August 30, 2010

Khatam Quran, Penghargaan Dan Bantuan

Pekan Bangi, 19 Ramadhan = 29 Ogos (Ahad):


Sebelum sedikit dari waktu Isyak, kami tiba di Surau Ibtidaiyah disambut AJK Surau. Sesudah sembahyang sunat kami menunggu Isyak dan menunaikannya diikuti tarawih dan witir. Berikutnya diadakan majlis di atas. Inilah surau terawal bagi ADNS Bangi menbghadiri Majlis Khatam Qur`an di kalangan pelajar-pelajar Sekolah yang bertadarrus sepanjang malam Ramadhan di surau ini. Jumlah mereka adalah 17 orang. Mereka berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan berada di dalam lingkungan bujur. Hadir sama menyertai majlis dan meraikan pelajar-pelajar Khatam Quran dan majlis Penghargaan dan Bantuan, selain dari ADNS Bangi ialah Tuan Haji Mazwan Johar Ahli Majlis MPKj Zon 24, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan dan AJK-AJK, Tuan Haji Sudin Pengerusi dan Imam surau, En. Bukhari Imam, AJK-AJK, ibu-bapa dan anak-anak yang berjumlah hampir 200 orang. Majlis bermula dengan anak-anak membaca ayat-ayat lazim secara seorang demi seorang hingga tamat dan ditutup dengan doa.


Sebelum Majlis Penyampaian Penghargaan ADNS Bangi menyampaikan ucapan dan berterima kasih di atas jemputan. Beliau bergembira dan bersyukur melihat tradisi khatam Qur`an Tahunan terus di adakan. ADNS memuji bacaan anak-anak yang kena dengan makhraj, tajwid dan fasih. Beliau mau pelajar-pelajar terus bertadarrus di dalam bulan Ramadhan dan membacanya berterusan di luar Ramadhan. Beliau percaya anak-anak ini akan menjadi pemimpin pelapis yang akan memajukan surau kampong berkenaan. Beliau mendoakan – dengan berkat Qur`an anak-anak akan lebih maju jaya dalam pelajaran. Sebagai penghargaan kepada mereka ADNS dijemput menyampaikan sijil penghargaan dan beberapa cenderahati, termasuk sedikit wang tunai.


Selepas itu penyampaian bantuan dilakukan ADNS Bangi kepada 16 orang penerima yang terdiri dari warga emas yang kebanyakan dari mereka sudah agak uzur oleh kelanjutan usia. Sebahagian daripada mereka adalah bekas pemimpin surau dan tempatan.


Turut diberi penghargaan ialah kepada semua AJK dan pekerja-pekerja surau, khususnya bagi menjayakan Ramadhan. Mereka berusaha mencari dana bagi kebajikan Ramadhan, mencari penceramah dan pentazkirah Ramadhan, penyedia juadah dan air dan menjaga kebersihan surau agar terus bersih.

Menurut Tuan Haji Sukaimi yang menjadi pengacara, sebanyak lebih dari RM3,000 dapat dipungut dalam bulan Ramadhan, RM1,000 lagi dari sadaqah tahlil. Sebahagian dari kewangan digunakan bagi majlis ini. Menurut Tuan Haji Sukaimi sepanjang bulan Ramadhan sebanyak 12 kuliah telah disampaikan oleh 9 orang penceramah jemputan. Menurutnya Kuliah Subuh menjadi acara tradisi bagi surau ini. ADNS Bangi mengucapkan tahniah di atas berbagai-bagai kegiatan yang diadakan bagi memakmurkan surau.


Sekian.

No comments:

Post a Comment