October 28, 2009

Tahap Keselamatan Yang Merisaukan

BBB, 9 Zulkaedah = 28 Oktober (Selasa):

Dalam usaha kita jadikan Bangi sebagai Bandar Bersih dan Selamat, kita benar-benar tercabar dengan berita-berita yang menggugat keamanan dengan berlakunya kecurian, pecah rumah dan ancaman terhadap keselamatan nyawa. Yang menjadi mangsa terdiri dari berbagai peringkat dari orang awam, bahkan dari rumah Bilal Surau hinggalah kepada Setiausaha Masjid. Malam tadi ADUN kebetulan pergi berjamaah di Masjid Hasanah. Berita sampai ke telinga ADUN tentang pecah rumah dan kecurian yang dialami Setiausaha Masjid Hasanah dan turut sembahyang hajat memohon keselamatan dan perlindungan dari Allah.

Adalah dikatakan, kecurian terjadi dilakukan oleh kumpulan yang sama yang bergerak dari satu tempat ke tempat berdekatan. Selain itu dikatakan ada bekas penghuni pusat serenti yang baru dilepaskan dan pulang ke sini dan bergiat semula melakukan jenayah. Selain dari mengharapkan pihak Polis lebih aktif mengadakan rondaan, masyarakat diharap mengambil perhatian dan membuat catatan no. kenderaan pihak-pihak yang diragukan bergerak di kawasan dan hebohkan di kalangan jiran. Jika ada yang mengenali orang yang baru dilepaskan dari tahanan, perlu diawasi pergerakannya dan kalau perlu melaporkan kepada pihak Polis.

Kita juga mengharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap premis-premis cyber café haram dan tidak berlesen, manakala ibu bapa mengawasi anak-anak mereka dari `menghuni` di cyber café, merayau dan ponteng sekolah. Jika keadaan makin teruk perlu difikirkan bagi mewujudkan rukun tetangga dan pengawalan. Persoalan keselamatan ini akan dibawa ke mesyuarat keselamatan pada peringkat Daerah insya Allah.

No comments:

Post a Comment