May 11, 2009

Ucapan Perasmian PENJAWIS

(10 Mei, Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam, Selangor)
Bismi`l-Lah wa`s-Salatu wa `s -salam `ala Rasulillah

Saya berminat hadir merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pencinta Jawi Selangor (PENJAWIS), mewakili YB Dato` Dr. Hassan Ali Exco Agama Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Negeri Selangor. Tetapi agak kecewa dengan kehadiran mesyuarat agung bagi kali ketiga ini yang dijangka jumlah peserta seramai 167 orang, tetapi yang hadir cuma 20 orang. Mungkinkah ini membuktikan jawi makin malap? Pendukungnya hilang semangat. Semoga tidak sedemikian.

Membicarakan tentang Jawi bukan semata-mata sebagai aksara bagi menulis dan membaca, tetapi ianya berasal dari abjad kudus yang dicatat melaluinya wahyu dan terhimpun dengannya ayat suci al-Qur`an. Ianya abjad murni melaluinya diolah ayat-ayat Qur`an dan Hadith kepada berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan Islam seperti tafsir, akidah, fiqh, usulul-fiqh, tasawuf,.sirah, ilmu-ilmu umum dan berbagai-bagai ilmu yang lain. Terakam melaluinya perbendaharaan ilmu-ilmu Islam sebagai arkib tamadun dan peradaban umat.

Satu keistimewaan Islam dalam rangka perluasan dakwah dan penyebarannya, kehadiran Islam ke sesebuah Negara, ianya tidak memupuskan bahasa tempatan dan budayanya, sebaliknya menyubur dan memperkembangkannya, bahkan menjadi sebahagian dari bahasa dan peradaban umat. Contoh abjad al-Qur`an menjadi abjad bahasa Turki (sebelum dirubah oleh Kamal Attaturk), bahasa Urdu, bahasa Melayu dan lain-lain.

Islam datang ke Alam Melayu dan memilih bahasa Melayu sebagai bahasa tempatan bagi menyebarkan Islam. Huruf a-Qur`an diterima menjadi huruf persuratan Melayu yang dikenali sebagai tulisan Jawi. (Nama Jawi nisbah kepada Pulau Jawa yang lebih dikenali dan menjadi sebahagian daripada Alam Melayu). Penggunaan awal huruf ini di Terengganu sebagaimana terakam pada Batu Bersurat Terengganu 702H./1312M.

Tulisan Jawi digunakan oleh ulama dan pendakwah di pusat-pusat pengajian tradisi di dalam menghasilkan kitab-kitab Jawi. Contoh Syeikh Nuruddin ar-Raniri dari Aceh mengarang kitab fiqh terawal dalam bahasa Melayu yang berjudul Sirat al-Mustaqim, Syeikh Abdul Rauf Singkel mengarang kitab tafsir (Baydawi), Syeikh Abdul Malik bin Abdullah dari Terengganu mengarang kitab tasawuf yang berjudul Hikam Melayu. Dari Fatani Syeikh Daud bin Abdullah mengarang kitab-kitab fiqh seperti Furu` al-Masa`il dan Bughyat at-Tullab, Syeikh Zainal Abidin Muhammad al-Fatani mengarang kitab taswauf Sayr al-Salikin dan Syeikh Nik Mat bin Zainal Abidin mengarang kitab Fiqh Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn. Dari Kelantan Tuan Tabal mengarang kitab fiqh Bi Kifayat al-Awwam dan kitab tasawuf Jala` al-Qulub dan ramai lagi ulama yang mengarang berbagai-bagai kitab.

Karangan-karangan histriografi juga dikarang dengan menggunakan tulisan jawi contoh Sulalatu`s-Salatin yang dikenali dengan Sejarah Melayu dikarang oleh Tun Seri Lanang, Taju`s-Salatin dikarang oleh Bukhari al-Jauhari, Bustanu`s-Salatin oleh Nuruddin ar-Raniri, Tuhfatu`n-Nafis oleh Raja Ali Haji, Nasihat Raja-Raja dikarang oleh Syeikh Abdul Qadir dari Terengganu. Segala urusan pentadbiran kerajaan negeri-negeri dan surat menyurat – termasuk dengan perwakilan asing, adalah menggunakan huruf jawi. Pendeknya segala urusan yang melibatkan penulisan di Alam Melayu adalah menggunakan tulisan jawi. Ini berlaku sejak kedatangan Islam dan berterusan hingga selepas pencapaian kemerdekaan (Pemasyhuran Kemerdekaan Negara juga di dalam tulisan jawi). Segala maklumat yang berhubung dengan sejarah, keilmuan, budaya, seni dan sastera adalah terakam di dalam tulisan jawi. Islam mengangkat martabat bahasa Melayu dari bahasa setempat kepada bahasa ilmiah dan pentadbiran.Tulisan rumi mengambil peranan sebagai abjad utama selepas 1960an dan mulai dari masa itu jawi menghadapi zaman malap.

Sebagai khazanah budaya yang merakam maklumat tamadun dan peradaban bangsa, kita tidak boleh membiarkan tulisan jawi terus malap dan ditelan zaman. Usaha hendaklah dilakukan bagi menyelamat dan mengekalkan tulisan jawi. Antara tindakan yang perlu diambil ,

* Jawi menjadi sebahagian dari kurikulum pelajaran pada peringkat sekolah dan pengajian tinggi, khususnya bagi kursus-kursus yang releven.
* Mewajibkan penggunaannya di sekolah-sekolah agama.
* Menjadikannya sebahagian dari pendidikan seni. Melatih menulis khat yang berbagai bentuk seperti nasakh, raq`ah, thuluth, diwani, raihani dan berbagai lagi
* Menghidupkannya dengan pertandingan tulisan khat pada peringkat persekolahan dan terbuka.
* Menerbitkan buku dan karya-karya terpilih di dalam tulisan jawi.
* Pengajaran dan penggunaannya di masjid dan surau.
* Mengadakan bengkel dan pameran khat dengan ditaja oleh pihak-pihak tertentu
* Jabatan-jabatan agama hendaklah digalakkan menggunakan jawi
* Jadikan khat jawi sebagai bahan hiasan di rumah, bangunan dan dimana bersesuaian.
* Melatih seniman-seniman khattat yang berkelayakan dan dapat berdikari dari segi penghasilan seni dan pemasaran
* Menubuhkan persatuan khattat pada peringkat daerah, negeri dan Negara.
* Menjadikan tulisan jawi sebahagian dari penerbitan majalah dan akhbar
* Dan berbagai-bagai cara lagi yang difikirkan sesuai.

Jawi perlu dipertahankan. Ianya mempunyai pertalian rapat dengan al-Qur`an dan pendidikan keagamaan. Sebahagian besar dari khazanah budaya dan arkib maklumat bagi orang Melayu terakam di dalam tulisan jawi. Kita perlu menggali khazanah budaya disamping terus memperkayakannya.
Marilah sama kita membuka Mesyuarat Agung PENJAWIS dengan al-Fatihah.
Wassalam.

Dr. Shafie Abu Bakar,

15 Jamadil Awal 1430
10 Mei 2009.

No comments:

Post a Comment