June 28, 2010

Hari Kesihatan Mendapat Sambutan

Bukit Mewah, 14 Rajab = 27 Jun (Ahad):



ADNS Bangi mengadakan Hari Kesihatan di Dewan Orang Ramai Bukit Mewah, Kajang dengan menjemput pihak Klinik Kesihatan Hulu Langat. Sambutan penduduk setempat amat menggalakkan. Mereka beratur beramai-ramai untuk mendapat rawatan percuma. Pada hari ini juga beberapa badan berhubung dengan kesihatan dan rawatan turut dijemput seperti Kolej Master Skill yang membuat pemeriksaan seperti memeriksa kolestrol, darah tinggi, kandungan gula dalam darah dan berat badan, Rawatan Islam dari Darul Syifa, Pemeriksaan Telinga, Urut Tradisional dan Refleksi, Pemeriksaan Mata dan Jualan Ubatan Kesihatan HPA. Semua tempat penawaran pemeriksaan mendapat sambutan dari hadirin. Hari ini juga dibuka Kaunter Pendaftaran Pengundi yang dikendalikan oleh tenaga khidmat dari Pejabat ADNS Bangi.



Hari Kesihatan ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Serdang YB Teo Nie Ching dan Wakil dari Parti Keadilan Rakyat Cabang Serdang Saudara Hamidi (Setiausaha). Dalam ucapan perasmian YB Dr. Shafie menyebut bahawa, kita berusaha untuk memberi kesejahteraan pada penduduk yang melibatkan semua aspek. Pada hari ini kita menawarkan peperiksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk. Terima kasih kepada pihak Klinik Kesihatan dan badan-badan kesihatan lain. Terima kasih pada semua yang hadir. Kita juga memberi perhatian pada warga mas dengan menyediakan skim bantuan dan takaful. Kita membantu orang miskin dengan zakat dan kebajikan masyarakat. Kita menjaga kesihatan alam sekitar dengan mengadakan gotong royong dan kempen kebersihan dan membasmi denggi. Kita juga pentingkan kesihatan orang muda dengan mengadakan kegiatan sukan. Kita mau rakyat sihat dan hidup sempurna. Kita akan meningkatkan khidmat kepada masyarakat dengan sokongan rakyat secara berterusan.





YB Teo Nie Ching yang juga berucap, juga menekankan betapa penting kesihatan dan seharusnya dijaga. Menurutnya kita mesti menjauhi perkara yang boleh merosakkan diri kita dan menjaga anak-anak kita supaya tidak terlibat di dalam bahaya dadah. Beliau juga menekankan bahawa orang Cina juga, terutama DAP menentang amalan judi dan menentang judi bola yang diberi lesen oleh kerajaan sebelum ini. Kita juga menolak arak, kerana judi dan arak boleh merosakkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat. Kita mahu rakyat hidup sihat dan aman.



Selepas perasmian Hari Kesihatan oleh ADNS Bangi disampaikan hadiah dan bantuan. YB Teo menyampaikan hadiah-hadiah pertandingan melukis kepada kanak-kanak. Kemudian ADNS Bangi menjemput YB Teo dan Saudara Hamidi sama-sama menyampaikan bantuan kepada warga mas yang berjumlah lebih kurang 20 orang. Selepas penyampaian hadiah dan bantuan ialah acara lawatan ke meja-meja rawatan oleh badan-badan yang mengambil bahagian. ADNS turut sama memeriksa tekanan darah, memeriksa mata dan telinga. Sehingga ke jam 1.00 tengahari tempoh sepatutnya berakhir masih ramai yang datang untuk pemeriksaan. Kita amat berpuashati di atas kerjasama yang diberi oleh penduduk setempat. Terima kasih kepada semua.




Sekian.




1 comment:

  1. Salam. YB Dr Shafie
    YB Teo Nie Cheng
    Kami mewakili Pas Taman Bukit Mewah mengucapkan syabas dan terima kasih diatas kerjasama dan hasil usaha Lujnah2 DUN Bangi yang telah bertungkus lumus menjayakan program tersebut.
    Terima kasih jua diatas kerjasama
    para pendududuk kerana memngambil bahagian dalam pemeriksaan kesihatan secara percuma. Salam

    ReplyDelete