February 3, 2010

Tiga Generasi Masih Menduduki Tanah Tol

Desa Seroja, Jalan Reko, 17 Safar = 2 Februari (Selasa):


Sebanyak 36 keluarga telah tinggal di atas sebidang tanah seluas 2.9 ekar antaranya sejak lebih 40 tahun lepas di Kampung Desa Seroja, sedangkan tanah-tanah berjiran telah lama mendapat pemilikan geran bagi tapak rumah mereka. Tanah tersebut terletak di bahagian belakang Taman Seroja, bersempadankan Sungai Langat. Kumpulan keluarga tersebut terdiri dari 20 keluarga Cina dan 16 keluarga India. Rumah-rumah mereka walaupun mempunyai bekalan air dan letrik, tetapi tidak teratur dan kelihatan seperti rumah setinggan. Pengabaian dari usaha memohon pemilikan tanah secara bergeran sebagaimana didapati oleh jiran-jiran adalah tiadanya inisiatif selama ini di kalangan penduduk bagi memohon pemilikan rasmi dan bergeran dari pihak Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah di Hulu Langat. Menurut Encik Nathan A/L Marianandan seorang kontraktor di sini beliau pernah memohon dari Pejabat Tanah, pemilikan bagi rumah dan pejabatnya, tetapi ditolak atas alasan permohonan perseorangan tidak dilayan.


Atas kesedaran ini penduduk di Desa Seroja telah berpakat secara berkelompok untuk memohon pemilikan tanah yang telah mereka tinggal di sini sejak bergenerasi yang lalu. Dengan mewakilkan pengurusan diketuai oleh Encik Nathan. Mereka telah mengusahakan pelbagai keperluan seperti membuat pemetaan tanah dengan simpanan untuk sungai sejauh 2 ½ rantai. Melalui pertolongan orang yang pakar di dalam membuat pelan dan pemecahan lot tanah seluas 2.9 ekar itu dibahagi-bahagikan kepada 36 lot yang luas setiap lot ialah antara 60'x 40' dan 70'x 50'. Pemecahan dan peluang pemilikan ini melibatkan semua penduduk. Tidak ada yang tidak diberi peluang.

Mana-mana rumah yang berada di dalam kawasan simpanan untuk sungai diberi ruang di kawasan tanah pemilikan Kerajaan Negeri Selangor. Pemecahan ini juga mengambil kira kelebaran jalan dan keperluan-keperluan infrastruktur. Sebuah kertas kerja yang lengkap dengan maklumat berhubung dengan tanah, penghuni-penghuni rumah, senarai pemilik rumah disediakan. Sebuah plan pecahan tanah secara berasingan dari kertas kerja juga telah disiapkan.


Dengan persediaan di atas, mereka bercadang memohon secara berkelompok kepada Kerajaan Negeri, melalui Pejabat Daerah Hulu Langat. Setakat ini mereka telah memohon surat sokongan dari Ahli Parlimen Serdang YB Teo Nie Ching dan mereka juga menemui ADUN Bangi dan menghantar satu proposal berkenaan. ADUN membuat janji untuk melihat tapak tanah, lokasi dan cara pemecahan tanah berkenaan. Sebagaimana dijanjikan jam 4.00 petang hari ini ADUN dengan diiringi Saudara Abu Bakar AJK Kawasan dan selaku Setiausaha Perpaduan Nasional serta Saudara Shahrum turun melihat lokasi berkenaan. Memang kelihatan tanah-tanah berdekatan yang telah mendapat pemilikan geran tetap kelihatan tersusun dengan bangunan-bangunan yang agak baik, manakala rumah-rumah di atas tanah tol, bukan saja tidak tersusun, tetapi juga agak uzur. Mereka barangkali tidak membina rumah secara lebih baik kerana memikirkan tanah yang diduduki bukan merupakan pemilikan mereka. ADUN meninjau bersama kurang lebih dengan sepuluh orang penduduk dari sempadan ke sempadan dan melihat kejauhan dari sungai yang menurut penduduk tidak pernah berlaku banjir, kecuali sekali lebih kurang sepuluh tahun yang lepas.


Setelah meninjau kawasdan, rumah dan bertemu penduduk ADUN bersama pengiring-pengiring pergi ke pejabat Encik Nathan. Di sini taklimat dan penerangan mengenai tapak disampaikan. ADUN diberi sesalin maklumat dan dipohon untuk mendapat sokongan.

ADUN menyokong permohonan dan di atas salinan maklumat yang diberi akan mengeluarkan surat sokongan. Tapi ADUN menasihatkan penduduk di Kampung Desa Saroja ini mengusaha mewujudkan sebuah Persatuan Penduduk. Dengan adanya Persatuan Penduduk suara dan tuntutan lebih kuat dan lebih diberi perhatian oleh pihak Kerajaan dan mana-mana perhubungan dibuat. Lagi pula memudahkan ADUN dan berbagai pihak membuat hubungan. Mereka berjanji akan menubuhkan Persatuan Penduduk bagi Kampung Desa Seroja bagi menguruskan berbagai-bagai keperluan penduduk, khususnya pemilikan tetap bagi tanah yang mereka duduki.


No comments:

Post a Comment