April 29, 2010

Persiapan Menerima Kematian

Surau al-Umm, BBB, 9 J. Awal = 24 April (Sabtu):

Kesibukan atau lalai, kadang-kadang menjadi kita lupa tentang kepastian, bahawa kematian pasti datang mengunjungi diri. Bila berlaku kematian seperti pada keluarga, tetapi tidak ada di kalangan keluarga yang sepatutnya mengambil tindakan menjelang kematian dan sesudah kematian. Lantaran semuanya mengharapkan kepada orang lain melepaskan tuntutan kifayah. Misalnya kepada imam atau ustazah yang ada. Jika tidak, mungkin bermasalah untuk mencari mereka yang faham dan dapat menguruskan. Sebaik-baik pengurusan adalah oleh keluarga sendiri. Misalnya kematian seorang bapa diurus jenazahnya oleh anak-anak lelakinya sendiri, begitu juga kematian seorang ibu diurus jenazahnya oleh anak-anak perempuannya. Dengan demikian penghormatan dan aib yang mungkin berlaku tersimpan rahsia di kalangan keluarga. Bahkan mengimami sembahyang jenazah lebih aula dipimpin anak lelaki si mati, sekiranya ada yang berkelayakan dari anak-anak si mati.


Atas kesedaran ini pihak Surau al-Umm Seksyen Satu Bandar Baru Bangi di bawah kepimpinan Muslimat yang terdiri dari Puan Hajah Mu'minah, Hajah Aminah dan Hajah Kamariah telah mengambil keputusan menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah selama dua hari berturut-turut, iaitu dari 24 - 25 April (Sabtu dan Ahad) bertempat di Surau al-Umm. Guru yang dijemput bagi mengendalikan kursus ialah Ustazah Arbaiyah, iaitu seorang Guru yang berpengalaman menguruskan jenazah, khususnya di Hospital Kajang dan juga di pelbagai tempat. Kursus ini ditaja oleh Kolej Komuniti Hulu Langat bagi hari pertama dengan biayaan dari JAIS, manakala hari kedua ditanggung ahli. Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi menampung segala keperluan dan peruntukan yang lain. Seorang pegawai dari Kolej Komuniti Hulu Langat, iaitu Encik Shahrum dihantar bagi memantau perjalanan kursus dan penyertaan. Kehadiran adalah menggalakkan. Sejumlah 50 orang mendaftar, termasuk peserta-peserta luar dari kawasan 1/3.


Pada pagi hari pertama Ahli Dewan Negeri dijemput menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan kursus. ADNS mengucapkan terima kasih menjemputnya untuk merasmikan kursus dan mengucap tahniah kepada Ahli Jawatankuasa yang dapat menarik kehadiran yang agak ramai. Menurut ADNS, Kerajaan Negeri Selangor memang menggalakkan surau dan masjid mengadakan berbagai-bagai kegiatan dan kursus yang diadakan pada hari ini memberi manfaat kepada muslimat, khususnya sebagai persediaan menghadapi peristiwa kematian yang mungkin berlaku kepada keluarga dan jiran tetangga. Sekurang-kurangnya kita dapat menunaikan tuntutan fardu kifayah di dalam menyelenggarakan jenazah.

Menurut ADNS di kawasan 1/3 Seksyen Satu, masih tidak ada penyelenggara jenazah muslimat. Dengan kursus yang diadakan pada hari ini sekurang-kurangnya dapat menyediakan penyelenggara tempatan dari kalangan muslimat setempat. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Kolej Komuniti Hulu Langat yang menaja kursus dan kepada Ustazah Arbaiyah yang menyampaikan kursus. Pihak ADNS Bangi bersukacita dapat bersama mengambil bahagian di dalam membantu keperluan bagi melaksanakan kursus yang dijalankan. ADNS sedia membantu peruntukan-peruntukan bagi kegiatan-kegiatan bermanfaat yang lain.


Difahamkan Ustazah Arbaiyah menyampaikan kursus secara teori dan praktikal dan menceritakan pengalaman-pengalamannya di dalam menguruskan mayat. Peserta kursus juga diminta untuk berlakon sebagai si mati dan dilakukan proses pengurusan jenazah terhadap dirinya.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment