May 16, 2010

Melawat Tuan Haji Rushdi - Veteran Pas Yang Uzur

Sungai Ramal Luar, 1 Jamadil Akhir = 15 Mei (Sabtu):

Pagi ini berkesempatan ziarah Tuan Haji Rushdi bin Haji Nordin (67) veteran Pas di Sungai Ramal Luar. Beliau adalah Pengerusi Pas Sungai Ramal Luar sejak tahun 1998-2009. Sejak sebulan yang lalu beliau mengalami angin ahmar dan dimasukkan ke Hospital Serdang dan kini pulang ke rumahnya di sini.


Semasa ADNS Bangi melawat diiringi antaranya oleh Tuan Haji Muhammad Yusof Bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Sungai Ramal Luar Saudara Fuad Setiausaha Pas Sungai Ramal Luar dan beberapa yang lain, Haji Rushdi disorong ke ruang tamu di atas katil oleh isterinya Puan Zaiton Bt. Zainol (63) AJK Muslimat di sini dan anak-anak, kerana beliau masih belum boleh bangun. Ketika kami bersalam, beliau sedar, tetapi beliau masih belum dapat mengeluarkan kalam dengan jelas.

Tuan Haji Rushdi selain dari memimpin Pas Cawangan Sungai Ramal Luar, beliau adalah Setiausaha Surau Nurul Huda yang terletak tidak jauh daripada rumahnya.


Sebelum berpencen Tuan Haji Rushdi adalah Guru dan pernah dihantar ke Dublin, United Kingdom selama lima tahun sebagai Attache Pelajaran dan menjaga kebajikan pelajar-pelajar Malaysia yang ramai datang mengambil ijazah perubatan di sana. Kita mendoakan semoga beliau dikurniai Allah kembali sihat dan dapat meneruskan khidmat – Insya Allah.

No comments:

Post a Comment