March 4, 2010

Perpustakaan Induk Bangi Merangka Kegiatan

BBB, 17 R. Awwal = 03 Mac (Rabu):



Perpustakaan Bangi sebagai Perpustakaan Induk di Hulu Langat perlu merangka kegiatan

bagi menarik pembaca ke Perpustakaan Bandar Baru Bangi, demikian juga perpustakaan cawangan sebanyak 8 buah di Hulu Langat perlu sama mengadakan kegiatan masing-masing. Demikian kata Dr. Shafie Abu Bakar selaku Pengerusi Gerakan Membaca Hulu Langat dalam aluan-aluan beliau kepada Ahli Jawatankuasa Gerakan Membaca Hulu Langat. `Bagi saya gerakan membaca ini tepat dengan usaha kita memprojek dan mempromosi Bangi Bandar Ilmu. Ianya sesuai juga dengan cawangan-cawangan yang lain, menggerakkan kegiatan membaca.


Hadir pada mesyuarat Gerakan Membaca ialah AJK yang antaranya Encik Mohamad Fadhlullah bin Omar selaku Setiausaha yang juga merupakan Timbalan Pegawai Daerah Hulu Langat, Encik Mohd Fazli bin Mohd Fauzi Pegawai Perpustakaan Zon, En. Mohd Said Wakil dari PPD Daerah Hulu Langat, Penghulu Tok Azman Omar dan En. Ridhuan, Pegawai dari Pejabat Perpaduan Hulu Langat Puan Norzilawati, Wakil dari Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi Saudara Firdaus, Wakil Pemuda Saudara Ungku Faisal, Nisa` Saudari Haslina dan beberapa kakitangan dari Pejabat ADUN.

Cadangan-cadangan dikemukakan ahli-ahli bagi taqwim kegiatan setahun di Perpustakaan Bandar Baru Bangi. Penghulu Ampang menekankan bagi menjalankan banyak program Perpustakaan – Perpustakaan Induk dan Cawangan, perlu mengadakan seperti – Majlis Makan yang dijemput mereka yang berpotensi menderma untuk menderma. Menulis surat secara langsung kepada yang berpotensi menderma juga dicadangkan.


Antara kegiatan bagi setahun taqwim ialah

  • Pertandingan Catur bertempat di Dewan MPKj Kajang pada 11 Mac 2010
  • Pelancaran Perpustakaan Desa Semenyih April 2010
  • Bengkel Penulisan bertempat di Bangunan PKNS pada Mei 2010
  • Satu Daerah Satu Komuniti – Hulu Langat pilih Penulisan Mei 2010.
  • Gerakan Membaca - Negeri dan Daerah (Perpustakaan BBB Jun 2010).
  • Perhimpunan Seniman di Tasik Cempaka Jun 2010
  • Talk & Tea – Perhimpunan Blogger di Bandar Baru Bangi, Julai 2010
  • Pesta Buku di Kompleks PKNS, Julai – Ogos 2010
  • Hari Penulis dan Pembaca, di Taman Tasik dan Kompleks PKNS Oktober 2010
  • Kembara Ilmu dari Hulu Langat ke BBB November 2010
  • Hari Penghargaan Anak-Anak Cemerlang, Kompleks PKNS Disember 2010.

Bagi menggerakkan kegiatan perpustakaan tempatan lawatan akan dibuat ke perpustakaan-perpustakaan cawangan bagi mendengar rancangan kegiatan dan cadangan-cadangan yang wajar dikemukakan kepada kakitangan perpustakaan cawangan.


Satu aspek yang penting bagi perpustakaan ialah menambahkan koleksi buku perpustakaan. Antara cadangan yang diutarakan bagi menambahkan koleksi buku perpustakaan di Bangi, ialah memperuntukkan ruang khas di perpustakaan untuk dipenuhi dengan buku-buku terbitan universiti-universiti dan pensyarah-pensyarah yang terdapat di Bangi dan sekitarnya. Pihak perpustakaan akan menulis kepada universiti-universiti dan pensyarah-pensyarah menderma buku-buku yang dihasil mereka atau sekurang-kurangnya menjual dengan harga rendah untuk diisi di dalam ruang khas berkenaan.

Semua AJK diingatkan bahawa kerja kita adalah kerja yang berhubung dengan ilmu dan adalah baik, ia adalah dari amalan saleh, sebab itu berkhidmatlah dengan ikhlas bagi kepentingan anak-anak dan generasi dan masyarakata kita. Insya Allah akan membalas dengan ganjaran yang setimpal, InsyaAllah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment