September 18, 2010

Konflik Identiti Antara Kajang Dan Bangi: MPHL Lebih Sesuai

BBB, 04 Syawal = 12 September (Isnin):

Ada nama Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak berlainan, maka tidaklah menimbulkan konflik dan kekeliruan. Contoh Pejabat Daerah Sepang mempunyai Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Daerah Petaling Jaya mempunyai Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dan sebagainya.

Tetapi bagi Kajang agak berlainan. Dulu hingga 1997, PBT di sini dikenali dengan Majlis Daerah Hulu Langat (MDHL), ianya adalah selari dan sesuai dengan Daerah Hulu Langat, tetapi apabila MDHL dinaiktaraf kepada MPKj (1997), maka PBT di sini tidak lagi selari dengan Daerah Hulu Langat. Kalau MDHL mencerminkan fungsi merangkumi seluruh daerah Hulu Langat, walaupun dari segi praktiknya tidak sedemikian, tetapi dengan pertukaran kepada MPKj, maka fungsi Majlis perbandaran ini hanya terhad kepada Perbandaran Kajang sahaja, walaupun dari segi praktiknya tidak sedemikian, iaitu cakupannya lebih luas dari Bandar Kajang sendiri – termasuklah contoh Bandar Baru Bangi. Dari segi praktiknya, Majlis Perbandaran Kajang tidak mencerminkan ruang lingkup sebenarnya. Dalam hal ini adalah lebih logic sejak awal dikekalkan dari MDHL kepada Majlis Perbandaran Hulu Langat (MPHL). Dalam erti kata lain walaupun MPHL terhad kepada Kajang pada peringkat awal tidak menimbulkan masalah. Bila perbandaran berkembang, misalnya Bandar Cheras, Bandar Balakong, Bandar Mahkota, Bandar Seri Putera, maka nama MPHL tetap releven, kerana semua Bandar-bandar tersebut adalah di dalam Daerah Hulu Langat. Dalam keadaan sekarang sudah jadi kejanggalan apabila di Seri Putera yang di bawah DNS Bangi disebut sebagai MPKj. Ianya lebih praktikal disebut di bawah DPHL.

Dalam keadaan sekarang memperlihatkan Kajang seolah-olah cuba mendominasi kawasan-kawasan yang lain yang di luar daripada Kajang. Contoh Bangi misalnya kurang senang apabila disebut perbandaran Kajang, sedangkan Bangi adalah sebuah Bandar yang mempunyai identiti tersendiri sebagai Bandar Ilmu, tetapi tidak menjadi hal jika disebut Bangi sebagai sebahagian daripada MPHL, kerana ia memang di bawah Hulu Langat. Mungkin boleh dibangkitkan Hulu Langat terlampau luas, termasuk Ampang yang sebahagian dari Hulu Langat. Oleh itu dibahagikan kepada dua PBT. Ampang sebenarnya lebih merangkumi seluruh kawasannya dengan kawasan Ampang, tetapi tidak Kajang. Sebab itu kawasan selain dari Ampang lebih wajar dinamakan sebagai MPHL. Ampang sepatutnya sudah layak menjadi sebuah Daerah yang tersendiri.

Kembali kepada Kajang dan Bangi, dua Bandar ini sebenarnya mempunyai konflik dari segi identiti. Kajang sebagai Bandar Komersil dan Bangi Bandar Ilmu. Pada peringkat awal Bangi dibangunkan, Tun Abdul Razak yang pada 1970an sebagai Perdana Menteri dan juga Canselor UKM, maukan Bangi sebagai Pusat Pentadbiran Hulu Langat. Pada dasarnya hasrat ini berlaku, walaupun agak perlahan. Kini hampir semua pejabat pentadbiran Daerah sudah dan akan berpindah ke Bangi seperti Pejabat Daerah (berbagai pejabat pula di Pejabat Daerah), JKR, Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Mahkamah Syariah, PKNS, Kompleks Penghulu di samping adanya Jabatan peringkat Persekutuan seperti Klinik Kesihatan, Polis dan Bomba, JKR, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), Akademi Percukaian Negara, TNB, Telekom, Hentian Bas, Pusat Tenaga Hijau, Pusat Nuklier, Penyelidikan Kelapa Sawit, Pusat Penyelidikan Petronas, Institut Latihan Islam Malaysia dan berbagai Pusat Penyelidikan dan kemahiran. Pendek kata Bangi mengambil alih pusat pentadbiran dari Kajang, di samping Bangi sebagai Bandar Ilmu. Hulu Langat dari segi pentadbiran sudah berpindah ke Bangi, manakala Kajang tinggal sebagai pusat komersil yang agak terhad dari segi kawasan. Memandangkan imej Bangi yang lebih menonjol, sebab itu pada tahun lepas kita telah mencadangkan Konsep Bangi Raya, yang mana Bandar Baru Bangi – termasuk Sungai Ramal hingga ke Pekan Bangi sebagai Bangi 1, manakala Sungai Tangkas hingga ke Bandar Teknologi sebagai Bangi Dua dan Bandar Seri Putera dan Bakit Mahkota sebagai Bangi 3.

Kekuatan Kajang dari segi pentadbiran, ialah bergantung pada MPKj, yang kecil dari segi kawasan, tetapi besar dari segi cakupan. Kajang seolah-olah mau mengambil fungsi Hulu Langat. Dari satu segi dilihat Kajang lebih banyak mendapat faedah dari segi pembangunan yang cukai taksiran diambil lebih meluas di Hulu Langat. Di dalam hal ini kita lihat Pejabat Daerah yang sepatutnya lebih besar fungsinya merasa lebih kecil kedudukan dan suara, kerana memang hasil cukai dan pembangunan ketara nampaknya pada MPKj. Tempat-tempat lain merasa kurang atau tersisih dari segi pembangunan yang sepatutnya sama dinikmati. Kita melihat fungsi dan cakupan MPHL lebih luas dan dilihat lebih saksama dan kemungkinan perluasan bandaran ke seluruh Hulu Langat, maka wajarlah MPKj ditukar kepada MPHL. Biarlah Ampang dengan Majlis Perbandaran Ampang yang cakupannya praktikal dan persediaan baginya menjadi satu Daerah tersendiri pada masa hadapan. Kajang biarlah menjadi Bandar Komersil di bawah MPHL dan Daerah Hulu Langat dan Bangi sebagai Bandar Pentadbiran dan Bandar Ilmu di bawah MPHL dan Daerah Hulu Langat.

Sekian.

2 comments:

  1. Apa susah buat je macam ni:

    Gabungan beberapa pekan membentuk Majlis Perbandaran.

    Gabungan beberapa Majlis Bandaran membentuk Dewan Bandaraya.

    Gabungan beberapa Dewan Bandaraya membentuk Metropolis.

    ReplyDelete
  2. Salam YB Dr. Shafie. Mohon linkkan blog ana dalam blog YB. Ana dari Pas Caw BB2 BBB. YB Pasti kenal hamba. Aminuddin

    ReplyDelete