July 4, 2010

Kulaan Banjar Berekspedisi Ke Utara

BBB, 21 Rajab = 03 Julai (Sabtu):


Tahukah anda bahawa terdapat sebuah Persatuan "Kulaan Banjar" di Selangor. Tempat tertubuh dan bergiatnya persatuan ini ialah di BBB. Kulaan Banjar – bermaksud "Persaudaraan Banjar". Presiden bagi Kulaan Banjar ialah Tuan Haji Salleh Kasim yang merupakan Presiden ke IV sejak ditubuhkan 10 tahun yang lalu, manakala Setiausaha ialah Dr. Zainal Abidin bin Sulaiman dengan sejumlah AJK. Pejabat bagi Kulaan Banjar ialah di sebuah Kedai di Dataran Usahawan di BBB. Antara tumpuan Kulaan Banjar ialah melibatkan ahli dengan perekonomian seperti perusahaan, pertanian dan bergiat di dalam bidang koperasi. Presiden Tuan Haji Salleh Kasim sendiri seorang peniaga di samping pengamal perubatan.

Bagi keturunan Kulaan Banjar mereka amat bermegah dengan seorang ulama dari Banjar pada pertengahan kurun 19, iaitu Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari yang amat berjasa menyebarkan Islam di Banjar dan di Alam Melayu. Syeikh Muhammad Arshad ialah Pengarang Kitab Sabilul Muhtadin, iaitu sebuah kitab fiqh yang amat terkenal dan masih digunakan di dalam pengajian agama tradisi dan kini. Salah seorang turunan dari ulama ini ialah Tuan Hussein Kedah yang membuka pengajian pondok di Kedah. Beliau juga mengarang kitab-kitab - antara kitab terkenalnya ialah Hidayat al-Mutafakkirin yang masih diguna di dalam pengajian-pengajian hingga kini. Ramai dari keturunan Tuan Haji Hussein Kedah ini menjadi ulama dan tokoh-tokoh terkenal.

Sejak ditubuhkan Kulaan Banjar yang keahliannya di seluruh Negara, Kulaan Banjar bergiat di dalam berbagai-bagai kegiatan. Antaranya perhimpunan tahunan Kulaan Banjar yang biasanya diadakan di BBB. Mereka berhimpun, berkhemah dan bermalam bertempat di ruang lapang berdekatan Dataran Usahawan BBB. Kadang-kadang melibatkan penyembelihan lembu bagi menjamu kehadiran ahli. Jumlah ahli tidak pasti, tapi menurut Haji Salleh mungkin mencecah kepada sejuta orang.


Dengan pemilihan AJK baru yang diPresidenkan oleh Tuan Haji Salleh Kasim, maka Kulaan Banjar mengatur rancangan kegiatan mereka, khususnya bagi tahun 2010. Antaranya pada pagi ini diadakakan XPDC Kulaan Banjar, bertolak dari BBB dengan 5 buah kenderaan dengan jumlah 20 orang menuju ke Kuala Selangor. Sebelum bertolak diadakan pertemuan dan makan pagi bersama Dato` Dr. Haron Din (beliau sebagai Tamu Kehormat bukan dari turunan Banjar) di hadapan pejabat Kulaan Banjar di Medan Usahawan. Turut sama dijemput ialah ADNS Bangi dan peserta-peserta Kulaan Banjar. Pada masa makan pagi ini kuih-kuih Banjar dihidangkan antaranya kuih kalakatar, wadai kipeng, nasi pulut kelapa ber wadi (ikan pekasam), kisor dan sarabi yang semuanya merupakan jenis-jenis kuih. Sebelum bertolak dan selepas ucapan ringkas dari Presiden Dato` Dr. Haron Din membaca doa selamat untuk keselamatan konvoi XPDC.

Semasa XPDC Kulaan Banjar hendak bertolak dengan kereta bergerak secara berkonvoi ADNS Bangi diminta mengebarkan bendera melepaskan konvoi perjalanan.

Dalam masa perjalanan mereka singgah di destinasi di Kuala Selangor. XPDC menziarah kawasan berpendudukan Banjar menemui mereka dan bergerak dengan ahli XPDC yang bertambah dengan penyertaan peserta di Kuala Selangor. XPDC meneruskan perjalanan ke Sungai Besar, Bagan Datoh dan Bukit Merah. Di setiap lokasi mereka menziarah dan melawat ke projek-projek ahli-ahli misalnya di Kuala Selangor mereka melawat Koperasi Kulaan Banjar di Kuala Selangor.

Dari Kuala Selangor mereka bertolak dengan pertambahan ahli konvoi ke Tanjung Karang. Mereka makan tengahari di sini dan melawat Koperasi Kulaan Banjar di Tanjung Karang. Kemudian bergerak ke Sekinchan. Di sini mereka melawat dan mengikuti taklimat berhubung dengan Projek Burung Walit, melawat Projek Ikan Wadi di Sungai Nibong dan mengikuti Taklimat Koperasi Kolaan Banjar Sungai Besar. Mereka dihidangkan dengan Persembahan sejenis lagu Madihin (Puji Nabi) di Dewan JKK Sungai Haji Derani dan bermalam di Homestay Sungai Haji Derani.

Pada hari kedua mereka berlepas ke Bagan Datoh berjumpa dengan keturunan Banjar di sana, melawat mini muzium di sana mengenai koleksi Hj. Hasan Adli (Bekas tokoh Pas yang pernah menjadi Ketua Pemuda Pas dan pernah menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu). Haji Hasan Adli menjadi salah seorang tokoh kebanggan Kulaan Banjar.
Kemudiaan Kulaan Banjar bergerak ke Sungai Manik dan mengikuti taklimat koperasi di sini. Tengaharinya mereka bertolak ke Bukit Merah melawat Projek Ikan Arowana (MU Arowana Aquaculture) dan pada sebelah petang mereka bertolak balik ke Bangi.

Kulaan Banjar lebih menumpukan perhatian pada koperasi dan perusahaan-perusahaan. Mereka amat mementingkan ekonomi. Tujuan XPDC selain dari mengeratkan Kulaan Banjir juga mengintai peluang kerjasama ekonomi di kalangan Kulaan Banjar. Menurut Tuan Haji Salleh, sebenarnya ramai dari keturunan Banjar yang menjadi tokoh koperat, menguasai bidang ekonomi – sebagai jutawan dan tak kurang pula yang berkedudukan di dalam bidang politik dan akademik. Kulaan Banjar akan menjejaki mereka untuk disatukan di dalam Kulaan Banjar. Menurut Haji Salleh, antara projek yang akan diberi tumpuan ialah usaha untuk membeli sebuah bangunan pejabat tiga tingkat Kulaan Banjar di Bandar Baru Bangi. Kita merestui Kulaan Banjar dengan misinya yang positif, iaitu mengeratkan hubungan antara ahli dan masyarakat, meningkatkan penyertaan ahli di dalam bidang ekonomi, menyemarak dan mengukuhkan ekonomi Negara.

Sekian.

No comments:

Post a Comment