May 1, 2010

Gotong Royong Di Pangsa Puri

Pangsapuri Seksyen 3, BBB, 10 J. Awal = 25 April (Ahad):



Pagi ini adalah pagi mengundi di Hulu Selangor. Memang hajat kami mau pagi-pagi berada di sana setelah pulang dari Seri Kembangan, Bukit Beruntung pada sebelah petang. Oleh kerana program gotong royong telah ditetapkan lebih awal dari berlakunya pilihanraya dan pihak ADNS Bangi terlibat sama dengan peruntukan bagi penganjuran, maka ADNS berjanji akan hadir merasmikannya.


Lantaran itu sepagi 8.30 ADNS sudah berada dilokasi di pekarangan Pangsapura Seksyen 3 berkenaan. Sambutan terhadap gotong royong di sini amat menggalakkan. Beratus penduduk telah turun dari 6 blok Pangsapuri di sini menyertai gotong royong yang bertemakan, "Hapus Aides, Mencegah Denggi". Pada masa tersebut semua persiapan telah tersedia dengan kerusi tersusun di bawah khemah, pembesar suara terpasang, bahkan makanan di atas meja siap terhidang. Mereka seolah-olah mengerti dan menjaga masa kerana ADNS akan hadir tepat dan kemudian berangkat.

Pengarah Program gotong royong, iaitu Puan Zaleha sudah bersedia dengan Timbalannya Encik Ghafar, manakala Setiausaha ialah Puan Noriah. Gotong royong pada hari ini selain diseretai oleh Pejabat ADNS, turut sama memberi kerjasama ialah MPKj yang menghantar lori dan pekerja-pekerja bagi mengangkat sampah. Turut sama datang memberi kerjasama ialah pihak Pejabat Kesihatan Daerah yang memfokuskan kepada pencegahan denggi. Manakala pihak Alam Flora menghantar Pegawai Operasi Kawasan, iaitu Encik Said.



En. Ghafar menyampaikan ucapan alu-aluan dan berterima kasih kepada ADNS di atas kesudian hadir merasmikan gotong royong sebelum bertolak ke Hulu Selangor. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil dari MPKj, Jabatan Kesihatan dan Alam Flora. Encik Ghafar menyifatkan penyertaan penduduk pada kali ini paling ramai dan dapat dilihat semua kalangan penduduk dari orang tua lelaki, perempuan, kalangan belia lelaki perempuan dan juga dari kalangan anak-anak.



ADNS dalam ucapan peresmian, menyebut bahawa Bangsa-Bangsa Bersatu sekarang sedang menganjurkan Sambutan Hari Bumi yang ke 40. Sambutan ini memberi perhatian terhadap penjagaan alam sekitar sebagai rumah dan tempat tinggal manusia bersama. Sekiranya kita rosakkan dunia dengan pencemaran bererti kita merosakkan diri dan tempat tinggal kita. Kita hendaklah menjaga alam sekitar sebagaimana kita jaga rumah kita dari kotoran dan sebarang penyakit.


Pejabat ADNS juga pada bulan lepas mengadakan "Hari Tanpa Plastik" yang dilancarkan di PKNS pada 27 Mac 2010 (Sabtu), dengan tujuan untuk mengingatkan masyarakat, bahawa sebahagian dari kotoran alam sekitar disebabkan pembuangan sampah plastik yang tidak mudah reput. Sebab itu kurangkan penggunaan beg plastic dan bawa beg sendiri bukan dari plastik bila keluar membeli. Dengan ini dapat mencegah dari pembuangan plastik secara berleluasa, Pembuangan bekas dan beg plastic mengundang kepada takungan air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedis. Menurut ADNS Bangi kempen gotong royong yang dianjurkan ini adalah bertepatan dengan masa selari dengan kempen peringkat Bangsa-Bangsa Bersatu dan Negara. Dengan pembersihan kawasan melegakan pandangan, menjadikan minda dan fizikal kita sihat. ADNS juga menganjurkan bahawa kebersihan yang dilakukan janganlah bersifat semasa saja. Selepas gotong royong pembersihan diabai kembali. Ianya hendaklah dilakukan berterusan. Setiap orang perlu menjaga kawasan dan tempatnya supaya bersih. Dengan demikian semua tempat menjadi bersih. ADNS anjurkan semua pihak mementingkan kesihatan. Selain dari jaga kebersihan kawasan perlu jaga fizikal kita, antaranya dengan mengamalkan senaman setiap masa. Dengan tubuh badan yang sihat, maka akal dan jiwa kita turut sihat. Jadikan amalan kesihatan sebagai program berterusan.




Sementara itu Puan Zaleha memaklumkan bahawa, pihak Persatuan Penduduk selain dari mengadakan gotong royong yang menurutnya ini adalah kali kedua, Persatuan juga mengadakan kegiatan seperti mengadakan sukan remaja, kursus menjahit, memasak, membaca Yasin, Tahlil, tuisyen dan lawatan-lawatan. ADNS berharap persatuan terus bergiat menganjurkan berbagai-bagai kegiatan dan ADNS sedia memberi kerjasama.

Sekian.

No comments:

Post a Comment