November 30, 2010

Lawatan Menemui Keluarga - Karam Di Lautan Dungun: Keajaiban, Syukur Allah Menyelamatkan

Bandar Bukit Mahkota, Bangi 20 Zulkaedah = 27 November (Sabtu):


Selama 16 jam karam di laut pada 6 &7 November (Sabtu-Ahad) 2010- Sejauh 16 nautika antara Pulau Tinggul dan daratan Terengganu di musim tengkujuh, 16 orang antaranya anak Mohd Daniel (4 tahun) dan ibunya yang mengandung empat bulan dapat diselamatkan adalah satu keajaiban dan Pertolongan serta kasih sayang dari Allah.


Hobi – itulah dapat dikatakan, mendorong 16 di atas yang kebanyakan datang dari Kuala Lumpur sempena cuti Deepavali bersambung dengan hari minggu ke Dungun untuk menyelam dan menikmati keindahan khazanah laut dengan batu karang dan hidupan marin di sekitar Pulau Tinggul, Dungun. Bapa Mohd Danial Aiman – Encik Mohd. Zulkifli bin Mat Daud (33) dan ibu Daniel yang sedang mengandung Puan Noraini Sosilawati Sarigar Binti Sufian (30) tiba di Dungun dan menginap di rumah tumpangan di situ. Pada pagi Sabtu En. Zulkifli dan keluarga bersama kumpulan 16 bertolak ke Pulau Tinggul tanpa masalah. Keseluruhan mereka adalah Melayu, kecuali seorang iaitu Che Loo Kit Song Cina dan tujuh daripada mereka perempuan selain dari Puan Noraini ialah Ayud Aida Sulaiman (34), Salmah Mohd Kasim, Dr. Anis Shafina Mahfudz (29), Dr. Noraminah Abdullah (29) dan dua lagi dikenali dengan Maria dan Aida. Yang lain-lain ialah Zulfadly Yahya Jurumudi berpengalaman, Muhamad Aman, Azhar Ahmad, Mazli Abdul Malik dan Mohd Azharini Mohd Amin, Mereka semua memakai baju jacket keselamatan. Drama yang mereka depani apabila mereka bertolak pulang ke darat pada petang Sabtu – mereka tidak bermalam di pulau, walaupun ada tempat penginapan. Dalam perjalanan balik boat yang mereka naiki kemasukan air dan mengalami masalah enjin menyebabkan terbalik dan mereka terjun sebelum boat hanyut. Bermula dari sini drama menghadapi gelombang ombak berlaku. Atas nasihat kalangan mereka yang memang professional dari segi latihan di laut seperti Jurumudi Zulfadly Yahya yang sebelas tahun berpengalaman di laut dan kini mengemudi bot jenis D-Guardian Katamaran dan beberapa yang lain. Di kalangan mereka ada dua doktor. Mereka bertindak berkumpul secara bulatan dan sama menjaga anak kecil semalaman hingga pagi. Banyak ancaman yang dialami sebelum mereka diselamatkan oleh Polis Marin pada keesokan hari. Drama yang dihadapi mereka menjadi berita menarik oleh semua akhbar pada hari Isnin (8 November) yang kebanyakan memberi ruang muka hadapan akhbar-akhbar.

Dari kalangan 16 orang yang mengalami drama boat terbalik di laut Dungun itu ialah satu keluarga dari DUN Bangi, iaitu keluarga En. Mohd. Zulkifli bin Mat Daud dengan isterinya Puan Nuraini yang sedang mengandung. Mereka tinggal di Bukit Mahkota. Sejak berita tersebar, pihak Adun membuat hubungan untuk menziarah bagi pernyataan syukur, tetapi sehinggalah 27 November pihak Adun dimaklumi, keluarga Encik Zulkifli baru mempunyai masa untuk menerima kami sebagai tamu.

Pada petang 27 November (Sabtu) Adun pergi dengan satu rombongan lebih kurang sepuluh orang. Antara mereka saudara Mazwan Johar Ahli MPKj, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan ,Tuan Haji Nik Pa bin Nik Leh Ketua Lajnah Perpaduan suami isteri, saudara Mohd. Fazli Daud Setiausaha, Tuan Haji Hasan Basari, dari Lajnah Kebajikan, saudara Aidil Ketua Pas Cawangan Bukit Mahkota dan beberapa lagi. Kami diterima baik oleh En. Zulkifli dan keluarga. Secara kebetulan bapa mertua dan ibu mertua En. Zulkifli (Ibu dan bapa Pn. Noraini) ada bersama. Jadi mereka berenam cucu menerima kami. Dari pertemuan itu kami dapat tahu puan Noraini adalah satu-satunya anak kepada bapanya En Supian bin Abdullah dan ibunya.

Menurut Encik Supian, mereka sering datang ke rumah anak menantunya dalam rangka tugasnya sebagai kontrektor di Johor-Kuala Lumpur-Pahang, termasuk sebelum anak menantunya ke Terengganu. Sebelum kejadian, mereka berdua bertolak ke Johor dan membawa bersama cucu perempuan adik Danial sama ke Johor. Dalam perjalanan ke Johor En. Supian menghubungi anak menantu dan mendapat tahu mereka mau ke Terengganu. Encik Supian tidak bersetuju mereka ke Terengganu – khususnya ke pulau pada musim tengkujuh, apa lagi membawa anak kecil dan isteri yang sedang mengandung (bagi mereka ini bukan kali pertama). Tapi walau bagaimana mereka pergi juga.

Semasa boat pulang ke daratan pada petang Sabtu En. Supian masih dapat berhubungan dengan anak-menantunya, termasuk dalam boat yang enjinnya kedengaran dalam handphone, tetapi tiba-tiba terputus dan tak dapat menghubungi. Alamat buruk dijangka Encik Supian. Keluarga lain dihubungi. Beliau yang baru menempah Hotel di Segamat untuk bermalam bertiga cucu yang sedang demam dan telah diperiksa doktor pada petang itu, membatalkan tempahan, tetapi terpaksa membayar sebahagian, bergegas bertolak ke Terengganu untuk mempastikan nasib anak-menantu dan cucunya.

Kehadiran kami dihidang dengan kuih dan minuman, tetapi kami tak hirau sangat dengan kuih dan minuman, tetapi asyik bertanya cerita dramatis yang menarik. En. Zulkifli, isteri, kedua-dua anaknya (seorang perempuan), bapa dan mertuanya mesra melayan kami dan sama bercerita. Menurut En. Zulkifli, semasa boat bertolak ke tanah daratan – ke Dungun, beliau sudah merasa was-waswas antara mau pulang ke daratan atau bermalam di Pulau, kerana ombak musim tengkujuh yang agak kuat, tetapi pemandu boat berpendapat, tidak bahaya. Jadi beliau sekeluarga buat keputusan sama pulang ke daratan ke Dungun. Walau bagaimana setelah bertolak sebelah petang dari pulau ombak kuat di luar dari kebiasaan. Akhirnya disedari air mulai masuk ke dalam boat. Enjin boat mulai meragam dan tidak mampu mencanggah gelombang ombak dan engine terhenti. Apabila tanda-tanda boat mau tenggelam mereka semua diarah terjun ke laut dengan baju jacket keselamatan masing-masing. Menurut En. Zulkifli, isterinya yang kurang mahir berenang pada mulanya enggan terjun, tapi akhirnya sama terjun. Berdasarkan kepakaran dan kemahiran yang ada pada mereka yang memang biasa menyelam scuba dan sebagainya mereka dapat mengawal keadaan, mereka berkumpul dalam bulatan dengan keselamatan anak kecil – Mohd Daniel diberi keutamaan. Bagi En. Zulkifli oleh kerana memangku dan mengapung anaknya terlalu lama, beliau keletihan dan sekali sekala bergilir dipangku oleh kawan-kawan yang lain. Pada satu ketika beliau mengalami penik, melihat mulut anaknya berbuih dan senyap. Beliau berusaha menyedarkannya. Kebimbangan berkurang apabila anaknya bercakap perlahan yang dia nak tidur. Setelah tengah malam di tengah gelombang, hatinya menjadi sayu, apabila anaknya minta susu kerana kelaparan. Beliau terpaksa memujuk anaknya untuk menunggu dengan berbagai helah dan alasan. Bila hujan turun beliau meminta anaknya menganga mulut dan meminum air hujan. Dalam masa terapung dilautan menurut En. Zulkifli, ada kapal lalu yang dijangka datang untuk menyelamat, tapi tidak menyedari kami meminta pertolongan dan terus pergi. Pada sebelah pagi ada helikopter berlegar datang untuk menyelamatkan, tetapi isyarat dari kami tidak dilihat.

Semasa sama terapung beliau menceritakan ada setengah daripada mereka yang telah berputus asa dan ada yang memohon maaf antara mereka dan menjangka ajal mereka mungkin tiba. Satu ketika En. Loo begitu keciwa dan terpisah dari kumpulan kerana hilang harapan, tetapi mereka sempat ditarik bersama kumpulan. Walau bagaimana sebahagian besar dari mereka tetap optimis berdoa dan mengjangka pertolongan bakal tiba, bila-bila masa.

Demikianlah lebih kurang jam 10.00 pagi Ahad, terdengar bunyi enjin boat merin datang untuk menyelamat, walau bagaimana kedudukan kami yang berkeliling masih tidak dapat dilihat. Entah bagaimana En. Loo yang sebelum ini begitu keciwa, tetapi kelihatan bertenaga kembali membuka baju kesematan dan melambung tinggi ke atas. Al-Hamdulillah dari lambungan itu dapat dilihat oleh pasukan merin dan datang mendekati kumpulan bagi menyelamatkan. Bila boat mendekati yang terawal diselamatkan ialah anak kecil Daniel. Walau bagaimana oleh kerana terlampau letih mereka tidak mampu memanjat ke tepian boat, sebaliknya naik dan ditarik melalui lonjakan ombak. Beliau dan yang lain tidak mampu berjalan kerana krem dan terpaksa merangkak di dalam boat. Al-Hamdulillah semua mereka selamat, kecuali ada yang luka-luka kecil kena gigitan obor-obor laut. Mereka didaratkan ke Pangkalan Merin di Kemaman dan dibawa ke Hospital Kemaman di tengah-tengah kerumunan manusia yang mau tau nasib mereka – terutama oleh pemberita-pemberita.

Soal jawab kami dengan En. Zulkifli disertai bapa mertuanya Encik Supian sambil dicelah juga oleh Puan Noraini dan ibu mertuanya sekali sekala. Kami rasa bagai menonton drama yang trajis dan memilukan. Bahkan sekali sekala turut menyeka air mata yang mengalir, lebih-lebih lagi menatap wajah Daniel yang petah mencelah dan turut bercakap. Encik Supian yang menambah cerita sambil membelek keretan-keratan akhbar difailkan mengenai tragedi menimpa anak tunggal dan cucu kesayangannya.

Asyik mendengar cerita, kami tersedar bahawa masa menghampiri jam 7.00 petang.

Sebelum tiba waktu maghrib, sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada keluarga En. Zulkifli yang sudah menerima rombongan secara mesra dan bercerita. Kami bergurau, ``Kalau di Barat drama real life ini boleh dijual dan boleh dibuku dan difilmkan``. Adun berharap ianya dapat dicatat dan didokumenkan untuk kegunaan sebagai bahan penyelidikan, panduan dan kreatif.``

Sebelum berpisah kami sampaikan sedikit buah tangan dan cendera hati, tanda ingatan dan kesyukuran kepada Allah di atas keselamatan keluarga En. Zulkifli.

Sekian.

Keratan dari akhbar-akhbar tempatan.


1 comment:

  1. Terima kasih dari saya dan keluarga yang tak terhingga atas kesudian YB datang menziarahi kami sekeluarga di kediaman yang terletak di Seksyen 6, Bandar Bukit Mahkota Bangi. Ribuan kemaafan juga kami pohon kerana tidak dapat meluangkan masa yang lebih awal seperti yang diaturkan disebabkan oleh kami sering berulang-alik ke hospital untuk merawat anak kami Daniel Aiman dan Murni Nur Aleesya Putri yang tidak berapa sihat selepas tragedi bot karam di Pulau tenggol pada 6 & 7 Nov 2010. Alhamdulillah, Syukur... Dengan kuasa Allah yang maha esa, kesemua mangsa bot karam 16 orang selamat dari sebarang musibah.
    Sekali lagi ucapan terima kasih saya kepada YB Dr. Shafie Abu Bakar, Ahli Majlis MPKj saudara Mazwan dan mereka yang hadir, yang telah sudi meluangkan masa menzirahi kami dan prihatin terhadap penduduk di bawah naungan beliau iaitu Dun Bangi (N.26).
    sekian terima kasih.

    ReplyDelete