November 2, 2010

Satu Langkah Ke Hadapan Membuka Ribuan Langkah Kejayaan

Dataran Usahawan, BBB, 23 Zulkaedah = 31 Oktober (Ahad):

Satu Majlis Pertemuan Mesra dengan pelajar-pelajar yang bakal mengambil Peperiksaan SPM 2010 mulai 23 November ini di DUN Bangi diadakan mulai jam 2.30 petang ini. Mereka adalah pelajar-pelajar yang mengikuti tuisyen yang dianjur di bawah DUN Bangi. Manakala sebahagian daripada mereka juga adalah pelajar-pelajar tingkatan 4 yang juga pernah dibimbing dan diberi motivasi di bawah PAKSI. Mereka adalah sebagai anak angkat bagi DUN Bangi yang telah menyusun siri motivasi kepada mereka. Hari ini juga adalah Hari Meraikan Guru-Guru yang bertungkus lumus mengajar mereka. Hari ini adalah hari terakhir bagi sebahagian pelajar mengikuti kelas Tuisyen. Hadir pada Majlis Mesra Dan Keraian ialah Adun Bangi, Puan Zuryati Ketua Muslimat Serdang, Puan Arbaishah Pengarah Paksi, Puan Sakinah Pengarah Kelas Tuisyen BBB, Cik Haslina pakar motivasi, saudara Abu Bakar dan lain-lain. Pelajar yang hadir lebih kurang 70 orang daripada jumlah semua yang sepatutnya melebihi 100 orang.


Adun Bangi menyatakan prihatin terhadap pelajar-pelajar. Menurutnya banyak harapan terhadap pelajar-pelajar. Harapan diri, keluarga, guru, motivator dan Adun. Sudah tentulah pelajar-pelajar tidak mau mensia-siakan harapan mereka semua. Adun mengingatkan peperiksaan peringkat SPM amat penting. Kelayakan pada peringkat SPM menjadi syarat bagi menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi, bahkan menjadi syarat bagi sebarang pekerjaan yang dipohon. Kelulusan SPM yang baik membuka berbagai-bagai langkah, peluang dan kejayaan. Walau bagaimana jangan jadikan semua harapan ini sebagai tekanan. Anggaplah sebagai doa dan restu dari semua pihak. Bertenang dan berdoalah kepada Allah agar diberi hidayah dan kemudahan. Hadapilah pelajaran dengan cara terbaik dalam tempoh tiga minggu ini.

Menurut Puan Sakinah pelajar-pelajar yang datang pada hari ini adalah dari kelas tuisyen Kajang Utama, Sungai Ramal Dalam dan Seksyen 16 (paling ramai), di samping pelajar-pelajar Tingkatan 4 yang disebutkan di atas.

Cenderahati disampaikan oleh Adun kepada pelajar-pelajar terpilih, manakala ucapan terima kasih dan cenderahati juga disampaikan kepada guru-guru yang berkhidmat selama ini. Mereka ialah Cikgu Khairul, Cikgu Rizal, Cikgu Hannan, Cikgu Hanisah, Cikgu Neela, Cikgu Wan, Cikgi Fazirah, Cikgu Liz, Cikgu Suliana, Cikgu Yuniza dan Cikgu Mohd Shahiya.

Majlis jamuan secara bersila di atas tikar diadakan, sebagaimana mereka mengikuti majlis secara bersimpuh dan bersila di bawah khemah di Dataran Usahawan yang disediakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment