May 20, 2010

Jamaah Surau Al-Ukhwah Mengadakan Majlis Kesyukuran

Subang Bistari, 01 J. Akhir = 15 Mei (Sabtu):


Penduduk Subang Bistari pada malam ini mengadakan Majlis Kesyukuran sempena penggunaan Surau Al-Ukhwah sejak empat bulan yang lalu. Surau ini dibina oleh pihak Pemaju yang membangunkan perumahan di Taman Subang Bistari di sini. Antara sambutan yang disusun ialah sembahyang berjamaah, Forum Perdana, Persembahan Nasyid, ucapan-ucapan dan Pelancaran Kelab Remaja Ukhwah. Bagi menyempurnakan program YB Dato' Dr. Hassan Ali Exco Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan kemudahan Awam dijemput bagi merasmikan Majlis Kesyukuran. Oleh kerana YB Dato' Dr. Hassan Ali mempunyai program yang lain pada masa yang sama, maka ADNS Bangi selaku Pembantu Exco bagi Dato' Dr. Hassan Ali diminta hadir menggantikan beliau.


Hadir pada malam yang dipenuhi penduduk, lelaki, perempuan dan anak-anak ialah Dato' Wan Abdul Razak selaku Penaung Surau, Ustaz Hasan Basri selaku Pengerusi Surau, Ustaz Zulkifli Ahmad dan Ustaz Nazmi bin Abd. Karim selaku ahli-ahli Panel Forum Perdana. AJK Surau, Wakil Persatuan Penduduk, Ahli jamaah dan penduduk setempat. Program kesyukuran bermula dengan sembahyang maghrib dan diikuti dengan Forum Perdana yang bertajuk, "Bermula Dari Sini" yang ahli panelnya terdiri dari Ustaz Zulkifli Ahmad dan Ustaz Mohd Nazmi Abd. Karim. Forum dimoderator oleh Ustaz Haji Yusof Din. Forum merujuk kepada penggunaan surau yang seharusnya dimanfaat oleh penduduk setempat dan menggunakannya semaksimum yang mungkin. Selepas forum tamat didirikan sembahyang Isyak.


Majlis diteruskan dengan persembahan Nasyid oleh kumpulan anak-anak kariah yang dilatih khusus bagi persembahan. Ustaz Hasan Basri membuka majlis dengan kata-kata aluan. Beliau berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis bersejarah bagi Surau Al-Ukhwah dan menjelaskan kegiatan-kegiatan yang dilakukan. ADNS Bangi yang diminta melancarkan Kelab Remaja Ukhwah mengucapkan tahniah dan syukur, kerana penduduk di Subang Bistari mempunyai surau yang dapat diadakan berbagai kegiatan sebagaimana yang diadakan malam ini di sini. Surau menurut ADNS Bangi, bukan saja tempat ibadat, tetapi tempat mendapat ilmu, tempat bimbingan pelajar, tempat kegiatan kemasyarakatan dan mengadakan sambutan-sambutan. Sebuah surau akan menjadi aktif bila pimpinan bersifat aktif. Beliau berharap AJK bekerja secara jujur bagi kepentingan penduduk kariah.


ADNS Bangi juga menyentuh tentang pentadbiran masjid-surau, bahawa pada tahun lepas diadakan pemilihan AJK masjid, maka kini baru diadakan pemilihan AJK surau. Pemilihan dibuat bukan bertujuan menukar AJK yang ada, tetapi untuk memilih mereka yang benar-benar layak yang sanggup berkhidmat. Mereka ini tak kira sama ada dari AJK lama atau mereka yang baru dipilih. ADNS berharap dengan pimilihan yang baru meningkatkan kegiatan surau-surau sebagaimana masjid-masjid bergiat. Jika semua masjid dan surau menyusun program-program, maka bersemaraklah keilmuan, kegiatan kemasyakatan dan berbagai lagi. Al-hamdulillah dari maklumat yang kita dapati sesudah masjid-masjid mempunyai AJK baru semua masjid-masjid mengadakan kegiartan-kegiatan dan kita dapat maklumat juga masjid bertambah makmur, jika dahulu kurang dari kehadiran para jamaah, maka kini kehadiran jamaah makin bertambah dan masjid makin imarah. Keadaan sedemikian diharap berlaku kepada surau-surau selepas penduduk memilih AJK yang pada pendapat mereka mampu dan berkebolehan mengendalikan aktiviti-aktiviti surau. Dengan ini bersemaraklah masjid dan surau dengan berbagai-bagai kegiatan. Ini juga bermakna Islam bertambah bersemarak di negeri Selangor – Insya Allah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment