August 2, 2010

Sekolah Rendah Agama Di Taman Tun Perak Dirasmi Menteri Besar Selangor

Tmn. Tun Perak, Balakong, 20 Sya`ban = 01 Ogos (Ahad):

YAB Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor pagi ini merasmikan pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) di sini di atas tapak seluas 6 ekar. Buat permulaan 2 bloks bangunan 4 tingkat dengan 30 kelas dan sebuah kantin didirikan dengan kos RM7.1 juta. Menurut YAB, ``Ini merupakan tugas kerajaan untuk kebajikan masyarakat di sini.`` Kata YAB, ``Permintaan untuk mendirikan Sekolah sedemikian lebih 60,000. Pertimbangan dibuat atas ketiadaan dan keperluan SRA di sini.`` Menurut YAB,``Dengan terdirinya SRA di sini dapat menampung keperluan Sekolah Agama penduduk di Taman Tun Perak yang berjumlah 4,000 orang dan penduduk di sekitar. YAB meminta ibu bapa mementingkan pendidikan anak-anak, kerana dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan saja yang akan menjamin masa depan anak-anak.

Hadir sama pada pagi yang cemerlang menyertai perasmian ialah YB Dr Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, YB Yap Lum Chin ADNS Balakong, Dato` Hasan Nawawi bin Abdul Rahman YDP MPKj, Kajang, Ustaz Bong Salleh bin Adnan Nazir Sekolah-Sekolah Agama, Hulu Langat, Haji Zulkifli, Ketua Timbalan Pegawai Daerah Hulu Langat, Tuan Haji Razali Hassan Ahli MPKj, En.Khalid Khusair Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tun Perak dan En. Jamrus bin Abdul Manaf Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan SRA Taman Tun Perak.


Sementara itu YB Dr. Shafie Abu Bakar ADNS Bangi yang juga Pembantu Exco Hal Ehwal Islam Dan Adat-Adat Melayu ketika berucap beliau mengucapkan terima kasih di atas kehadiran YAB, beliau lebih-lebih lagi berterima kasih, kerana pihak YAB dan Kerajaan memilih kawasan Tun Perak mendirikan SRA di sini. Menurutnya, ``Selepas kemenangan Kerajaan Pakatan Rakyat 2008 permohonan telah dibuat bagi mendapat sebuah Sekolah agama di sini dan juga sebuah surau,`` katanya ``Al-hamdulillah permohonan diluluskan oleh kerajaan negeri dan projeknya telah bermula sejak 14.7.2010.`` Beliau melahirkan harapan penduduk agar sebuah surau dapat didirikan dari peruntukan Sekolah yang akan digunakan oleh Sekolah dan juga penduduk.`` Beliau mengharapkan penduduk bersyukur kepada Allah dan berterima kasih sesuai dengan firman Allah bermaksud:

``Sekiranya kamu bersyukur, necaya Allah akan menambahkan lagi nikmatnya, sebaliknya jika kamu kufur, ingatlah azab Allah amatlah pedih (Ibrahim: 7).

Ustaz Bong Salleh dalam taklimatnya memaklumkan, ``Tidak ada Sekolah agama di Taman Tun Perak dan kawasan berdekatan.`` Menurutnya Sekolah ini akan menampung 2,000 murid yang tak dapat bersekolah agama dan Sekolah ini apabila siap merupakan antara Sekolah SRA terbesar di Hulu Langat.`` Kerja-kerja pembinaan menurut Ustaz Bong memakan masa 18 bulan dan dijangka siap pada akhir 2011 dan dijangka dapat digunakan pada awal 2012.

Turut berucap mengalu-ngalukan kehadiran YAB Dato` Menteri Besar ialah En. Jamrus bin Abdul Manaf selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan.



Berikut dari ucapan YAB Dato` Menteri Besar beliau merasmikan pembinaan dengan memotong reben skrol banting yang memaparkan maklumat pembukaan dan menandatangani plan lakar bangunan SRA yang didirikan. Majlis dimeriahkan dengan pukulan kompang dan nasyid yang dipersembahkan oleh anak-anak dari kumpulan nasyid tempatan.


Terima kasih.

No comments:

Post a Comment