March 24, 2010

Merasmikan PASTI Ibnu Sina, Kota Warisan, Sepang

Kota Warisan, 04 Rabiul Akhir = 20 Mac (Sabtu):



Menggantikan YB Dato' Dr. Hassan bin Mohd Ali Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, ADUN Bangi diiringi Saudara Azizi tiba di Kota Warisan jam 5.40 petang. Kami kembali ke Surau, tempat kami mula-mula singgah sebaik sampai tadi dan dari sini kereta kami diiringi sepasukan konvoi bermotor pemuda-pemuda Pas di perjalanan satu kilometer ke PASTI Ibnu Sina yang bertempat di sebuah kedai dari deretan kedai yang relatifnya baru siap dibina. Sesampai ke hadapan bangunan PASTI Ibnu Sina bangunan kedai dua tingkat, ADUN dijemput ke depan khemah berdepan kedai PASTI Ibnu Sina bersama dengan tetamu lain En. Fairuz Penolong Pegawai Daerah Sepang, Tuan Haji Ahmad Makki YDP PAS Sepang, En. Abadan, Pengarah PASTI Ibnu Sina dan En. Noorizani Abdul Wahab Pengurus PASTI dan En. Wong Chung Tau Wakil Penyelaras DUN.



Selepas pembukaan dengan pembacaan doa, saudara Noorizani selaku Pengurus yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Cawangan Kota Warisan menyampaikan ucapan alu-aluan memaklumkan bahawa cadangan mengadakan PASTI adalah sejak Jun 2009 dan menjadi realiti pada bulan Januari 2010. Pengurus PASTI ialah beliau sendiri dengan Timbalan Pengurus En. Yusharizal Ahmed Ibrahim, Bendahari En. Mohd Halim Mat Isa dengan Setiausaha En. Mohd. Zuraidi Ghadzali dengan dibantu oleh 6 ahli jawatankuasa. PASTI Ibnu Sina kini mempunyai 42 orang murid yang dibahagikan kepada tiga kelas dengan bimbingan tiga orang guru dan tiga orang pembantu. Waktu pembelajaran ialah antara 8.00 – 11.30 pagi. Mata pelajaran yang diajar ialah Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Matematik, Akhlak, Sirah, Asas Ibadat, al-Quran dan Tulisan Jawi.


Tuan Haji Ahmad Makki, selaku YDP Pas Serdang, mengucap terima kasih kepada ADUN yang sudi datang bagi merasmikan PASTI Ibnu Sina. Beliau juga berterima kasih kepada En. Fairus, Wakil Pegawai Daerah yang sudi datang. Menurut Tuan Haji Ahmad Makki, Kota Warisan sebagai kawasan baru dan penduduknya terdiri daripada generasi muda mempunyai ramai anak-anak kecil yang perlu kepada didikan agama. Kita berharap PASTI Ibnu Sina dapat memenuhi keperluan ini. Kita mahu generasi pelapis kita lebih diberi didikan agama di samping pelajaran akademik bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Beliau mengharapkan PASTI Ibnu Sina menjadi antara PASTI termaju di Kawasan Sepang.


ADUN Bangi, mewakili YB Dato' Dr. Hassan Ali menekankan perlunya perhatian diberi kepada anak-anak kita yang merupakan permata hati kita dan pelapis generasi. Perhatian diberi sejak anak di dalam kandungan lagi. Bagi ibu bapa hendaklah berusaha berada di dalam suasana keredhaan Allah. Dari dalam kandungan hingga kelahiran dan membesar, pastikan makanan kita dan anak-anak kita diberi makanan yang baik dan halal bagi pertumbuhan fizikalnya. Pendidikan adalah bersifat berterusan dengan mengajar berkata, mendidik akhlak dan kini tuan-tuan dan puan-puan selaku ibu bapa menghantar anak-anak tuan-tuan dan puan-puan ke PASTI yang mendidik anak-anak dari segi mental, adab dan kerohanian. Pastikan anak-anak terus dididik dalam suasana Pendidikan Islam dan melatih mereka beramal dengan didikan dan amalan keislaman. ADUN memuji AJK yang gigih mendirikan PASTI dan berharap akan terus berkembang maju. Pada penghujung majlis ialah penyampaian wathiqah kepada guru-guru, diikuti dengan melawat ke bangunan PASTI Ibnu Sina dan menandatangani plak sebagai tanda perasmian pembukaan PASTI Ibnu Sina.


Selepas itu kami beramai-ramai ke masjid berjemaah Solat Maghrib dan menyempurnakan ceramah yang sepatutnya disampaikan oleh Dato' Dr. Hassan Mohd Ali. Bagi memenuhi slot ini, ADUN bercakap tentang prihatin Kerajaan Negeri Selangor tentang pendidikan Islam dari segi peruntukan, pendidikan pada peringkat pra-sekolah, SRA, SRAI, peringkat menengah hingga ke universiti. Pendidikan melalui masjid dan surau. Biasiswa, pinjaman dan insentif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi anak-anak Negeri Selangor yang layak menyambung pelajaran. Peruntukan dari zakat untuk pendidikan dan perkembangan Islam. Pendek kata tidak ada negeri lain yang memberi perhatian, peruntukan dan peluang pelajaran sebaik yang diberi oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Sekian.

No comments:

Post a Comment