February 23, 2011

Memesrai Golongan Remaja

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 17 Rabiul Awwal = 20 Februari (Ahad):

Golongan remaja amat penting untuk dididik sebagai pelapis generasi pada masa hadapan di dalam apa jua bidang – termasuklah sebagai pelapis kepimpinan akan datang. Pihak Khidmat Masyarakat ADUN Bangi mendekati mereka di dalam berbagai cara. Antaranya mengadakan berbagai insentip pelajaran, kerohanian dan mendekati mereka di dalam bidang sukan. Semuanya dengan tujuan memperkembangkan mental, rohani dan fizikal mereka. Terbaik program yang diadakan untuk mereka dikendalikan oleh `peers` yang sebaya dengan mereka agar mereka tidak terasa jurang yang memisahkan antara mereka dan merasa sebahagian dari mereka.


Demikianlah di dalam bidang sukan banyak jenis sukan yang didekati sesuai dengan aktiviti dan masa yang dianjurkan. Salah satu jenis sukan yang amat digemari golongan remaja – termasuk juga dilibati oleh sebahagian yang agak sudah tua, ialah `Futsal`. Sambutan dan keterlibatan hebat golongan remaja di dalam permainan futsal menyebabkan padang futsal tumbuh bagai cendawan. Di sekitar Bandar Baru Bangi terdapat beberapa padang futsal (di dalam bangunan) yang standard yang dirikan oleh agensi kerajaan dan juga oleh pihak swasta. Misalnya padang sedemikian terdapat di Kompleks Sukan, Seksyen 15 BBB, seksyen Satu BBB (padang terbuka), Seksyen 13 di kawasan industri BBB, Pinggir Sungai Ramal Dalam, Sungai Tangkas dan padang-padang terbuka di kawasan-kawasan perumahan. Sewa bagi padang-padang ini agak tinggi mencecah RM90.00 sejam pada waktu-waktu utama misalnya pada malam-malam minggu dan hari tidak bekerja, manakala pada siang hari turun bayaran sebanyak RM60.00 sejam.

Pihak Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Bangi, selain mengadakan acara khusus pertandingan futsal di kalangan remaja, kerana sukan futsal ini begitu popular di kalangan remaja, mengambil keputusan memperuntukkan buat permulaan sejumlah wang RM2,000 menyewakan padang futsal yang paling utama dan terkenal, iaitu di Kompleks Sukan, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Masa yang disewa adalah `prime time` pada malam-malam Ahad sebanyak 2 padang, jam 10.00 hingga 11.00 malam. Sewa setiap padang bagi satu jam ialah RM90.00.


Malam ini adalah malam pelancaran. Sebelumnya telah diiklankan kepada pasukan-pasukan remaja yang mau mengambil bahagian. Sambutan adalah di luar dugaan banyak pasukan remaja yang mau mengambil bahagian, tetapi 6 pasukan sahaja dipilih dahulu bagi pelancaran, kerana masa terhad. Pengendali perjalanan dan giliran dilantik dari kalangan anak-anak muda. Hadir pada malam ini selain dari ADUN Bangi, ialah saudara Shafie Ngah Ahli MPKj Zon 23, saudara Abu Bakar Alias, saudara Azizi, manakala dari kalangan remaja yng dilantik mengurus pentadbiran dan giliran ialah saudara Zahari Pengurus Sukan dari Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bangi dibantu oleh saudara Hafiz, Fadhli dan beberapa yang lain. Antara mereka bertindak mendaftar mengundi bagi yang belum mendaftar.


Tidak ada acara terlalu formal bagi pelancaran. Pengendali-pengendali menyusun pertandingan antara kumpulan yang dipilih. Cuma lebih kurang jam 10.30 malam ADUN dengan pengiring datang berbual-bual dengan pasukan yang rehat yang sudah bermain dan yang menunggu giliran - berjabat tangan, bertanya khabar dan bercakap berhubung dengan berbagai topic yang releven dengan golongan muda, sambil minum air mineral yang memang kita sediakan kepada mereka. Mereka nampak gembira dan berpuashati dengan khidmat kita menyediakan slot bagi mereka. Di dalam percakapan secara santai ADUN berjanji pada peringkat puncak nanti bagi siri anjuran yang dilakukan kita akan adakan Pertandingan Kejohanan Futsal ADUN Bangi – insya Allah melalui peruntukan khas dan akan diatur oleh pihak urusetia.


Sekian.

No comments:

Post a Comment