March 16, 2010

Pendatang Asing: Implikasi Sosial Dan Islam

Shah Alam, 29 Rabiul Awwal = 15 Mac (Isnin):


Pada pagi ini pihak JAIS menjemput Profesor Azizah Kassim, Felow Utama Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS) UKM bagi membentangkan kertas kerja bertajuk Kajian Mengenai Pekerja Asing di Malaysia: Mengungkai Isu dan Permasalahan Semasa. Kertas dibentangkan kepada Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Negeri Selangor. Jawatankuasa berminat untuk mendapat maklumat akademik, khusus perkara-perkara yang berhubung dengan tugas dan peranan Jawatankuasa. Misalnya implikasi sosial dan persoalan yang berkaitan dengan Islam akibat dari kebanjiran Pendatang Asing ke Negara ini. Apa lagi fakta menunjukkan Negeri Selangor, termasuk Kuala Lumpur menjadi tumpuan utama kehadiran mereka. Lebih dari 43% kehadiran adalah tertumpu ke Selangor. Profesor Azizah memberi statistic kehadiran mereka yang dari setahun ke setahun pada umumnya makin meningkat dan berkait rapat dengan meningkatnya ekonomi semasa atau sebaliknya: Statistik ini adalah berdasarkan rekod kehadiran sah:

Kehadiran Pendatang Asing
Sumber: Jabatan Imigresen, Putrajaya & Azizah Kassim 2008

Statistik ini tidak termasuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) antara 500,000 hingga 2,000,000 orang. Mereka tertumpu ke negeri Selangor yang 89% daripada kawasannya bersifat urben. Pendatang yang paling ramai ialah dari Indonesia, diikuti pekerja Nepal, Myanmar dan India. Di Sabah ramai Pendatang asing terdiri dari PATI dan Pelarian Filipina. Pendatang di Semenanjung, khususnya di Selangor paling ramai dalam sektor pembuatan, manakala di Sabah pada sektor pertanian dan perladangan.


Tidak dinafikan ada kesan positif. Misalnya dapat menampung kekurangan tenaga boroh dengan harga lebih murah, khususnya dalam bidang pekerjaan yang tidak digemari rakyat Malaysia, tetapi kesan negatifnya lebih besar. Misalnya mengurangkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Pendatang asing menguasai bidang perniagaan misalnya pasar malam. Mengalirnya keluar wang Negara yang dihantar pulang pekerja-pekerja asing ke Negara-negara masing-masing berbilion ringgit. Meningkatnya perbelanjaan Negara mengurus pendatang haram, meningkatnya gejala sosial seperti membunuh, merompak, mencuri, meragut, merogol, meningkatnya aktiviti penyeludupan, berlakunya kesesakan penjara akibat jenayah yang makin bertambah, berkembangnya pendudukan setinggan dan penerokaan tanah secara haram juga merebaknya penyakit yang dibawa pendatang.


Isu Keagamaan

Ramai anak-anak tidak bersekolah kerana tiada dokumen seperti anak-anak pelarian Rohingnyar yang beragama Islam dan jumlah mereka 6,000 di Malaysia. Kerakyatan mereka ditarik balik sejak 1980 oleh Kerajaan Myanmar. Mereka seperti tidak bernegara. Jika dihantar keluar mereka datang kembali. Sindekit menjadikan mereka seperti bahan dagangan..
Kemasukan pendakwah Kristian di kalangan anak-anak PATI yang tidak bersekolah kerajaan dan juga pendatang asing yang lain yang tidak berpeluang bersekolah.
Berlaku perkahwinan, terutama di kalangan Pendatang Asing Indonesia di kalangan mereka tanpa tauliah. Ada yang sudah bersuami di negeri mereka , tetapi berkahwin lain di sini.

Berlaku keruntuhan rumah tangga rakyat tempatan, kerana dipengaruhi pekerja wanita dari luar, terutama Indonesia. Manakala anak-anak gadis tempatan lari mengikut lelaki ke Indonesia. Banyak lelaki dari lombok melarikan anak-anak gadis Malaysia ke Lombok. Bertmbahnya anak luar nikah. Bertambahnya ibu tunggal dan anak-anak yang ditinggalkan bapa yang pulang meninggalkan negeri ini. Begitu juga ada anak-anak yang dilarikan oleh bapa mengikutinya dan meninggalkan ibu di sini.

Setengah pendatang seperti Indonesia, bukan beragama Islam, tetapi beragama Kristian. Mereka menjadi mubaligh atau membawa mubaligh mempengaruhi penduduk tempatan kepada agama Kristian.

JAIS berdepan dengan masalah di atas dan menuntut diambil tindakan berhubung dengan masalah pernikahan secara persendirian di kalangan mereka. Pernikahan berulang tanpa percerian dengan suami dahulu. Perkahwinan penduduk tempatan dengan lelaki dari luar dan isteri ditinggalkan, ibu tunggal, anak yang ditinggal atau dilarikan, masalah gadis dilarikan, masalah bersekedudukan, kemasukan perempuan dari luar dan melibatkan diri dengan kegiatan pelacuran, ajaran sesat dan berbagai lagi masalah yang dihadapi JAIS akibat dari Pendatang Asing baik yang datang secara halal atau haram.
Inilah antara cabaran yang dihadapi JAIS yang menuntut penyelesaian.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment