May 31, 2010

"Pecah Tanah" Kompleks Markas Pas Pusat Di Dengkel

Paya Indah, Dengkel, 16 Jamadil Akhir = 30 Mei (Ahad):


Jam 11.00 pagi ini Y.A.B. T.G. Dato' Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat merasmikan "Pecah Tanah" bagi kompleks Markas PAS Pusat di sini pagi ini disertai pemimpin-pemimpin tertinggi PAS Y.B. Dato' Seri T.G. Hj. Abdul Hadi Awang. Y.B. Dr. Hatta Ramli, Haji Abdul Halim Bendahari PAS Pusat, Dato' Haji Husam Musa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kompleks PAS, Dato' Mustaffa Ali Setiausaha Agung PAS, Y.B. Salahuddin Ayob, Y.B. Dato' Dr Hassan Ali Pesuruhjaya PAS Selangor, pemimpin-pemimpin PAS Pusat, Negeri, kawasan dan ahli-ahli yang turut serta.

Terdahulu dari acara "Pecah Tanah", dalam ucapan alu-aluan Dato' Haji Husam Musa mengucapkan terima kasih terutama kepada Murshidul Am T.G. Dato' Nik Abdul Aziz dapat datang, walaupun semalam beliau uzur dan tak dapat bercakap di dalam majlis PKR di Kota Baru, tapi pagi ini dapat menyertai upacara, begitu juga terima kasih kepada T.G. Hj Abdul Hadi Awang yang baru pulang dari Turki semalam dan berkesempatan hadir.

Menurut Dato' Husam, "Pecah Tanah" merupakan perletakan "Batu Asas" tanda jadi bagi tapak Markas Pusat. Sebelum ini usaha mendapat tapak tetap dilakukan di satu kawasan di hadapan Sekolah Teknik, Sepang. Usaha ini nampaknya tidak jadi. Hari ini semasa upacara "Pecah Tanah" dilakukan, lori-lori keluar masuk menambak tanah sekitar yang agak rendah dan berpaya (berdekatan dengan Wet Land Dengkel).


Menurut Dato' Husam Musa dalam ucapannya, tanah bagi tapak kompleks PAS adalah berjumlah 20 ekar (difahamkan derma dari seorang korporat dan pembelian PAS). 8 ekar daripadanya bagi tapak konvensyen, termasuk tapak yang diadakan upacara pada hari ini, manakala selebihnya 12 ekar bagi Pusat Tarbiah & Latihan, rumah-rumah negeri, lot-lot perumahan dan komersil. Menurut Dato' Husam, kita belum mempunyai dana bagi pembangunan. Satu cara mendapat kewangan ialah dengan menjual dan mewakafkan sekaki persegi lot tanah seharga RM50/= dan diharap semua ahli Pas mengambil peluang bersadakah dan mendapat pahala untuk diri dan keluarga sebanyak yang mungkin. Borang-borang boleh didapati dari urusetia pembangunan.

Selepas Dato' Husam menyampaikan ucapan alu-aluan, Pengacara Majlis Dr. Hatta menjemput T.G, Haji Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapannya. Beliau bertolak ucapannya dari ayat al-Quran (al-Baqarah:261) –"Ibarat orang yang menafakahkan harta benda mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang tumbuh menghasilkan tujuh tangkai yang setiap tangkai mempunyai 100 biji. Dan Allah menggandakan balasan kepada yang dikehendakinya dan Allah amat luas rahmat kurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya."

Beliau menyifatkan peristiwa hari ini amat penting dan mengajak semua bersyukur kepada Allah kerana berpeluang membuat sumbangan bagi perjuangan Islam. Menurut T.G. Haji Abdul Hadi, projek bukan semata-mata mendirikan bangunan, tetapi lebih dari itu bagi pembangunan insan berlandaskan Islam yang sumbangan merupakan kebajikan berterusan. Beliau mengambil maksud Hadith yang bererti:

"Apabila mati anak Adam, maka terputus amalan baginya, melainkan tiga perkara, iaitu sadakah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang salih yang mendoakan kepada ibu bapanya."

Beliau juga merujuk kepada sejarah sahabat pada zaman Rasulullah sw.a.w. yang merasa cukup dengan perjuangan yang dilakukan dan mau menumpukan pada kehidupan sendiri dengan berladang dan berurusniaga. Cara ini adalah tidak betul, perjuangan menegakkan Islam tiada noktah pengakhiran dan tiada sekatan bagi mereka berjuang dan menabur bakti dan berjihad.

Selepas tayangan multi media, T.G. Dato' Nik Aziz Mursyidul Am dijemput menyampaikan ucapan. Beliau bertolak dari ayat al-Quran (al-Zalzalah: 7-8) bermaksud: Sesiapa membuat kebajikan walaupun sebesar zarrah nescaya akan dilihatnya dan barangsiapa membuat kejahatan walaupun sebesar zarah nescaya akan dilihatnya.


Dato' Nik Aziz menggalurkan keturunan manusia dari satu keturunan, iaitu daripada Adam. Hakikat semua manusia adalah bersaudara. Beliau optimis melihat kerjasama antara kaum di dalam pakatan – termasuk dengan kaum Cina, Beliau mengingatkan tamadun Islam di negeri Cina jauh lebih tua dari tamadun Islam di alam Melayu. Mereka berhak berbangga dengan Islam. Beliau sukacita orang Cina sekarang rapat dengan Pas. Kalau mereka boleh rapat dengan Pas, mereka tentulah boleh rapat dengan Islam. Kita wajar rapat bagi mendekatkan sesama kita yang berasal dari satu keturunan – Adam.

Tuan Guru juga merujuk kepada peristiwa sejarah tatkala Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah beliau membeli tanah dari penguasa dua anak Yatim – Sahl dan Suhail. Dari tapak ini terdirinya Masjid Madinah yang terus makmur dengan penyebaran Islam. Semasa Baginda tiba di Madinah Baginda disambut dengan nasyid – Naiknya Bulan Purnama. Kita mendirikan kompleks Pas di sini akan menaikkan bulan Purnama. Dan Insya Allah sebagai tempat laluan udara, lambang bulan purnama ini akan lebih jelas dilihat dari atas, sebagaimana jelasnya Bulan Purnama di mana-mana.

Selepas dari berucap Y.A.B. T.G. Dato' Nik Aziz diiringi para-para tetamu kehormat dan mereka yang ada di dalam majlis mengiringi Tuan Guru naik ke atas buldozar dan melakukan upacara "Pecah Tanah".


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Sekian.

No comments:

Post a Comment