October 12, 2010

Majlis Silaturrahim Di Surau Ar-Rahim

Seksyen 8 Tambahan, BBB 01 Zulkaedah = 10 Oktober (Sabtu):

Satu Majlis Silaturrahim bersama penduduk diadakan di pekarangan Surau Ar-Rahim di sini. Majlis berlangsung selepas Isyak dihadiri Adun Bangi, Tuan Haji Shahrum Abu Hassan Pengerusi Penduduk, Tuan Haji Abdul Hadi Timbalan Pengerusi yang merupakan Pengarah sambutan, Tuan Haji Zulkifli Ariffin Pengerusi Surau Ar-Rahim, Tuan Imam Haji Rusli, AJK Persatuan Penduduk dan Surau, tamu-tamu jemputan dan penduduk setempat.

Selepas sembahyang Isyak berjamaah di surau, penduduk berbaris dalam saf dan bergerak di atas jalan mengelilingi surau sambil bersalawat dan mengambil tempat di bawah khemah. Sebelum jamuan bermula Pengerusi Persatuan penduduk memaklumkan, Majlis Silaturrahim ini mendapat kerjasama erat dari semua penduduk. Semua lorong – 8 lorong menyediakan makanan berlainan sebagaimana ditentukan kepada lorong-lorong berkenaan. Tujuan majlis diadakan bagi mengeratkan hubungan muhibbah di kalangan penduduk setempat. Pengerusi juga memaklumkan kejadian pecah rumah mulai berlaku, setelah lama kejadian seumpama ini tidak berlaku. Beliau memaklumkan kemungkinan untuk memagar keliling kawasan kediaman dan meningkatan pengawalan. Pondok pengawal dan pengawalan memang sudah diadakan.

Adun Bangi mengucapkan terima kasih di atas jemputan yang dibuat. Beliau amat terpesona dengan kerjasama erat di kalangan penduduk dan sukacita melihat surau adalah menjadi induk kegiatan dan kerjasama penduduk. Kegiatan melalui surau dan pemakmuran surau hendaklah diterus dan dipertingkatkan. Adun akan terus datang ke sini bilamana ada kesempatan untuk bersama penduduk. Majlis yang pada peringkat mulanya masih kurang dengan kehadiran kemudian penuh dengan penduduk – tua muda dan kanak-kanak memenuhi ruang di bawah khemah-khemah disediakan. Secara kebetulan Adun membawa lebihan sampul duit yang dibahagikan kepada anak-anak pada Rumah Terbuka Serdang pada 3.10.2010 yang lepas.

Sebanyak 70 sampul kewangan telah disampaikan kepada anak-anak. Walau bagaimana jumlah ini tidak mencukupi dengan jumlah kanak-kanak yang ramai. Keceriaan tergambar di wajah penduduk, khususnya di wajah anak-anak. Majlis jamuan diadakan selepas itu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment