August 12, 2010

Dari Mengagih Zakat Ke Mengacau Dodol

BBB, 26 Sya'ban = 07 Ogos (Sabtu):


9.00 pagi berada di Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi bersama dengan Tuan Haji Mohd. Zain Timbalan Nazir dan Encik Saifuddin bin Muda Ketua Lembaga Zakat Cawangan Bangi dan Pegawai-Pegawai Zakat dari Cawangan tersebut menyampaikan agihan zakat kepada asnaf-asnaf fakir-miskin di kawasan DNS Bangi. (Tentang pecahan zakat ini ADNS Bangi telah tulis secara detail sebelum ini semasa menyampaikannya di Masjid KLIA, Selangor pada Khamis 05 Ogos yang lalu).


Berikut dari itu ADNS ke Pekarangan Pejabat Daerah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi menyaksikan Pesta Mengacau dodol anjuran Pejabat Daerah – diketuai Tuan Pegawai Daerah, Tuan Haji Zainal Abidin A`la. Peserta-peserta adalah dari kawasan-kawasan, agensi-agensi kerajaan, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong & JKK dengan anak buah masing-masing, NGO-NGO dan jabatan-jabatan. Seluruh kawasan Pejabat Daerah memutih penuh dengan khemah dan peserta-peserta. Manakala di luar penuh dengan kenderaan dan tidak kecukupan tempat parking. Lebih dari 10,000 orang hadir sebagai petugas dan sebagai penyaksi. Sebanyak 310 buah kawah dodol dimasak oleh lebih kurang 200 perwakilan. Perwakilan dari kampong – termasuk dari komuniti Cina dan India. Setiap perwakilan memasak 3 kawah, tetapi ada agensi-agensi yang memasak lebih dari 3 kawah seperti Pemadam memasak 10 kawah, Rela 10 kawah dan Rukun Tetangga 10 kawah. Setiap kawah memasak sebanyak 10 kg. bahan. Memasak dodol mengambil masa yang lama dari pagi ke tengahari, memakan masa 5 – 6 jam. Bahan utama adalah tepung pulut, santan, gula atau manisan kelapa dengan perencah-perencah seperti durian, bunga cengkeh, kayu manis dan sebagainya. Bahan ini dimasuk di dalam kawah yang dimasak di atas dapur (tuku) yang sederhana apinya. Kerja mengacau adalah berterusan dan biasanya dilakukan antara dua dan tiga orang yang mengacau dengan pengacau (sodet besar) dari kayu. Tujuan dikacau berterusan supaya ianya likat dan tidak hangus. Santan dan pulut asalnya cair, lama kelamaan makin pekat dan likat. Dodol yang masak berwarna kehitam-hitaman dan ianya pekat dan tidak melekat pada pelepah atau daun pisang yang biasa digunakan sebagai alat ujian.




Acara mengacau dodol ini disaksikan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor yang datang pada sebelah petang jam 6.00, iaitu setelah semua peserta siap memasak dodol pada kawah masing-masing. YAB menutup Pesta Mengacau Dodol dengan rasminya. ADNS Bangi yang datang pada tengahari sempat membuat lawatan hampir ke semua tempat mengacau dodol, bahkan turut sama mengacau dodol di beberapa kawah dan merasainya. Tidak banyak perbedaan dari segi ciri dan sifat dodol, walaupun masing-masing bebas menurunkan resipi masing-masing, kecuali yang memasukkan durian agak berbau durian. Ada sedikit perbezaan warna. Ada yang agak hitam dan ada yang agak kelabu – bergantung pada resipi, pengawalan api dan cara mengacau. Ada dodol berwarna hijau yang terdapat di pasaran – terutama di Pantai Timur. Tapi tak ada yang memasak dodol hijau di sini. Dodol hijau biasanya lebih mahal. Mungkin tak ada yang tahu resipi dodol hijau di sini, kecuali di Pantai Timur – juga di Kedah ? Dodol yang baik tahan disimpan. Ianya dibalut bulat dengan upih dan digantung pada para dapur (zaman tradisi) dan tahan lama bagi digunakan (dipotong untuk dimakan sedikit-sedikit atau dijadikan bahan ramuan masakan seperti bubur – terutama yang berperisa durian).



Sungguhpun kacau dodol disertai ramai pekerja bagi 310 kawah, tapi tidaklah dipertandingkan misalnya dari segi sedap atau tidak atau antara pasukan yang paling baik kerjasama dan sebagainya. Ianya adalah sekadar `suka-suka` sebagai kegiatan budaya dan kemasyarakatan. Antaranya untuk memecahkan rekod mengacau dodol terbanyak dan teramai pernah diadakan (sebelumnya di Pahang sebanyak 180 kawah) dan diharap dicatat didalam Guiness Malaysia Book of Record. Peruntukan bagi mengacau dodol ini menurut Tuan Pegawai Daerah ialah RM75,000/=. Ini bukan kali pertama pesta masakan dilakukan di Hulu Langat. Pada tahun lepas adalah diadakan acara memasak ketupat terbanyak. Mungkin pada tahun depan diadakan acara masakan yang lain pula – sate yang terkenal di Kajang, Hulu Langat itu umpamanya yang nampaknya pesta masakan ini mula menjadi identiti bagi Daerah Hulu Langat. Kalau acara memasak menjadi acara tahunan yang meriah, disebar secara langsung ke seluruh dunia melalui media letronik - ada pengunjung dari German dan Belgium, bolehlah dimasukkan ke dalam kalindar Pelancongan Negeri dan Negara sebagai acara – Pesta Masakan Hulu Langat!.



Sekian.

No comments:

Post a Comment