July 25, 2010

Program Kesedaran Pengguna Mengenai Kualiti Air & Gotong Royong: Apa Muslihat Syabas ?

Seksyen 4, BBB, 12 Sya'ban = 24 Julai (Sabtu):


Sebaik menerima surat jemputan dari Syabas kelmarin mengenai program di atas terbetik di dalam mindaku, apa kena mengenanya Syabas datang menganjur gotong royong di kawasanku di atas. Gotong royong ini kerja Wakil Rakyat dengan penduduk kawasan bagi membersih kawasan di samping menjalin kemesraan dengan penduduk setempat. Sebenarnya aku faham gotong royong walaupun bukan kerja Syabas, tetapi inilah mekanisme bagi Syabas menyerang/membalas serangan terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang mau mengambil alih urusan air daripada exploitasi pihak swasta kepada pengawalan di bawah Kerajaan Negeri bagi kepentingan rakyat. Pembelaan terhadap kepentingan rakyat tak dapat dipertikaikan. Komitmen Kerajaan Negeri Selangor telah memberi kekecualian kepada rakyat jelata Negeri Selangor - kekecualian dari membayar bil air yang digunakan di bawah 20 kubik meter seharga RM20.00 bulanan.

Sekiranya pengurusan air dikembalikan kepada Kerajaan negeri maka harga air akan lebih murah, sebagaimana murahnya harga air di Pulau Pinang. Bayangkan air yang dapat diuruskan oleh satu institusi – sebelum diswastakan setengah dekad yang lepas, memang air di bawah kawalan Kerajaan Negeri dikenali dengan Jabatan Bekalan Air Selangor. Bayangkan kerja mengurus air yang dikurniai oleh Allah secara percuma memang amat menguntungkan ! Sebab itu selepas diswastakan berbagai syarikat air lahir bagi mentadbir air bagi mengaut keuntungan.

Kalian tahu lahirnya syarikat seperti Syabas, Abas, Splash, Puncak Niaga, Puspel dan Luas (Indah Water dulu disatukan di bawah Jabatan Bekalan Air Selangor) dengan pejabat-pejabat berlainan membanyakkan pejabat, membanyakkan pentadbiran, membanyakkan tempat operasi–tetapi tak mengapa. Pendapatan masih banyak untuk membahagi-bahagikan keuntungan! Bayangkan menurut Ustaz Badrul Amin Ketua Penerangan PKR, Gaji tahunan seorang Pengerusi RM5.1 juta setahun - dipecahkan RM425,000 sebulan, RM14,166.00 sehari (8 jam), RM1,770.00 sejam dan RM29.51 seminit. Wow! Gaji sehari seorang Pengarah lebih tinggi dari gaji seorang Exco Kerajaan Negeri. Keuntungan memang tinggi. Ada baiknya dibagi-bagi di kalangan syarikat-syarikat swasta. Tetapi alangkah baiknya keuntungan dibahagi-bahagikan kepada rakyat!

Sekarang serangan dihalakan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, Negeri Selangor akan bermasalah dari segi bekalan air menjelang 2012, sedangkan Kerajaan Negeri berpendapat, tiada masalah kekurangan air di Selangor sehingga 2019. Mengapa timbulnya serangan? Kerana cadangan membawa air dari Pahang ke Selangor yang akan meningkatkan kos air dan meningkatkan bil bayaran, tetapi menguntungkan pihak swasta akan terencat. Kerajaan negeri menangguhkannya, kerana Negeri cukup air dan mengelak dari merosakkan environment. Kos pembawaan air asalnya dalam lingkungan RM2 billion kini meningkat kepada RM8 billion. Bayangkan kos yang akan dikenakan terhadap pengguna kelak.

Hadir Ke Jemputan

Aku memang buat keputusan dari awal, walaupun berdepan dengan institusi yang bercanggah polisi dengan Kerajaan Negeri dan Pakatan. Tujuan hadir untuk mendapat maklumat tentang kegiatan, meraikan program yang diadakan di tempat ADNS Bangi dan bersama dengan rakyat setempat dan melibatkan diri bergotong royong. Namun di dalam fikiranku ada reservation agar kehadiranku jangan sampai digunakan sebagai memihak kepada Syarikat yang menganjur.

8.45 pagi semasa bertolak bersama saudara Azizi ke Surau al-Kauthar tempat diadakan program dan gotong royong, aku mengingatkan kepada Saudara Azizi, bahawa kita akan hadir ke satu majlis yang dianjur oleh satu institusi yang bercanggah polisinya dengan Kerajaan Negeri dan Pakatan Rakyat. So berhati-hati dari segi tindakan dan percakapan.

Ketibaan kami di pekarangan Majlis bagi Program di tepi Surau Al-Kauthar disambut oleh Pengerusi Surau Tuan Haji Nazri bin Daud, Timbalan En. Zulkifli Salleh, Setiausaha Encik Ridhuan Harun dan Bendahari Haji Mukhtar Adnan. Kami diperkenalkan dengan Pengarah Operasi Syabas Tuan Haji Ariff Ibrahim, Timbalannya Encik Zulkifli Salleh dan pegawai-pegawai dan kakitangan dari Syabas berjumlah lebih kurang 50 orang. Lebih ramai dari ahli kariah yang datang. Mereka datang dengan peralatan dari lori-lori Syabas, peralatan untuk pameran dan penerangan dan banner-banner yang dipasang. Setelah bercakap-cakap dan minum keraian. Majlis Perasmian dimulakan. Aku diberi penghormatan merasmikan.

Dalam ucapan alu-aluannya Tuan Haji Ariff Ibrahim berterima kasih kepada pihak ADNS Bangi kerana sudi datang dan kepada pihak Surau al-Kauthar yang menjadi tuan rumah. Menurut Tuan Haji Ariff, "Hulu Langat yang lebih khusus Bangi adalah tempat keempat pilihan Syabas di Selangor bagi mengadakan Program Kesedaran Pengguna Mengenai Kualiti Air & Gotong Royong Anjuran Syabas,". Menurutnya, "Pilihan Seksyen 4 dekat Surau al-Kauthar, kerana ada aduan dan gangguan air di kawasan ini."
"Kita mahu memastikan perkhidmatan terbaik bagi penduduk di Bangi, sebab itu kita memberi perhatian terhadap sebarang gangguan."

Bagi menambah Kualiti air, kata Haji Ariff, "Syabas telah mengadakan projek penukaran dan penaikan taraf paip dan saluran air di sebahagian kawasan di Hulu Langat." Menurut Haji Ariff lagi, "Bangi bernasib baik, penukaran paip dan saluran air dilakukan 2006 dan siap 2007 yang melibatkan 2,500 rumah. Selepas itu projek itu dihentikan, kerana masalah peruntukan dan pentadbiran." Haji Ariff mengingatkan, Bangi adalah merupakan sebahagian dari lembangan tadahan hujan di Hulu Langat, iaitu Sungai dan tadahan air kedua terbesar di Selangor, selepas Hulu Selangor. Kita mau memberi kesedaran kepada masyarakat, pengusaha-pengusaha dan kilang-kilang agar mengelak dari pencemaran air yang boleh merosakkan kualiti air dan jika berlaku pencemaran yang teruk terpaksa bekalan air ditutup sebagaimana pernah berlaku beberapa kali.


ADNS Bangi, ketika menyampaikan ucapan ringkas bagi perasmian mengucapkan syabas kepada Syabas! (ketawa), kerana mengadakan Program Kesedaran dan Gotong royong, lebih-lebih lagi terima kasih kerana memilih Seksyen 4 di bawah kawasan DNS Bangi. Menurutnya "Air Amat Penting kepada Kehidupan." Beliau memetik ayat Quran dan memberi maksudnya,

"Dan kami jadikan daripada air itu segala yang hidup. Apakah mereka itu tidak beriman" (Al-Anbiya': 30).

Sebab itu kita kena bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang diberi dan menjaga air yang diberi Allah secara percuma dengan membahagi pula secara saksama dan adil menurut keperluan.

Elemen yang penting bagi keperluan bagi air ialah kebersihan. Kita memerlukan air bersih bagi makan, minum, membersih pakaian dan sebagainya. Air yang bersumber dari sungai ini memerlukan kepada pembersihan. Proses ke arah pembersihan memerlukan kos. Hari ini kita akan mendapat penerangan, bagaimana air mentah dari sungai ini yang biasanya kotor perlu diproses dan memerlukan kos yang perlu kita tanggung bersama. Dalam hal ini kerajaan Negeri Selangor memberi percuma penggunaan air dibawah 20 kubik meter. Konsep kebersihan air bukan setakat untuk makan minum dan menjalankan perusahaan yang memerlukan air, tetapi untuk ibadat kita juga memerlukan air bersih seperti untuk berwuduk dan mandi. Sebab itu kita seharusnya mengambil bahagian di dalam menjaga kebersihan air, seperti tidak mencemarkan air, tidak membuang sampah dan kotoran di dalam air dan sebagainya. Air sumber hayat dan sama-samalah kita jaga air. Dengan maksud menjaga kebersihan juga kita adakan gotong royong pada hari ini supaya surau dan kawasan surau dalam keadaan bersih, ia adalah tempat ibadat kita yang perlu kita bersih. Bahkan dari bersih fizikal Islam menekankan kebersihan jiwa, maka selain dari bersih jiwa melalui ibadat solat, kita juga bersih sekitaran surau bagi persediaan untuk menyambut Ramadhan. Ibadat yang menekankan pembersihan jiwa. Begitulah Islam menekankan pembersihan lahir dan batin. Sebab itu utamakan kebersihan. Sesungguhnya Sabda Rasulullah bermaksud – Bersih adalah sebahagian daripada Iman.


Encik Mokhtar dari Syabas diberi tugas memberi taklimat. Beliau menyatakan:

  • Kempen yang dijalankan bagi mendidik pengguna bagi menghargai dan memelihara air
  • Air di sini bersumbarkan kawasan tadahan di Hulu Langat. Bangi mendapat sumber air dari Sungai Semenyih.
  • Hulu Langat, lembangan kedua terbesar di Selangor seluas 2,423 km.
  • Di Bangi ada tiga anak sungai, iaitu Sungai Ramal, Air Hitam dan Sungai Tangkas
  • Laporan Alam Sekitar 2008 daripada 143 kawasan tadahan, hanya 76 saja yang bersih. Berbanding pada 2007 sebanyak 91 bersih. Bererti kualiti air makin merosot
  • Daripada 48 batang sungai di Selangor 6 tercemar 15%, 18 sederhana 45% dan 16 bersih 40%.
  • Kualiti Sungai Langat juga merosot daripada kedudukan kedua 2007 menjadi ketiga 2008.
  • Berbagai sebab pencemaran seperti buangan industri, air kumbahan, sisa domestic, pembuangan sampah, pengorekan pasir?
  • Kerjasama antara Syabas dan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan Negeri bagi menjaga mutu air.
  • Pihak awam perlu sama peka menjaga kebersihan dan kesihatan.

Selepas taklimat, kami dibawa melihat pameran dan diberi penerangan mengenai peralatan-peralatan yang dipamerkan. Bila melihat gambar aktiviti melombong pasir ADNS Bangi bertanya, gambar ini bila diambil? Menurut yang memberi penerangan, ianya diambil tahun 2007. Kata ADNS Bangi, "Ini bererti aktiviti sedemikian dilakukan sejak sebelum kerajaan PR lagi? Semua ketawa!





Selepas itu kami dibawa ke lokasi gotong royong di dalam Surau dan di luar surau. Selepas itu ADNS memohon diri dan tidak berkesempatan makan tengahari yang disponsor seorang ahli pendukung Syabas bagi mereka yang bergotong royong.


Terima kasih

No comments:

Post a Comment