June 21, 2010

Pasti Al-Raudah Bangi Dan Taman Impian Ehsan Mewakili Selangor Ke Peringkat Pusat

Bandar Baru Bangi, 6 Rajab = 20 Jun (Ahad):


ADNS Bangi, jam 9.30 pagi sengaja mengambil kesempatan sedikit masa singgah di Padang Pasti Al-Raudah, Seksyen 5, Bandar Baru Bangi, kerana bertemu dan memberi semangat kepada Pasukan Bola Sepak Pasti Al-Raudah di sini yang berjaya terpilih mewakili negeri Selangor ke peringkat pusat yang akan berlangsung di Padang Kompleks Perbandaran Seberang Prai, Pulau Pinang mulai 27 Jun 2010 nanti. Sementara itu Pasukan Bola Jaring Perempuan dari Pasti Al-Shakirin Taman Impian Ehsan, Balakong, Serdang pula terpilih mewakili Selangor ke Pertandingan Bola Jaring di Pulau Pinang tersebut. Tahniah kepada kedua-dua pasukan dan diharap kedua-dua pasukan akan menjuari pada peringkat Pusat dan mengharumkan nama Selangor, khususnya kawasan Serdang – Insya Allah.


Pada masa ADNS Bangi tiba, pasukan bola sepak Pasti Al-Raudah sedang giat berlatih di bawah Jurulatih saudara Zaidi Jamil dengan Pengarahnya ialah Haji Jamaluddin. Latihan diberhentikan sekejap. Pasukan berada di dalam saf dan ADNS Bangi, bersalam seorang demi seorang diiringi Jurulatih dan Pengarah. Pasukan anak-anak Pasti Raudah ( dua dipilih negeri dari Pasti Kuala Langat) adalah terdiri dari Wafi, Aidi, Adli, Hafiz Aiman, Hanif, Ijad, Irfan, Fakhrul, Lokman dan Abid (dua orang belum tiba).


ADNS Bangi dimaklumkan, ibu bapa bukan saja datang memberi semangat kepada anak-anak mereka berlatih bagi mewakili negeri pada peringkat akhir tersebut, tetapi 10 keluarga berkenaan akan berkonvoi ke Pulau Pinang pada 26 Jun 2010 untuk memberi sokongan dan semangat kepada anak-anak mereka di sana. Mereka telah menempah tempat tinggal di Hotel Malaysia di sana atas perbelanjaan sendiri. Adapun bagi pasukan, jurulatih, Pengurus dan Pengerusi Pasti Serdang Saudara Shahrul Nizam akan ditanggung oleh pihak Negeri. Sebenarnya pada masa pasukan bola sepak Al-Raudah berjaya bertanding ke peringkat negeri dulu, ADNS Bangi juga turun seperti hari ini ke padang memberi semangat kepada pemain-pemain. Al-Hamdulillah mereka berjaya. ADNS Bangi berharap mereka akan mengulangi kejayaan pada peringkat Pusat.


Dalam ucapan ringkas ADNS Bangi merasa bangga dan bersyukur kepada Allah di atas kelayakan yang dicapai. Anak-anak dapat lihat kami dan ibu bapa sama bersemangat dan mengharapkan kejayaan anak-anak. Jaga kesihatan dan bersungguh-sungguh bermain dan hendaklah senantiasa bersemangat tinggi. Jadikan harapan dan doa kami sebagai bekalan semangat bagi meraih kejayaan – Insya Allah. ADNS yang memberi sedikit bantuan kewangan berjanji, jika anak-anak pulang dengan kejayaan satu majlis keraian akan diadakan dan hadiah-hadiah istimewa akan diberi. Demikian juga, walaupun ADNS Bangi tidak dapat bertemu dengan Pasukan Bola Tampar dari Pasti Taman Impian Ehsan yang sama mewakili negeri, ADNS Bangi sama mengucap syabas dan harap dapat meraih kejayaan. Janji yang sama akan ditunaikan, sekiranya Pasukan Bola Tampar Pasti Impian Ehsan berjaya dalam pertandingan. Selamat bertanding semoga Allah memberi kejayaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment