April 1, 2010

Johan Qari Dan Qariah Hulu Langat

Kajang, 15 R. Akhir = 31 Mac (Rabu):

Nora Rozana Binti Jaafar adalah Johan Qariah Daerah Hulu Langat, manakala Muhammad Hafiz Bin Muhammad Nor pula adalah Johan Qari peringkat Daerah Hulu Langat bagi tahun 1431/2010. Mereka berdua mewakili Daerah Hulu Langat ke Peringkat Negeri Selangor bagi Ujian Tilawah al-Quran pada tahun ini yang akan diadakan pada 27 – 30 April di Masjid Al-Sharif, Meru, Kelang kelak. Rozana mencapai markah tertinggi dari lapan peserta ujian, iaitu seramai lapan orang (empat lelaki dan empat perempuan) yang telah disaring sebelumnya. Markah Rozana ialah 93.35, manakala Johan Lelaki pula mendapat markah 84.45, iaitu markah tertinggi di kalangan qari lelaki dan kedua tertinggi bagi keseluruhan peserta. Naib Johan perempuan ialah Puan Kalthom binti Ahmad yang mencapai markah 81.6 dan tempat ketiga Nur Fathiyah binti Panut dengan markah 78.3. Naib Johan lelaki pula ialah Muhammad Fairuz bin Hussain yang mendapat markah ketiga tertinggi keseluruhan iaitu sebanyak 83.5. Tempat ketiga peserta tilawah lelaki ialah Muhammad Anas bin Muhammad Zain yang mencapai markah 77.8.


Majlis Tilawah al-Quran di atas diadakan di Surau Saujana Impian, Kajang pada malam ini. Hadir ke Majlis ini Orang Besar Daerah Hulu Langat Orang Kaya Datuk Ungku Abdul Rani, Tuan Haji Zainal Abidin A'la Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat selaku Pengerusi Jawatankuasa Tilawah, YB Dr Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Dr Shafie Abu Bakar ADUN Bangi, Dato' Hassan Nawawi Abdul Rahman YDP MPKj, Tuan Haji Muhammad Amin Hussein Tuan Kadhi dan Pegawai Tadbir Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat merangkap Pengerusi Hakim-Hakim Tilawah, Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampong.

Majlis Perasmian dilakukan di dalam surau selepas sembahyang maghrib. Tuan Haji Zainal Abidin dalam ucapannya memaklumkan seramai 27 peserta pada peringkat Daerah Hulu Langat mengambil bahagian tilawah, iaitu 18 qari dan 9 qariah. Mereka disaring terlebih dahulu dan dipilih seramai empat lelaki dan empat perempuan ke Ujian Tilawah pada malam ini. Beliau berharap Qari dan Qariah yang dipilih dapat memperdengarkan bacaan yang baik, kalau dapat bukan saja menjadi Qari dan Qariah pada peringkat negeri, tetapi pada peringkat kebangsaan, bahkan pada peringkat antarabangsa.



YB Dr Che Rusli Che Mat selaku Tuan Rumah bagi Kawasan Parlimen Hulu Langat diberi penghormatan Merasmikan Majlis Ujian Tilawah al-Quran. Beliau mengharapkan dengan Tilawah dapat memperbaiki mutu bacaan, terutama dari segi tajwid dan juga lagu. Beliau mau kalau boleh tilawah bukan setakat membaca, tetapi mengerti makna. Kita perlu kaji kandungan al-Quran dan mengamalkannya.


Selepas sembahyang Isyak para jamaah dijemput ke luar surau, di bawah khemah yang disediakan. Qari dan Qariah memperdengarkan bacaan mereka di bawah anjung surau menghadap kepada hadirin di bawah khemah-khemah, manakala hakim-hakim menjalankan penghakiman mereka di dalam bahagian dalam surau. Majlis berlangsung sehingga jam 12.00 malam.


Sebelum keputusan diumumkan dan sebelum pemarkahan disiapkan, majlis diisi dengan nasyid dari Kumpulan Fitrah dari Sekolah Rendah Islam ABIM, Sungai Ramal. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Orang Besar Daerah Orang Kaya Datuk Abdul Rani.

Sekian. Wassalam.

No comments:

Post a Comment