October 1, 2010

Meraikan Bakal Haji Di Surau Taman Jasmin

Taman Jasmin, 21 Syawal = 30 September (Khamis):


Petang ini berkesempatan sembahyang Maghrib berjamaah di Surau Taman Jasmin, Kajang. Kehadiran Adun Bangi di sini (sebahagian dari DUN Bangi) bagi tujuan meraikan bakal-bakal Haji yang akan berlepas ke Makkah dalam tempoh terdekat.

Secara kebetulan pada malam ini adalah malam Jumaat, maka keraian diprogramkan dengan Pembacaan Yasin dan Doa Selamat. Adun Bangi hadir diiringi Saudara Shahrum Abdullah, Saudara Azizi dan Saudara Abu Bakar. Manakala Pembacaan Yasin dipimpin oleh Cikgu Zaid Penasihat AJK Surau Taman Jasmin. Turut sama menyertai Majlis ialah Tuan Haji Abdul Aziz Che Min Pengerusi Surau, Imam Abdul Razak Hanafiah, Dato' Zain AJK dan para jamaah lelaki dan perempuan.


Selepas pembacaan Yasin ucapan ringkas disampaikan bagi meraikan tiga pasangan Bakal Haji pada tahun ini dari Surau Jasmin, iaitu Tuan Murad Buyung dan isteri, Encik Hashim dan isteri dan Encik Abdul Aziz dan Isteri. Cikgu Zaid mengucap syukur ke hadrat Allah dan mengucapkan tahniah kepada bakal-bakal Haji dari Surau Taman Jasmin. Beliau mendoakan kepada Allah semoga semua bakal-bakal Haji mendapat Haji Mabrur. Manakala ADUN Bangi bersyukur kerana mendapat kesempatan bersama-sama Tamu Allah yang akan menunaikan Haji pada tahun ini. Beliau berpesan, oleh kerana peluang menunaikan Haji bagi sebahagian besar daripada kita hanya sekali seumur hidup dan melalui pemilihan quota yang ketat, maka pastikan amalan Haji yang kita lakukan secara sempurna yang mungkin.


Beliau yakin semua bakal Haji telah mengikuti kursus yang dianjur sama ada oleh Tabung Haji atau oleh pihak masjid dan surau. Walau bagaimana kita perlu berterusan mempelajari dan memahaminya untuk diamalkan bila tiba kepada praktis Haji kelak. Sebab itu jangan segan daripada bertanya kepada guru-guru. Berdoalah kepada Allah semoga diberi kemudahan di dalam menunaikan ibadat Haji. Pasangkan niat secara betul demi menunaikan haji dan jaga akhlak dan peribadi agar tidak merosakkan amalan Haji.


Encik Murad Buyong yang mewakili pasangan-pasangan Bakal Haji berucap penuh emosi dan bergugurran air mata, kerana bersyukur kepada Allah. Beliau yang baru mengalami stroke, mulai hampir pulih, menurutnya,
"Selama ini saya tidak dapat bersembahyang secara berdiri, tapi mulai malam ini saya mulai dapat bersembahyang berdiri seperti biasa,'' Beliau berkata, ''Ini adalah berkat dan dorongan semangat untuk menunaikan Haji beserta doa dari semua ahli jamaah sekalian," tambah beliau.

Mewakili sahabat-sahabat bakal menunaikan Haji beliau mengucapkan terima kasih di atas keraian yang diberi. Beliau dan sahabat-sahabat memohon maaf dari salah silap dan kiranya kami mempunyai hutang dan terlupa, kami memohon dimaklumkan. Berikut dari itu ADUN Bangi menyampaikan sedikit tanda hati kepada pasangan-pasangan Bakal Haji berkenaan. Selepas sembahyang Isyak para jamaah bersalam salaman dan selepas sembahyang sunat Bakal Haji dan para jamaah dijemput ke jamuan.

Sementara itu pada petang tadi jam 6.00 pasukan kami turun padang di Pasar Malam Taman Jasmin, kerana mengedarkan kad-kad jemputan ke Rumah Terbuka Ahli Parliman Serdang dan DUN Bangi pada 3 Oktober ini di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi. Adun Bangi sepatutnya turun sama, tapi pulang lewat dari menghadiri Taklimat 'Model Ekonomi Baru' Kerajaan Persekutuan di Shah Alam, maka Adun Bangi tidak serta turun padang. Pngedaran kad jemputan diketuai oleh Y.B. Teo Nie Ching dan pengiring-pengiringnya juga wakil-wakil dari Adun Bangi.


Selepas pulang dari meraikan Bakal Haji di Surau Taman Jasmin, Adun Bangi berkesempatan turut hadir ke Majlis Sambutan Hariraya Surau As-Sabah, walaupun agak lewat (jam 10.00 malam) dan jamaah sudah kurang – datang semata-mata untuk melahirkan `Terima Kasih` di atas jemputan. Masih bersama di Majlis ialah Kolonel (B) Mohd Abu Pengerusi Surau As-Sabah dan Dato' Dr. Amran Kasimin – Bekas Wakil Rakyat Bangi (2004-2008) dan beberapa jamaah yang sedang mengemaskan barang-barang.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment