May 22, 2010

Ke Mesyuarat Agung PIBG SRA Batu 3 Jalan Bangi, Semenyih

Batu 3, Jalan Bangi, 02 J. Akhir = 16 Mei (Ahad):

Program terawal jam 9.00 pagi ini ialah menghadiri mesyuarat Agung PIBG di atas. Kawasan ini adalah di luar dari DNS Bangi, tetapi atas kapasiti Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu ADNS Bangi dijemput untuk merasmikan mesyuarat berkenaan. Ibu bapa tidaklah ramai yang hadir, kononnya takut dilantik memegang jawatan. Mesyuarat pada kali ini ada pemilihan AJK PIBG yang baru.

Turut hadir ke mesyuarat ialah YDP PIBG Encik Azman bi Auyon, Timbalan YDP En. Norazmi bin Mohd Hanafiah, Penasihat PIBG Ustazah Zainah bt. Sahir, Ketua Kampong Haji Abdul Samad bin Ismail, Nazir Masjid Tuan Johari Nik, AJK, guru-guru dan ibu bapa.

Majlis bermula dengan pembacaan Quran oleh seorang murid diikuti dengan ucapan Pengerusi yang lebih banyak melahirkan masalah-masalah yang dihadapi Sekolah. Manakala ADNS lebih banyak bercakap tentang komitmen Kerajaan Selangor terhadap agama dan menyediakan pengajian kepada anak-anak dari berbagai peringkat. Untuk itu Kerajaan memperuntukkan bajet tahunan kepada agama dengan jumlah kedua tertinggi. ADNS memuji pihak Sekolah yang prihatin terhadap pendidikan agama anak-anak. Pendidikan agama penting dan menjadi perisai yang mempertahankan mereka dari terlibat di dalam gejala sosial. Cabutan bertuah diadakan selepas perasmian. Ianya diadakan bagi menarik ibu bapa hadir ke majlis.

Pada akhir Majlis perasmian ADNS Bangi dibawa ke bilik guru yang silingnya hampir jatuh yang dikatakan kayu-kayunya mulai reput dan perlu dibaikpulih. ADNS berjanji akan memberi perhatian dan jika pihak PIBG mau baiki lebih dulu, bolehlah dikemukakan bil kepada ADNS untuk diselesaikan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment