April 18, 2010

No One Dress: Bila Tak Biasa Ada Yang Tak Kena

Anekdot:

Pada permulaan menjadi ADUN Kajang (1999-2004) aku tidak memiliki apa yang dinamakan 'No One Dress'. Tiada arahan dikeluarkan mewajibkan ADUN membuat pakaian sedemikian pada masa itu, Pakaian sedemikian dipakai paling kerap sekali setahun atau sekali dalam dua tahun, iaitu apabila ada pembukaan Dewan Negeri yang dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Selangor, maka pakaian itu baru dipakai. Aku menganggap pakaian ini sebagai pakaian ala tentera laut, kerana putih warnanya sebagai pakaian tentera laut. Lagi pula bila ada upacara pembukaan persidangan, maka tentera laut yang berpakaian sedemikianlah yang selalu mengambil bahagian dalam upacara perasmian di Medan Bangunan SSAAS berdekatan Bangunan Persidangan. Contoh dari K.D. Pelanduk

Oleh kerana tiada arahan membuat pakaian 'No One Dress'. Khabarnya boleh dibuat sendiri dan buat tuntutan, sebagaimana dilakukan oleh ADUN-ADUN yang lain, maka aku tidak kesah sangat untuk membuatnya, khabarnya harganya mencecah seribu ringgit (termasuk seluar hitam berlis). Bila tiba hari perasmian Dewan Negeri oleh Tuanku, biasanya aku memakai pakaian baju Melayu hitam bersongkok (bagi orang Melayu) atau berkot hitam bersongkok (bagi bukan Melayu). Dengan berpakaian baju Melayu warna hitam aku mengambil tempat di bahagian belakang bersama ADUN-ADUN yang sama berbaju Melayu atau berkot hitam. Ertinya ramai juga yang tidak memiliki pakaian 'No One Dress'. Terbukti aku melihat pada gambar-gambar lama berkecamuk dari segi pakaian. Ada yang berpakaian 'No One Dress', ada yang berkot hitam dan ada yang berpakaian baju Melayu gelap.

Selepas kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor, soal disiplin amat ditekankan. Contoh ada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Bagi Dewan Negeri Selangor (Selcat), Ada Jawatankuasa Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan dan Ada Jawatankuasa Khas Mengenai Pejabat Daerah Dan Badan-Badan Berkanun. Seawal kemenangan Pakatan Rakyat, siri-siri taklimat diadakan di Pejabat Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex. Berhubung dengan Pakaian pihak Dewan Negeri Selangor dari awal menjemput beberapa Syarikat Taylor datang mengambil ukuran pakaian ADNS, khususnya untuk dibuat pakaian 'No One Dress' bagi setiap ADNS, dengan itu tidak ada lagi ADNS yang tidak memiliki pakaian 'No One Dress' ini. Sebab itu bila bergambar selepas upacara kelihatan teratur dan segak.

Memakai pakaian 'No One Dress' ini, walaupun tidak serumit 'Pakaian Adat' atau 'Pakaian Istiadat', oleh kerana ianya dipakai sekali setahun atau dua tahun sekali, tidak sunyi dari kesilapan. Sungguhpun tiap kali Perasmian Pembukaan Sidang ADNS dibekalkan dengan keterangan dan kaedah pakaian 'No One Dress' juga dibekalkan bagi Pakaian Istiadat seperti menghadiri upacara di istana, tapi kadang-kadang berlaku kesilapan atau ketidaktepatan.


Sebagaimana untuk menghadiri ke Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Negeri Selangor Kali Ke 12 pada 12 April 2010 (Isnin) Bersamaan 27 Rabiul Akhir 1431 Di Bangunan Sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, beberapa hari sebelum itu, isteri ADNS Bangi telah meneliti aturan berpakaian 'No One Dress' dan menyiapkan keperluan-keperluan yang lain. Pagi itu sesudah berpakaian 'No One Dress' dan dipastikan oleh isteri cara berpakaian benar-benar tepat, bahkan hingga keluar pintu, masih dipastikan cara berpakaian adalah betul, bahkan membetulkan cangkut leher yang sebelumnya kelihatan longgar, kerana tidak dicangkut.

Namun apabila sampai ke upacara di bahagian astaka di hadapana pekarangan bangunan SSAAS, sebelum acara berlangsung, ku nampak beberapa ADNS diperbetulkan pakaian mereka oleh kawan-kawan terutama bahagian leher yang tidak rapat les, termasuk seorang kawan ADNS dari Ampang Jaya turut membetulkan pakaian leherku yang tidak rapat dengan membuka dan memasang kembali 'adangan berkerawang' itu dileher. Begitulah kami bertolong-tolongan bagi membetulkan cara berpakaian. Bahkan semasa hendak pulang pada tengahari, bila mendekati kenderaan untuk mengelak pakaian 'NO One Dress' dari kedut, dan mau menukar kepada baju yang lain (sengaja dibekalkan isteri sehelai baju), aku agak sukar membuka cangkut bahagian depan leher dan kebetulan YB Batu Caves pula ada dan mendekati aku dan menolong membuka cangkut dari leherku. Begitulah bila tak biasa ada yang tak kena.

Sekian.

1 comment:

  1. Salam,

    Ingatkan YB masukkan sekali gambar YB ber'No One Dress' tu.

    ReplyDelete