May 25, 2010

Merasmikan Perkhidmatan Bas Di Sungai Ramal Luar & Menyertai Kegtiatan Penduduk

Sungai Ramal Luar, 9 J. Akhir = 23 Mei (Ahad):


Menurut Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Mohd Yusof bin Haji Abdul Kadir penduduk di kawasan Sungai Ramal Luar sudah lama memerlukan perkhidmatan bas, terutama para pekerja, suri rumah ke pasar dan tempat membeli belah, juga anak-anak ke Sekolah dan bagi orang yang mau datang ke Sungai Ramal. Lantaran itu usaha telah dilakukan oleh Ketua Kampong berkenaan dengan Syarikat TNT, Kuala Lumpur yang Sub- Officenya di Taman Teknologi, Kajang.



Maka pada pagi ini ADNS Bangi dengan dihadiri sama oleh Tuan Haji Mohd Yusof, saudara Fuad Setiausaha Pas Sungai Ramal Luar, Dato` Shihabuddin, Encik Fauzi, En. Omar dan ramai penduduk keluar termasuk anak-anak ADNS Bangi merasmi dan melancarkan perkhidmatan bas mini dari Pondok Menunggu Bas (Pondok ini dirasmi oleh ADNS Bangi di Taman Kenari di sini dulu). Selepas itu doa turut dibacakan oleh Tuan Imam. ADNS Bangi turut naik ke atas bas selepas perasmian.

Jalan-jalan yang dilalui perkhidmatan bas mini ialah dari Taman Kenari ke Sungai Ramal Baru, Sungai Ramal Indah, Sungai Ramal Luar, Sungai Chua dan ke Kajang dan berpatah balik. Tambang sekali naik sehala ialah RM1.00. Setakat ini syarikat menyediakan dua buah bas bagi perkhidmatan pergi balik. Syarikat berjanji pada masa akan datang akan menggunakan bas yang baru dan lebih baik dari bas yang ada sekarang. Itu pun jika perkhidmatan bas mendapat pulangan yang menguntungkan. Selepas pelancaran perkhidmatan permulaan dan percuma diadakan. Anak-anak yang bergembira berebut-rebut menaiki bas percuma berkenaan. Diharap perkhidmatan mendapat sambutan dari masyarakat yang tinggal dilaluan yang dilalui bas-bas berkenaan. Adalah diharapkan juga pihak syarikat dapat memberi perkhidmatan yang memuaskan dan mementingkan keselamatan..



Sementara itu sempena lawatan ADNS Bangi le Taman Kenari, pada pagi ini juga diadakan berbagai kegiatan di sini, iaitu Hari Keluarga dan Sukanika penduduk rumah pangsa Blok A. Keriangan tergambar di wajah anak-anak yang mengambil bahagian dalam berbagai-bagai sukan Hari Keluarga dan Sukanika ini. Encik Fauzi Selaku Pengerusi penduduk Blok A, menjemput ADNS Bangi berucap ringkas yang menyatakan kegembiraan terhadap kerjasama penduduk dan mengucapkan syabas terhadap penganjur. Hari Keluarga dan Sukanika yang diadakan sudah pasti dapat mengeratkan hubungan mesra dan kerjasama di antara penduduk, khususnya penduduk di Blok A. Selepas itu ADNS Bangi bersama AJK penduduk meninjau kesesuaian tempat dalam mana pihak penduduk memohon sebuah kavin untuk digunakan oleh persatuan penduduk sebagai pejabat dan operasi mereka.


Selepas bersama-sama menyertai keceryaan anak-anak penduduk Blok A, Taman Kenari ini, ADNS Bangi diiringi Ketua Kampong Haji Mohd Yusof, Saudara Fuad, En. Omar Setiausaha Penduduk Taman Kenari dan AJK yang lain ke Taman Permainan berhampiran Surau Taman Kenari. Di sini pada pagi ini juga diadakan gotong royong membersihkan kawasan yang pada pagi tadi ADNS Bangi difahamkan telah dirasmikan oleh Ahli MPKj En. Narayanan. Pada tengahari ini mereka sedang rehat dan menikmati jamuan yang disediakan. Adalah difahamkan oleh Setiausaha, bahawa program gotong royong sedemikian memang sering diadakan, bahkan boleh dikatakan ianya adalah merupakan program bulanan. Ini bererti penduduk di sini amat prihatin dan mementingkan kebersihan dan kesihatan. Syabas dan tahniah kepada Persatuan Penduduk dan penduduk yang aktif bagi menjaminkan kesejahteraan penduduk.

ADNS turut sama menikmati juadah yang disediakan kepada pekerja-pekerja gotong royong sebelum memohon diri untuk ke program yang lain.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment