September 13, 2010

100,000 Penduduk Bangi Turut Menyesakkan Jalanraya ?

BBB, 03 Syawal = 11 September (Ahad):

Menjelang raya hingga ke hariraya kira-kira 100,000 penduduk DNS Bangi turut sama menyesakkan jalanraya. Bangi, terutama Bandar Baru Bangi adalah kawasan relatif baru, wujudnya dengan kewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia. Penempatan Penduduk BBB adalah pada akhir 1977, bila UKM berpindah dari Kampus Sementaranya di Jalan Pantai, Kuala Lumpur ke Bangi pada akhir tahun tersebut. Kemudian BBB bukan saja dihuni oleh pekerja-pekerja UKM, tetapi pekerja-pekerka 18 buah Universiti yang lahir sekitarnya, berpuluh-puluh Pusat Penyelidikan, berpuluh Pusat Latihan, pegawai, pekerja swasta, peniaga, pekerja kilang dan berbagai-bagai agensi.

Walaupun Bangi sudah dihuni 33 tahun dan sebahagian besar dari penduduknya memiliki rumah kediaman di sini, tapi oleh kerana mereka berasal dari berbagai negeri di Malaysia ini, maka apabila tiba lebaran kerinduan mereka pulang ke negeri-negeri asal menemui orang tua dan keluarga asal tetap tersemat di dalam jiwa mereka. Sebab itu bila tiba hariraya 100,000 dari 300,000 penduduk DNS Bangi turut sama bergerak menyesakkan jalanraya baik ke utara, selatan, timur bahkan ke Sabah dan Sarawak. Mereka ini bergerak dalam tiga kafilah. Kafilah pertama ialah mereka adalah pekerja-pekerja persendirian atau pekerja awam yang mengambil cuti awal dan pulang ke kampong seminggu lebih awal. Kafilah kedua ialah yang mengambil cuti sehari dua lebih awal dan pulang ke kampong sehari dua sebelum tibanya Hariraya. Misalnya bagi Hariraya yang jatuhnya pada hari Jumaat lepas, maka kafilah kedua ini bertolak pada hari Rabu atau Khamis. Kafilah ini paling ramai bergerak di jalan-jalanraya. Kumpulan ketiga dan terakhir, ialah mereka menunggu solat raya di Bangi dan sebaik selesai menunaikan solat Sunat Hariraya mereka sekeluarga bertolak ke destinasi-ke destinasi masing-masing. Dalam perjalanan ini, walaupun sering diperingatkan oleh pihak media supaya berhati-hati di jalanraya, bahkan diadakan kempen keselamatan jalanraya ditol-tol keluar dari Bangi mereka juga tidak terlepas dari mengalami kemalangan jalanraya.

Dari pengalaman yang dialami, suasana selepas solat sunat Idul Fitri, BBB menjadi sepi. Kalau ada ziarah adalah dari anak-anak ke rumah ibu bapa yang ada di sini. Pada keseluruhan selepas solat Idul Fitri suasana menjadi sunyi dan sepi. Kenderaan-kenderaan yang selama ini memenuhi ruang parking ke pasar dan ke berbagai urusan kini sepi dan bagai tiada penghuni. Sebab itu selepas menunaikan sembahyang raya, jika tidak pergi ke jemputan hari terbuka – misalnya pada peringkat negeri yang diadakan pada hariraya pertama, maka masa lebih banyak berada di dalam rumah. Premis-premis perniagaan hampir semuanya tutup. Suasana sepi dan kosong ini berterusan selama seminggu. Pada minggu pertama ini selain dari ketiadaan penghuni, kerana pulang ke kampong masing-masing, maka minggu pertama ini masih belum diadakan `Hari Terbuka`, bukan saja kerana ketiadaan penduduk, tetapi dalam minggu ini ramai daripada penduduk berpuasa sunat Syawal (Puasa Enam). Ibadat ini lebih berlangsung dalam suasana sepi berbeza dengan puasa Ramadhan yang lebih meriah. Bagi ADNS Bangi, inilah masa benar-benar dapat berehat. Kalau pada bulan Ramadhan jadual penuh dengan kegiatan dan setiap malam bergerak dari surau ke surau atau masjid, maka seminggu ini lebih banyak di rumah dan hanya ke surau kariah sendiri sahaja.

Walau bagaimana rehat seminggu ini pada hakikatnya persediaan bagi masa yang lebih sebok, bermula dari awal minggu kedua selepas raya (17 September) – jemputan-jemputan telah diterima terutama bagi Majlis-Majlis Sambutan Idul Fitri – termasuk yang dianjur oleh Kawasan dan ADNS Bangi, jemputan kahwin di samping tugas pejabat dan kegitan ADNS Bangi dan Parti. Sesungguhnya dalam minggu pertama ke hujungnya ini juga penduduk Bangi yang keluar berkafilah itu juga mulai pulang berperingkat-peringkat menurut cuti yang diambil. Kepulangan dipuncaki pada hujung minggu pertama, kerana mulai awal pada minggu kedua masing-masing mula bekerja dan anak-anak mulai ke Sekolah, antaranya bagi menghadapi peperiksaan. Pada minggu kedua Bangi mulai bernafas dan kehidupan kembali cergas..

Sekian.

1 comment: