July 14, 2010

Menyertai Sambutan Isra' Dan Mikraj

Taman Sutera, Balakong, 28 Rajab = 11 Julai (Ahad):


Sekali lagi penduduk Taman Sutera keluar beramai-ramai, kecil besar, tua muda dan lelaki perempuan di kawasan terbuka berkhemah dilorong perumahan di sini menyambut Isra' Mikraj. Berbeza dari sambutan Maulid al-Rasul dahulu, mereka berarak, tapi kali ini terus berhimpun di bawah khemah bagi mengikuti acara Sambutan Isra' Mikraj. Tamu jemputan yang menyampaikan semacam "Forum Perdana" ialah Dr. Azhar Muhammad dari UIA dan Haji Fauzi Mustaffa. Tetamu-tetamu yang lain ialah Cikgu Nazri Pengerusi Surau Taman Sutera, Saudara Syarizah selaku Pengerusi, Saudara Abdullah Salleh selaku Setiausaha Surau dan Ustaz Bakhtiar.

ADNS Bangi yang dijemput merasmikan Majlis Sambutan mengucap syukur kepada Allah dan berterima kasih atas jemputan. Beliau amat tertarik dengan komitmen pemimpin setempat dan keterlibatan semua pihak dengan sambutan. Beliau juga berterima kasih kepada Ustaz Fauzi dan Dr. Azhar yang sudi datang menyertai Forum.


Beliau bertolak memulakan pembicaraan dengan membaca ayat dari Surah al-Isra ayat 1, yang menceritakan perjalanan Nabi Muhammad dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Beliau juga memetik ayat-ayat dari Surah al-Najm yang merakamkan peristiwa Mikraj. Menurut beliau cerita Isra' Mikraj sebagai peristiwa keagamaan, tetapi juga terkenal dengan cerita-cerita yang dilihat oleh Rasulullah dalam perjalanan Isra' Mikraj berunsur pendidikan. Isra' Mikraj mempengaruhi Dant, seorang sasterawan Barat pada abad pertengahan yang menulis tentang cerita-cerita pengembaraan yang jelas terpengaruh dengan cerita di dalam Isra' Mikraj. Begitu juga Isra' Mikraj mempengaruhi bentuk cerita Alf Laylah wa Laylah (Seribu Satu Malam) di dalam bahasa Arab. Di dalam bahasa Melayu terdapat pengaruh bentuk cerita di dalam persuratan Melayu yang dikenali dengan Cerit-Cerita Berbingkai.


Ustaz Haji Fauzi Mustaffa yang memulai forum mengaitkan peristiwa Isra' Mikraj yang antara fungsinya menanamkan nilai yang baik dan menolak yang jahat. Beliau menyatakan kerisauan dengan kejatuhan nilai moral di kalangan anak-anak muda yang melemahkan Negara pada masa hadapan. Beliau mengaitkan Isra' Mikraj dengan perintah bersolat.

Solat adalah penerimaan utama yang diterima Rasulullah dari segi Mikraj. Mengerjakan solat sesungguhnya dapat mencegah diri dari perbuatan keji dan mungkar. Beliau berharap ibubapa dapat mendidik anak-anak mereka dengan bersolat agar dengannya terbina benteng kejiwaan yang kukuh.


Manakala Dr Azhar berbicara berhubung dengan aqidah. Peristiwa Isra' Mikraj adalah berkait dengan aqidah. Kita wajib meyakini sebagaimana peristiwanya disebut di dalam al-Quran. ADNS Bangi hanya dapat mengikuti sebahagian dan Forum dan terpaksa meminta diri, kerana mempunyai program lain di West Country, Seksyen 5 Bandar Baru Bangi.


Terima kasih.

No comments:

Post a Comment