September 4, 2009

Penyampaian Wathiqah Kepada Nazir


Kajang, 12 Ramadhan = 2 September (Rabu)

Setelah perlantikan dibuat pada Jun yang lepas, maka pada hari ini bertempat di Pekarangan Pejabat Agama Daerah Hulu Langat disampaikan wathiqah kepada nazir-nazir masjid yang berjumlah sebanyak 45 buah itu. Hadir bagi menyempurnakan majlis itu Yang Dihormatkan Orang Kaya dan Orang Besar Daerah Hulu Langat Datuk Hj Abd. Rani bin Datuk Shamsuddin, YB Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi yang juga selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Agama dan Adat-Adat Melayu, YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat dan Pentadbir Agama Daerah Hulu Langat Tuan Haji Mohd. Amin bin Haji Hussein.

Dr. Shafie dalam ucapannya mengucap tahniah kepada nazir-nazir yang dilantik. Beliau mengingatkan mereka, perlantikan adalah amanah dan insya Allah mendapat ganjaran dari Allah. Maju mundur bagi sesebuah masjid bergantung kepada pimpinan Nazir dan AJK Masjid. Beliau mau semua 45 masjid dan juga 365 surau di Hulu Langat, selain dari kegiatan ibadat mengisi dengan kegiatan-kegiatan seperti mengadakan majlis-majlis ilmu, kegiatan kemasyarakatan, bimbingan pelajaran anak-anak, menyambut hari-hari kebesaran agama Islam dan sebagainya..
Sebelum dari itu YB Dr. Che Rusli menyatakan bahawa dari maklumat yang didapati masjid dan surau sekarang lebih aktif berbanding dengan pada masa pemerintahan yang lepas. Manakala Tuan Haji Mohd. Amin memaklumkan, perlantikan nazir-nazir berjalan dengan baik. Cuma ada satu dua buah masjid bermasalah pada mulanya, tetapi kini sudah dapat diatasi.

Orang Kaya Daerah Datuk Hj. Abdul Rani sudi menyampaikan wathiqah-wathiqah bagi nazir-nazir dari kawasan Parlimen Ampang dan Pandan. YB Dr. Shafie menyampaikan wathiqah kepada nazir-nazir dari Parlimen Serdang dan YB Dr. Che Rusli menyampaikan wathiqah kepada nazir-nazir masjid Daerah Hulu Langat. Majlis berbuka puasa diadakan pada petang itu diikuti maghrib.
Gambar : Penyampaian wathiqah kepada Hj Hanafi, Nazir Masjid Kajang.

No comments:

Post a Comment