangi dan Perasmian Bangunan Cawangan Pas Sungai Ramal Dalam oleh saudara Khairuddin Haji Othman selaku Setiausaha Pas Negeri Selangor.


Sekian.

No comments:

Post a Comment