October 16, 2009

Gagasan Bangi Raya

`Gagasan Bangi Raya` adalah cetusan idea yang mahu mengunggulkan Bangi baik dari segi imej, infrastruktur dan dari segi lokasi geografi

(Gambar hiasan)

Dari segi imej ADUN menampilkan motto `Bangi Bandar Ilmu`, sesuai dengan situasi Bangi yang keberadaan dan perkembangannya dicetus oleh pembukaan kampus dan pembinaan UKM. Ini diikuti dengan kemunculan universiti-universiti di sekeliling Bangi yang menghampiri jumlah dua puluh buah. Turut lahir di sekitarnya berpuluh-puluh pusat penyelidikan, latihan dan kemahiran. Bangi dihuni oleh para ilmuan yang mencurah keilmuan dan kepakaran mereka diinstitusi-institusi keilmuan disekeliling Bangi. Mereka adalah pencinta ilmu dan menghasilkan produk-produk ilmu.


Imej Bangi Bandar Ilmu bukan setakat kewujudan institusi-institusi keilmuan, tetapi kita memprojek Bangi dengan kegiatan-kegiatan ilmu. Untuk melaksanakannya di bawah ADUN Bangi diwujudkan `Kabinet Bandar Ilmu` Kabinet merangka kegiatan-kegiatan bersifat ilmu dan ilmiah. Kerjasama di dalam bidang ini banyak dilakukan bersama Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan Persatuan Surau-Masjid di Bandar Baru Bangi. Antara kegiatan yang dilakukan seperti wacana ilmu, seminar, ceramah, merakyatkan ilmu, wadi ilmu, pameran buku, membicarakan buku, penerbitan, pengajaran di masjid-surau, tadarrus al-Quran dan pertandingan seni dan budaya.

(Gambar hiasan)

Bagi menyemarak dan melengkapkan Bangi Bandar Ilmu perhatian khusus diberi terhadap kelengkapan infrastruktur, kebersihan dan rekreasi. Penyemarakan ilmu selama ini dilakukan di berbagai lokasi seperti menyewa bilik-bilik seminar di berbagai-bagai institusi, ceramah di padang dan dalam bangunan, merakyatkan ilmu di pinggir pasar dan di ruang Medan Selera, mengadakan perbincangan santai, tetapi ilmiah di bawah khemah di tepi Tasik Cempaka, pameran buku di ruang legar PKNS Bangi, membicarakan buku di pentas-pentas, menerbitkan bahan ilmiah, seni ilmiah dan seni budaya, pengajaran berterusan di 24 masjid dan Surau oleh berbagai guru tempatan dan jemputan di dalam berbagai bidang. Tadarrus al-Qur`an dan huraian dari masjid-surau secara bergilir-gilir sebulan sekali, manakala pertandingan seni budaya dilakukan oleh perpustakaan dan persatuan-persatuan, terutama di kalangan anak-anak sekolah. Insentif kepada pelajar-pelajar juga dilakukan seperti kelas bimbingan, retreat ilmu, hadiah kepada pelajar cemerlang, membantu pelajar-pelajar miskin dan kekurangan. Demikianlah Bangi Bandar Ilmu yang boleh dikatakan keseluruhan kawasannya adalah merupakan kampus terbuka dan keseluruhan warganya adalah berorientasi dan cintakan ilmu. Meskipun seluruh kegiatan ilmu diperkatakan dapat dijalankan dengan baik, tetapi bagi sebuah Bandar ilmu banyak lagi kekurangan. Antaranya kita sedang memperjuang dan mendesak kerajaan atau agensi-agensi berkaitan seperti PKNS, MPKj dan Pejabat Daerah mewujudkan Pusat Konvensyen yang dapat digunakan sebagai tempat kegiatan ilmu, seni budaya dan kemasyarakatan yang lokasi terbaiknya seharusnya berada di pinggir Tasik Cempaka. Sebagai Bandar dikelilingi institusi-institusi keilmuan di Bangi seharusnya wujud kedai-kedai buku yang menjadi tarikan bagi penduduk tempatan dan dari luar datang membeli buku.


Di Bangi seharusnya ada tempat-tempat pameran dan geleri buku juga wujudnya gedung dan sanggar seni untuk para seniman berkreatif. Perpustakaan di Bangi hendaklah dinaitaraf kepada perpustakaan induk antara universiti yang para pengunjung dari berbagai lapisan dari professor, pelajar, anak sekolah dan penduduk tempatan mengunjungi dan meminjam buku-buku, bahkan sumber ilmu yang dapat diekses melalui peralatan dan komunikasi moden.

(Gambar hiasan)


Suasana dan budaya ilmu memerlukan ketenagan, keharmonian dan kesejahteraan. Aspek-aspek ini diberi perhatian umpamanya kita melancar dan mengisytiharkan tahun 2009 sebagai tahun bersih. 10 program besar kempen kebersihan di Bandar Baru Bangi, dikuti dengan berpuluh-puluh program gotong royong kebersihan diadakan oleh penduduk taman-taman perumahan. Sejumlah peruntukan yang besar telah dikeluarkan dari peruntukan ADUN Bangi bagi kempen kebersihan tersebut. Pihak MPKj dan Persatuan Penduduk pula memilih Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, kawasan yang dianggap terkotor di Bandar Baru Bangi kerana wujudnya dua pasar malam dan pasar tani secara mingguan di situ dan tidak terkawal dari segi kebersihan. Di sini diadakan kempen kebersihan secara berterusan dan diharap dapat ditransformkan kawasan ini dari imej yang kotor kepada tempat yang bersih. Pemilihan tempat ini ada kaitan dengan arahan pihak Exco kerajaan tempatan agar setiap daerah memilih satu tempat yang kotor dan dibersihkan. Tempat-tempat yang dibersihkan dari berbagai daerah ini dipertandingkan, diiktiraf dan diberi hadiah bagi tempat yang terbersih.


Dari segi fizikalnya adalah diusahakan, terutama melalui kerjasama dengan MPKj agar dapat ditransformkan Bandar Baru Bangi dari Bandar yang kurang diberi perhatian dari segi landscape dan seni taman kepada Bandar Taman. Jalan-jalan masuk dari kedua-dua tol dan bulatan-bulatan di Bandar Baru Bangi dihias dan ditingkatkan dengan taman-taman, begitu juga di sepanjang jalan dan antara divider jalan. Penduduk-penduduk di taman masing-masing diharap menjadi bapa/ibu angkat bagi kebersihan, landscape dan hiasan taman di taman masing-masing. Kalau perlu diadakan pertandingan taman terbersih antara taman-taman. Hiasan fizikal dan luaran tidak sempurna dari segi keindahan dan kesejahteraan jika tidak disempurnakan dari segi keselamatan. Kita berusaha untuk menghapuskan jenayah dan gejala sosial di Bandar Baru Bangi. Pendidikan dan amal ibadat melalui surau dan masjid adalah satu pendekatan mendidik masyarakat hingga dapat mencegah dari akhlak keji, gejala sosial dan berlakunya jenayah. Lebih dari itu jawatankuasa keselamatan,ahli Badar, penduduk setempat dan polis sama bertanggungjawab menjaga keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan penduduk.


Demikianlah visi dan misi kita berhubung dengan Bandar Baru Bangi. Kita mau jadikan Bandar Ilmu ini Bandar Bersih, Aman Sejahtera dan Bandar Taman yang masyarakatnya prehatin dan hidup secara harmoni. Al-Hamdulillah dari tinjauan kita, Bandar Baru adalah menjadi Bandar rebutan untuk dihuni. Kerana lokasinya yang strategic, dekat dengan Putrajaya dan KLIA, mudah ke KL dan Seremban. Kebanyakan bila ditanya mengapa mereka memilih Bangi untuk dihuni. Jawapan yang diterima ialah kerana Bangi Islamik, Akademik dan Dinamik. Malangnya kawasan Bandar Baru Bangi amat terhad dari segi keluasan. Kini tidak mungkin mendapat luas seekar tanah untuk dijadikan tapak kediaman. Hartanah di sini begitu melonjak tinggi lebih tinggi dari hartanah di Shah Alam. Penduduk di sini bertambah secara pesat dan kini mencecah 100,000 orang, sedang lebih ramai lagi mereka yang mahu menjadi warga Bangi.


Gagasan Bangi Raya


Oleh kerana Bangi adalah Bandar pilihan untuk dihuni, maka peluang sewajarnya harus diberi, maka ADUN mencadangkan `Gagasan Bangi Raya`.

Gagasan ini bermaksud memperluaskan kawasan jenama `Bangi yang mempunyai daya tarikan yang tinggi, iaitu dengan menjadikan seluruh kawasan DUN Bangi kini dengan beberapa penambahan sebagai Bangi Raya tanpa mengubah nama dan lokasi tempatan yang sedia ada. Kawasan DUN Bangi dipecah kepada Bangi (Satu), Bangi Dua dan Bangi Tiga.


Bangi

Merangkumi seluruh Bandar Baru Bangi yang ada sekarang, termasuk UKM, termasuk juga Pekan Bangi hingga ke sempadan dengan Semenyih dan Sungai Ramal Luar dan Dalam.


Bangi Dua

Merangkumi Bandar Seri Putra dan Bukit Mahkota dan perkembangan dari kedua-dua Bandar tersebut.


Bangi Tiga

Merangkumi Bukit Mewah hingga ke Taman Jasmin, Bandar Universiti, Bandar Alam Sari dan Bandar Teknologi.

Di bawah gagasan `Bangi Raya` seluruh konsep Bangi Bandar Ilmu diperkatakan di atas akan diaplikasi dan diterapkan kepada Bangi Raya. Dengan ini lebih banyak kawasan dan peluang bagi mereka yang berminat untuk menghuni dan menjadi warga Bangi.


Bold

Dari segi politik `Bangi Raya` akan menjadi sebuah kawasan parlimen di Selangor dan ketiga-tiga pecahan Bangi menjadi kawasan DUN.


Untuk jangka panjang `Bangi Raya` akan menjadi sebuah `Bandaraya` yang pesat maju di negeri Selangor, mempunyai kerajaan tempatan dianjung selatan dan pintu masuk dari Selatan ke Selangor dan ditadbir oleh seorang Datuk Bandar yang dinamik – Insya Allah.


Sekian. Terima kasih

Pagi Jumaat 27 Syawal 1430 = 16 Oktober 2009.

~Shafie Abu Bakar~

No comments:

Post a Comment