July 15, 2010

Merakyatkan Maklumat Di Selangor

Shah Alam, 02 Syaaban = 14 Julai (Rabu):


Selepas melaksanakan polisi "Merakyatkan Ekonomi", kini Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor meningkatkan komitmennya dengan mengajukan kepada Dewan Negeri pada hari ini:

Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Selangor 2010


Ia adalah: "Suatu Enakmen bagi mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam, untuk memberi kepada setiap individu peluang untuk akses kepada maklumat yang dibuat oleh setiap Jabatan Kerajaan Negeri."

Maklumat ialah, "Apa-apa dokumen yang dibuat oleh mana-mana jabatan Kerajaan Negeri, tetapi tidak termasuk dokumen yang telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88). Maklumat termasuk tulisan, buku, risalah, naskhah, surat, perjanjian, rakaman, peta lokasi, minit mesyuarat, cd, artifek dan berbagai-bagai lagi."

Selama ini banyak masalah dihadapi rakyat untuk mendapatkan maklumat. Misalnya untuk mengetahui lokasi-lokasi tanah kosong yang mahu dipohon. Bahkan setengah maklumat sengaja disembunyikan dengan berselindung di sebalik penggunaan Akta OSA. Misalnya mengenai konsesi tol, hasil pendapatan dan perjanjian yang berhubung dengannya. Maklumat berkenaan tender pasir dan mereka yang mendapat lesen menjalankan operasi dan hasil dapatan. Sering fakta-fakta sengaja disembunyikan bagi melindungi kroni dan sebagainya.

Maklumat mungkin juga diperlukan oleh pelajar-pelajar pengajian tinggi bagi membuat kajian, misalnya mengenai populasi, pemilikan hartanah dan taburan dari segi sektor ekonomi dan sebagainya.


Bagi memudahcara mendapat maklumat perlu dilantik pegawai maklumat bagi setiap jabatan. Pegawai berkenaan bertugas menjaga, mengklasifikasikan bahan, menyimpan, pelupusan maklumat jabatan, mengurus permohonan maklumat dan membantu individu bagi mendapatkan maklumat.

Untuk mendapat maklumat hendaklah melalui permohonan dan dikenakan bayaran minimum. Permohonan boleh ditolak jika tidak berkenaan. Rayuan boleh dibuat jika pemohon tidak berpuashati. Lantaran itu disyorkan agar ditubuhkan Suruhanjaya Kebebasan Maklumat bagi menilai perjalanan dan kelicinan dari segi pentadbiran. Penilaian terhadap maklumat yang dibenarkan agar tidak berlaku penyelewengan. Misalnya menggunakan maklumat sebagai bahan komersil dan mencari keuntungan, lantaran itu bentuk hukuman juga perlu disediakan.

Dalam perbahasan pihak pembangkang dengan menimbulkan cadangan berkenaan semakin banyak birokrasi dan "Merakyatkan Maklumat" adalah satu cara bagi menciptakan peluang pekerjaan bagi pemerintah.

Pihak pembangkang juga menimbulkan, sebarang anakmen yang digubal bercanggah dengan peruntukan Kerajaan Federal akan terbatal dengan sendiri dan sia-sia, lagi pula kuasa menghukum bukan berada pada tangan orang politik, tetapi pada mahkamah.

Pihak Kerajaan Negeri menghujah, bahawa Kerajaan Negeri di bawah artikal 73 & 74 boleh menggubal anakmen-anakmen melahirkan akta-akta dan boleh menggunakan hak-hak di bawah bidang kuasanya. Kita hendaklah memberikan hak-hak bagi rakyat bagi mendapatkan maklumat. Walau bagaimana Akta Merakyatkan Maklumat ini diserahkan kepada satu jawatankuasa diketuai YB Saari Sungib untuk diteliti, dicadang dan pembaikan bagi Akta Merakyatkan Maklumat tersebut.

Sekian.

No comments:

Post a Comment