November 21, 2010

Ke Acara Qurban Di Hari Akhir Tasyriq

Taman Seri Kenari, Sungai Ramal Luar, 13 Zulhijah = 20 November (Sabtu):

Membaca internet pada malam tadi, bahawa ada pihak yang meragukan tentang tarikh sambutan Idul Adhha di Malaysia lewat dua hari dari Makkah dan isu ini akan dibawa ke Parlimen, membuat Adun Bangi merasa ragu, bahawa hari ini masih merupakan hari terakhir Hari Tasyriq yang membolehkan lagi umat Islam di Malaysia menjalankan Ibadat Qurban. Oleh kerana keraguan itu, Adun Bangi sendiri yang mengimami Salat Subuh di Surau al-Umm, Seksyen Satu BBB, waswas untuk bertakbir dan tidak bertakbir selepas sembahyang subuh sebagaimana pada pagi-pagi Idul Adhha Sejak Rabu lalu. Keraguan ini Adun tidak lahirkan kepada sesiapa dan tidak ada pula dari kalangan makmum yang bercakap dan menegur yang Adun tidak bertakbir pada pagi ini. Keraguan ini melarat pula kepada Ibadah Qurban yang pagi ini Adun seharusnya pergi ke Taman Seri Kenari, Sungai Ramal Luar bagi menyaksikan upacara Qurban lembu keempat dari peruntukan Adun yang Adun serahkan kepada penduduk rumah pangsa Seri Kenari di sini. Lembu ini telah diserahkan ke sana sejak malam hariraya Idul Adhha pertama lagi.


Walau bagaimana sebelum bertolak ke Sungai Ramal Dalam, Adun yang pada kebiasaan membeli akhbar-akhbar pagi-pagi hari dari kedai di hadapan rumah Adun, membuka beberapa akhbar dan dapati maklumat:

``Boleh mengamalkan Ibadat Qurban sehingga esok bersamaan 13 Zulhijah, iaitu sampai terbenam matahari.``

Kenyataan dan penjelasan ini datangnya dari pihak JAKIM, oleh kerana adanya kekeliruan tempoh untuk jalani ibadat Qurban.

Pengarah JAKIM Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan,

``Umat Islam negeri ini boleh mengamalkan ibadat Qurban sehingga esok bersamaan 13 Zulhijah, iaitu sampai terbenam matahari.``

Berdasarkan maklumat ini Adun merasa puas dan yakin di atas kesahihan boleh lagi berkorban pada hari ini.

Adapun bagi penduduk rumah-rumah pangsa di sini, mahu mengadakan Qurban pada hari ini, atas alasan, hari Sabtu hari tidak bekerja dan ramai yang dapat ambil bahagian dalam upacara Qurban.

Adun Bangi tiba di Taman Seri Kenari sebagaimana dijanjikan, iaitu jam sembilan pagi. Menunggu di sini Ketua Kampong Tuan Haji Mohd. Yusof Bin Abdul Kadir dan penduduk-penduduk setempat. Di dapati selain dari lembu peruntukan dari Adun Bangi, penduduk juga menambah seekor lagi bagi mereka berkorban.

Walau bagaimana kehadiran penduduk, walaupun hari tak kerja, tak seramai dari sepatutnya, iaitu lebih kurang 30 orang. Adun mewakilkan kepada Tukang Sembelih menyembelih lembu Qurban dan kedua-dua ekor selamat disembelih.

Adun tidak dapat menunggu untuk sama-sama melapah, kerana mempunyai acara di tempat lain. Setelah menyerah tugas kepada ketua dan penduduk untuk meneruskan urusan Adun memohon diri. Mungkin selepas upacara penyembelihan makin ramai yang datang bergotong royong, termasuk dari kalangan wanita, kerana selain dari mengagihkan daging korban, penduduk juga bergotong royong memasak sup.

Sekian.

No comments:

Post a Comment