July 9, 2010

Al-Fatihah Untuk Tuan Haji Mohd Amin Bin Haji Hussein

Sungai Tekali, Hulu Langat, 25 Rajab = 08 Julai (Khamis):


Jenazah al-Marhum Tuan Haji Mohd Amin Bin Haji Hussein (39) – Lahir 2.11.1970, Pegawai Tadbir Agama Pejabat Agama Islam Hulu Langat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tekali, Langat Jam 10.30 pagi ini. ADNS Bangi berkesempatan bersama berdoa dengan yang datang ke acara pengkebumian. Beliau meninggal jam 8.00 malam tadi di Hospital Kajang. Ramai dari sahabat-sahabat al-Marhum, pegawai-pegawai agama, kenalan dari jabatan-jabatan dan penduduk setempat bersembahyang jenazah dan mengiringi jenazah beliau ke kubur di sini. Beliau adalah anak tempatan Sungai Tekali meninggalkan seorang Isteri –Guru Sekolah Agama Menengah Batu 10 Cheras dan 6 orang anak (dua lagi kembar –bakal lahir). Al-Marhum adalah keluaran dari Sekolah Agama Menengah Batu 10 dan menjadi Presiden Alumni Sekolah tersebut. Al-Marhum menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar Mesir dalam bidang Syariah. Sebelum bertukar ke Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat pernah berkhidmat di dalam berbagai-bagai jabatan sebagai:

Kadhi Hulu Langat 1997-1998
Penolong Pegawai Jais 1999-2000
Pengarah Penguatkuasaan Jais 2000-2001
Pegawai Tadbir Agama Islam Jais 2001-2005
Pegawai Tadbir Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat 2005-2007
Penolong Pengarah Undang-Undang Keluarga Jais 2007-2008
Pegawai Tadbir Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat 2008 -2010.


Semasa hayat beliau, Tuan Haji Mohd Amin beberapa kali berbincang dengan ADNS Bangi berhubung dengan tapak Pejabat Agama Islam Hulu Langat yang akan dipindahkan. Beliau melahirkan harapan agar tapak baru yang akan dipindahkan seelok-eloknya berada di Bangi. Kami telah berbincang kemungkinan lokasi pilihan.


Prihatin dan ADNS Bangi memang ingin dan mencadangkan supaya lokasi Pejabat Agama Islam Hulu Langat berada di Bangi, Bagi mendapat kepastian menyebabkan ADNS membuat Soalan Bertulis di dalam Dewan Negeri Selangor pada sesi April (12-14 April) 2010. Soalan ini diberi jawapan oleh pihak Dewan Negeri bahawa lokasi baru kompleks Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat terletak di lot 29995, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Pertemuan terakhir ADNS Bangi dengan al-Marhum Tuan Haji Mohd Amin adalah semasa menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Jabatan-Jabatan di Pejabat Daerah Hulu Langat pada 24 Mei 2010. Sebelumnya pada 12 Mei 2010 kami bertemu di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat di Kajang membincangkan pemilihan Peringkat Daerah bagi Jawatankuasa Masjid dan Surau. Al-Marhum mempengerusikan mesyuarat
Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh al-Marhum. Amin.


Kita datang daripada Allah dan kembali kepada Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment