June 15, 2010

Dia Kembali MenemuiMu Rabbi Rahmatilah Ustaz Hassan Shukri



Ke akhir hayatnya
Jihadnya tidak pernah terencat
Malamnya kembali dia dari Muktamar
Siangnya tersebar berita kematian
Dirinya adalah sejarah perjuangan
Parti yang dilibati dari permulaan
Sebuah catatan mulai bernoktah
Tersusun dalam khazanah sejarah.

Dia bersama peneroka
Penyaksi jatuh bangun parti
Dia menjelajah menerangkan
Visi dan misi parti Islam
Ke serata negeri dan kawasan
Dari bibirnya pernyataan getir
Dari wajahnya kekuatan mengalir
Tidak risau dia dengan penolakan
Tidak gentar dia berdepan ancaman.
Dia tenang melihat kemenangan
kurniaanMu berkebarnya bulan-bulan
bersama gema takbir bersahutan
berbagai jawatan pernah disandang
Setiausaha Agung ke Timbalan Presiden
Y.B. Senator di Dewan Negara
dia penyambung yang putus
dari penolakan kepada kemenangan
dari kemenangan kepada pemerintahan
Insya Allah meningkat berterusan.


Ustaz Hassan Shukri
Amat rapat dengan sejarah diri
Pertama kali bertanding di Kajang itu
Dialah Pesuruhjaya memilih diriku
Berdepan dengan pengundi campuran
Al-Hamdulillah kemenangan dicapai
Sokongan dari kaum-kaum berbagai
Dialah Pesuruhjaya memberi amanah
Memilihku menolongnya jadi Timbalan
Selama tujuh tahun berterusan
Betapa manisnya perjuangan.

Petang ini
Menziarahi jenazah
Melihat markaz Tarbiyyah
Terpandang-pandang wajahnya
Ceria, semangat dan garang
Dalam Mesyuarat Perhubungan
Menggariskan panduan dan arahan
Untuk dibawa tugas ke kawasan
Menggerak parti berasaskan Islam
Mewarnai politik dan pemerintahan.

Dia kembali menemuiMu Rabbi
Rahmatilah Ustaz Hassan Shukri
mempertaruhkan seluruh hayat
Demi Islam berterusan jihad
Cucurilah rohnya rahmat berkat
Tempatkannya bersama awliya salihin
Di Syurgamu Jannatun Naim
Amin !

Shafie Abu Bakar,
Markaz Tarbiyyah, Taman Melewar,
01 Rajab 1431 = 14 Jun 2010.



1 comment:

  1. Al Fatihah..satu kehilangan besar buat PAS yang amat memerlukan pejuang tulen seperti beliau ini.

    Semoga syurgalah balasan baginya..amin.

    ReplyDelete