February 21, 2011

Intra-Mas 4: YB Jumpa Kita Di Kajang Raya

Kajang Raya, 15-17 Rabiul Awwal = 18-20 Februari (Jumaat-Ahad):

Interaksi Kemasyarakatan (Intra-Mas) Wakil Rakyat diteruskan. Kali ini di kawasan utama ialah Kajang Raya. Base induk pergerakan bagi hari pertama ialah di sebuah warung di Taman Seri Melur. Hari Kedua di kawasan Kabin Rukun Tetangga dan hari ketiga ialah dari kawasan lapang di hadapan Surau al-Islah, Kajang Raya. Kali ini ADUN tidak saja diiringi oleh petugas-petugas tempatan dari pejabat ADUN, tetapi sebahagian besar turut bersama YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang dan pengiring-pengiringnya.

Pada pagi hari Jumaat, YB Jumpa Kita, bermula dengan ``Makan Pagi Bersama Rakyat` bertempat di sebuah warung tidak jauh dari Surau al-Muhajirin, Taman Seri Melor dan ADUN Bangi menyertai `Makan Pagi Bersama Rakyat` diikuti dengan pembukaan kaunter dan penculaan di sini. Pada sebelah petang bermula dari jam 3.00 acara ziarah di Taman Seri Melor dan Taman Seri Intan. ADUN dan YB Teo diiringi petugas-petugas tempatan dan yang lain berjumlah puluhan orang dari kalangan muslimat dan petugas muslimin dan lain-lain mengunjungi rumah ke rumah terpilih dari berbagai-bagai kaum. Program berjalan lancar dan mendapat respond yang baik dari penduduk; tidak ada insiden yang tidak diingini berlaku.

Program hari kedua bermula dengan mengunjungi Pasar Kwantong bersama YB Teo Nie Ching dengan bantuan sejumlah petugas mengedar kad jemputan Hari Terbuka Tahun Baru Cina yang akan diadakan pada 26.2.2011 (sabtu) bertempat di Padang, Taman Jasmin jam 2.00 – 4.00 petang. Selepas itu ke Kajang Raya bertempat di kawasan Rukun Tetangga di Kajang Raya dengan `Makan Pagi Bersama Rakyat` di sebuah kedai makan muslim di sini yang disertai semua kaum. Dari sini ziarah bermula dari taman ke taman. Kawasan sini adalah kawasan campuran yang terdiri dari berbagai kaum. Dengan bersamanya YB Teo Nie Ching memudahkan komunikasi antara penduduk, terutama bila menemui masyarakat Cina. Pertemuan kami dengan semua kaum yang dilawati amatlah intim. Pertemuan pada sebelah pagi berakhir jam 12.00 tengahari dan sesi pertemuan sebelah petang disambung mulai selepas asar jam 5.00 petang.
Hari Ketiga bermula dengan mengedar kad jemputan di Pasar Kwantong, Sungai Chua dan `Makan Pagi Bersama Rakyat` di pekarangan Surau Al-Islah, Kajang Raya. Pada hari ketiga ini berbagai kegiatan dilakukan di pekarangan Surau al-Islah. Antara acaranya ialah:

1. Penerusan ziarah rumah ke rumah

2. Pertandingan bola sepak remaja di padang berdekatan surau – 6 pasukan

3. Pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama `Master Skill College`

4. Peraduan Mewarna Kanak-Kanak

5. Pembukaan kaunter pendaftaran dan pengaduan

6. Acara penutup dan penyampaian hadiah
7. Jamuan Rakyat

Ziarah hari ini tidak disertai YB Teo kerana beliau mempunyai tugas di luar kawasan (beliau menyertai acara penutup). ADUN Bangi bersama-sama petugas menziarah ke rumah-rumah pilihan sehingga jam 12.00 tengahari, masa tamatnya ziarah.

Pada sebelah petang adalah acara berjamaah Asar bersama di Surau al-Islah dan diikuti acara penutup. Pada upacara ini hadir selain dari ADUN Bangi, ialah YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Ustaz Shafie Ngah Pengarah Program yang juga Ahli MPKj Zon 23 dan saudara Abu Bakar Timbalan Pengarah, En. Yusof Bachik Ahli MPKj Zon 21, Sdr. Lee Learn Eng Ahli MPKj Zon 20, petugas-petugas dan para hadirin dari masyarakat setempat berjumlah lebih kurang 500 orang.

Pada acara penutup dimulai dengan doa, Ustaz Shafie Ngah selaku Pengarah Program bersyukur kerana program berjalan lancar. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang erat sehingga semua program berjalan lancar. YB Teo di dalam ucapannya memuji program yang dijalankan dan banyak manfaat yang didapati. Beliau berterima kasih kerana dijemput sama di dalam program. Beliau menyebut beberapa pengalaman yang menyentuh hati semasa membuat lawatan dan menyebut perbualan dengan ADUN, bahawa soal kemiskinan, sakit dan problem kehidupan dihadapi semua kaum. Kami menyampaikan simpati, pertolongan dan bantuan yang kami dapat hulurkan.

ADUN Bangi dalam ucapan penutupnya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dari petugas-petugas tempatan, dari Pejabat ADUN dari pengiring-pengiring YB Teo Nie Ching, Master Skill College Perubatan dan semua pihak yang menjayakan program. ADUN Bangi menyebut secara detail selama tiga hari program lawatan telah di buat di tempat-tempat berikut:

1. Taman Seri Melor
2. Taman Intan
3. Pasar Kwantong
4. Kajang Mewah
5. Taman Berjaya
6. Taman Koperasi
7. Kajang Raya
8. Taman Mas
9. Pasar Kajang
10. Seksyen 7

Jumlah mereka yang diziarahi:

Dari lawatan yang dibuat kami mendepani warga-warga mas, mereka yang terlantar sakit, ibu tunggal yang berjuang bekerja bagi menyarai anak-anak dengan berbagai cara, ibu tunggal yang ditinggal suami yang terpaksa meninggalkan empat anak dijaga sesama adik beradik secara bergilir semasa ke sekolah, kerana tidak mampu untuk mengambil orang gaji, keluarga yang ketakutan kerana diugut oleh along dan tidak diketahui ke mana menghilangnya suami dan berbagai-bagai masalah kehidupan lagi. Kami memanjangkan simpati kami, menerima aduan, menyampaikan `buah tangan` dan menyelesaikan masalah sekadar termampu.

Majlis terakhir ialah penyampaian hadiah kepada peserta-peserta pertandingan dan cenderahati kepada agensi yang mengambil bahagian dan diikuti dengan Jamuan Rakyat.

Terima kasih kepada semua pihak.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment