October 8, 2009

Fana Menjelmakan wajahnya

(gambar hiasan)

(Segala di muka bumi binasa. Yang Kekal Wajah Tuhanmu Yang Maha Besar Lagi Mulia (Ar-Rahman: 26-27)

Kefanaan
Adalah wajah alam
Setiap saat dilawat perubahan
Ketika-ketika kaulihat
Wajah senyum tenang

Permukaan bukit bukau menghijau
Memendam duka luka mendalam
Ditarah tajam untuk perumahan
Berstatus elit megah kediaman
Manakala padang dan taman
Bertukar gersang muram
Oleh rakusnya pembangunan

Air sungai mengalir jernih
Bertukar pekat hitam meracunkan
Hilangnya sivik persekitaran
Pohon-pohon penampang ombak dan arus
Musnah memberi ruang hotel pelancongan
Di angkasa ozun menipis keracunan
Meningkat suhu kepanasan
Mengancam kehidupan
Semuanya oleh tangan merosakkan
Oh ! Hingga bila derita alam memendam
Anak manusia rakus hilangnya ihsan.


Waktu-waktu
Oleh rakus dan kasar
alam hilang kesabaran
Sebentar engkau mendengar
Taufan Parma melanda Filipina
Sekencang angin 185km sejam
Menjejas kehidupan 2.5 juta orang
Membuak banjir meningkat korban
Manakala Taufan Ketsana bergerak ke Kemboja
Mengamuk di Vietnam menuntut ratusan kurban
Menjejas lebih 3 juta kehidupan

Tiba-tiba meletus kemarahan
Di kepulauan Samoa Pasifik Selatan
Dilanda Tsunami bersiri 6 meter tinggi
melanda perpantaian membungkah bangunan
menghanyut penghuni jauh kelautan
32,000 menerima kesan
3,000 hilang perlindungan
Seratus lima puluh diziarah kematian
Puncak meletus kemarahan
Gemuruh gempa 7.6 magnitude di Padang
Meruntuh, menimbus, membalikkan
Memusnah bangunan beribu kematian
Puluh ribu lagi kecederaan
Perlu bantuan kemanusiaan.

Fana tetap menjelma
Secara lembut atau kekerasaan
Membawa mesej peringatan
Sebelum kemusnahan total mendatang.

Shafie Abu Bakar. 19 Syawal 1430 08 Oktober 2009

No comments:

Post a Comment