May 4, 2010

Hari Pekerja: Sambutan Di Kawasan Serdang, Tuntutan-Tuntutan

Balakong, 17 Jamadil Awal = 2 Mei (Ahad):


Sambutan Hari Pekerja diadakan di Dewan Orang Ramai, Cheras, Balakong dari jam 8.00 pagi hingga jam 12.00 tengahari. Hadir ke majlis ialah YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Yap Lum Chen Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Balakong, Ahli Dewan Negeri Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar, Sdr. Arutchelvam Setiausaha Parti Sosialis Rakyat Malaysia, ahli DAP, Keadilan Rakyat dan PAS. YB Saudari Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang yang sepatutnya hadir, tetapi tidak dapat hadir kerana memberi tumpuan berkempen di Sibu, Sarawak. Sambutan diisi dengan ucapan-ucapan, pertunjukan kebudayaan dan cabutan bertuah. ADNS Bangi hadir pada peringkat akhir kerana ada program sebelumnya yang terpaksa dihadiri.


Difahamkan YB Dr Che Rusli Che Mat telah menyampaikan ucapan alu-aluan dan berterima kasih kepada ADNS Balakong YB Yap yang mengambil inisiatif mengadakan sambutan Hari Pekerja di kawasan Balakong. Sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, maka beliau menyatakan Pas menyokong Hari Pekerja dan desakan-desakan pekerja. Kebajikan mereka hendaklah dijaga. Manakala Sdr. Aru menyebut bahawa persepsi Hari Pekerja yang disambut seluruh dunia pada 1 Mei adalah berbeza pada masa dahulu dan kini. Empat puluh tahun dahulu menyambut Hari Pekerja bererti menempah diri kepada tahanan di jil atau di tahan ISA. Mereka dianggap sebagai tali barut komonis. Dulu majikan tidak mau beri cuti, sebab itu pada hari seumpama ini sering diadakan mogok oleh pekerja-pekerja terhadap majikan.


Dulu waktu bekerja diexploitasi oleh majikan sehingga 12 jam sehari, tetapi kini adalah 8 jam. Dulu Hari Pekerja bukan hari cuti umum, kini hari ini turut diterima dan diktiraf Kerajaan sebagai Hari Cuti Umum. Menurut Sdr. Aru kita menghormati dan berterima kasih pada pekerja tanpa mengira bangsa dan turunan, sama ada mereka pekerja tempatan atau dari luar. Kalau kita melihat jambatan panjang seperti Jambatan Pulau Pinang atau Menara Berkembar di Kuala Lumpur atau lebuhraya Utara Selatan semuanya hasil keringat pekerja-pekerja. Sebab itu pekerja hendaklah diberi penghormatan dan pembelaan.


ADNS Bangi adalah yang dijemput naik ke atas pentas untuk bercakap paling akhir. Secara kebetulan pada 1 Mei sehari sebelum majlis diadakan ADNS Bangi telah membuat catatan kasar (belum diperhaluskan) puisi yang berjudul "Mereka Adalah Pekerja" sepanjang dua lembar, maka ADNS memenuhi jemputan dengan membaca puisi berkenaan. Puisi ini diperbaiki dan diterbitkan di dalam blog ini.

Setelah berulang tahun sambutan 1 Mei Hari Pekerja, apakah yang masih menjadi tuntutan pekerja? Dari Deklarasi Mei 1, 2010 diperturunkan rumusan tuntutan:

  1. Bahawa Rakyat Malaysia membantah cukai GST (Goods, Service and Tax), kerana dengan cukai ini didakwa lebih memiskinkan rakyat.
  2. Menuntut gaji minima kepada semua pekerja dan memansuhkan apa yang dinamakan polisi gaji murah.
  3. Kekalkan cukai Korporat pada tahap 27%. Jika pengurangan dilakukan beban cukai ini akan berpindah kepada rakyat.
  4. Wujudkan Tabung Pembuangan Pekerja bagi menghadapi pekerja-pekerja dibuang kerja dan dapat membantu mereka sebelum mendapat kerja.
  5. Cuti bersalin hendaklah diperuntukkan selama 90 hari bagi pekerja wanita
  6. Menandatangani Konvensyen ILO bagi melindungi pekerja.
  7. Pengiktirafan terhadap Persatuan Pekerja dan pemansuhan diskriminasi pekerja.
  8. Pastikan tempat kerja bebas dari diskriminasi terhadap pekerja wanita dan gangguan seksual.
  9. Hak sama kepada migrant dan pelarian dengan memberi perlindungan dan tidak dianiayai oleh majikan, PDRM, RELA dan Imigresen.
  10. Kementerian Kewangan perlu mengadakan perbincangan dengan bank-bank menangguh dan mengurangkan bayaran bulanan pinjaman perumahan warga pekerja berpendapatan rendah.
  11. Sediakan skim perumahan rakyat pada harga yang mampu dibelimilik dengan lokasi sesuai dan strategik
  12. Hentikan penswastaan perkhidmatan asas seperti air, hospital dan hentikan skim pembayaran penuh pesakit di hospital kerajaan dengan segera.
  13. Iktiraf Hak Tanah Adat Orang Asal dan beri Hak Milik Kekal kepada mereka.
  14. Laksanakan polisi ekonomi yang tidak mengira kaum dan jantina, tetapi berlandaskan keperluan.
  15. Mansuhkan undang-undang yang menindas dan mendiskriminasikan para pekerja seperti ISA, OSA, EO, DDA, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Pertubuhan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.
  16. Mewujudkan sistem kerajaan yang benar-benar telus, bersih, kredibaliti, bebas dari gejala rasuah, kronisme dan penyelewengan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment