July 23, 2010

Impian Putra Anjur Pertandingan Bola Sepak

Taman Impian Putra, BBB, 06 Sya'ban = 18 Julai (Ahad):


Sejak kelmarin ke hari ini, di sini adalah tempat kedua ADNS Bangi datang melawat ke tempat yang mengambil nama, 'Impian', kelmarin adalah ke Kajang Impian, hari ini adalah Impian Putra. Sebenarnya ada beberapa tempat lagi sekitar Serdang dan Hulu Langat yang mengambil nama 'Impian', iaitu Saujana Impian, di Kajang dan Impian Ehsan di Balakong. Adakah sebarang significant berhubung dengan nama ini? Atau adakah penduduknya mengimpikan sesuatu ?


Kita berpendapat, tidak ada hubungan sangat dengan penduduk. Ia mungkin lebih kepada pemilihan dan keputusan pemaju, lantaran istilah 'impian' mempunyai ciri estetik dan menarik. Pemaju perumahan mau menarik pembeli membeli projek perumahan yang mereka bina. Sememangnya 'Impian' istilah yang menarik dan sedap didengar. Misalnya sebuah resort terkenal juga menggunakan istilah 'Impiana' yang diubah sedikit sebutan menjadikannya lebih menarik, iaitu 'Impiana Resort' di Cherating, Kuantan Pahang yang tempatnya ditepi pantai dan sepadan dengan kedudukan bangunan, landscaping dan setting, iaitu di tepi pantai Laut Cina yang bersih dan menarik.

Nama-nama taman yang diambil 'Impian' di atas juga memang cantik dengan kedudukan seperti Saujana Impian yang berlatarbelakangkan padang golf. Begitu juga Impian Putra yang kami datang berada di tepi bukit dan berkeadaan bersih dan teratur. Sememangnya taman ini sempurna sebagaimana yang dimpikan oleh penghuni-penghuni yang memang terpikat dan memilih tempat kediaman mereka di sini.


Kesempurnaan Impian Putra ialah dari penduduknya yang dinamik dan berusaha melengkapkan taman kediaman mereka dengan berbagai-bagai kelengkapan. Kalau pada awal penduduk berpindah sejak lima tahun dahulu mereka tidak mempunyai surau, mereka ikhtiarkan mendapatkan surau dengan menyewa rumah kediaman sebagai surau sementara. Sejak dua tahun lepas mereka membina surau sendiri. Mereka juga wujudkan persatuan penduduk dan melengkapkan juga dengan rukun tetangga untuk menjamin keselamatn dan kebahagiaan penduduk. Mereka juga mendidik anak-anak muda dengan didikan agama dan kegiatan sukan. Sukan bola sepak pada hari ini menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Encik Mohd, Khir, bagi memupuk semangat sukan di kalangan anak-anak muda. Pertandingan yang dianjurkan mendapat sambutan. Sebanyak 12 pasukan masuk bertanding dengan jumlah satu team 10 orang. First round pertandingan bersifat lega dan pada peringkat quarter final bersifat kalah mati. Mereka bertanding bagi merebut piala pusingan dan hadiah-hadiah yang ditawarkan.


Ketika ADNS Bangi tiba jam 9.30 pagi pertandingan sedang rancak berjalan dan ramai penduduk dan anak-anak muda turun beri sokongan. Pertandingan diberhentikan sementara bagi memberi ruang kepada acara pembukaan. ADNS Bangi mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan bergembira melihat pihak Persatuan Penduduk diketuai En. Mohd Khir dan Jawatankuasa Surau yang dipengerusikan oleh Encik Azmi berkerjasama bagi menjayakan pertandingan. ADNS Bangi memang menjadikan aktiviti sukan sebagai satu kegiatan yang penting, Setakat ini kita menganjurkan kejohanan bola sepak, kejohanan ping pong, kejohanan sepak takraw dan kejohanan futsal. Kita sedang berusaha mengadakan pertandingan kejohanan badminton dan juga bolling. Di harap jaguh-jaguh sukan dari Impian Putra dapat menyertainya. ADNS Bangi menyokong sebarang kegiatan sukan yang diadakan dan sedia bekerjasama dan membantu keperluan.


Oleh kerana ADNS Bangi mempunyai program di tempat lain, selepas merasmikan pertandingan ADNS Bangi terpaksa memohon diri dan tidak mengetahui keputusan pasukan mana yang menjadi johan. Selamat bersukan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment