April 9, 2009

Keputusan Pilihanraya Menggugat Kepimpinan BN, Menuntut Pembersihan

Kesimpulan yang dapat dibuat dari keputusan pilihanraya tiga serangkai, biarpun BN dapat mempertahankan kerusi DUN di Batang Ai di Sarawak (BN - Malcom 3,907) Berbanding dengan Keadilan (Jawah, 2,053), tetapi dengan kekalahan BN (Ismail 19,071) dan pertambahan undi PAS di kerusi Parlimen Bukit Gantang (Nizar 21,860), Perak dan kerusi DUN di Bukit Selambau. Kedah BN (Ganesan 10, 229) dan Keadilan (Manikumar 12,632) juga dengan pertambahan undi berbanding dengan pilihanraya sebelumnya (Mac 2008) membuka ruang kepada interpretasi, jangkaan dan kemungkinan.

Pertunjuk yang paling utama ialah mengisyaratkan kepimpinan Najib yang baru dilantik menjadi Perdana Menteri sejak 3 April 2009 itu tidak diterima baik oleh rakyat bahkan dipertikaikan. Najib yang cuba menanam budi diawal perlantikannya dengan melepaskan 13 tahanan ISA, janji mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri dan menarik balik larangan Harakah dan Suara Keadilan tidak berjaya menimbulkan kejutan dan tidak dianggap significant. Melepaskan tahanan sempena permulaan menjadi Perdana Menteri dianggap sebagai perkara biasa, tentunya diucapkan terima kasih, sempena permulaan pemerintahan yang biasa dilakukan oleh pemimpin-pemimpin lain, manakala janji untuk mengkaji ISA, mungkin tidak banyak perubahan akan dilakukan, lantaran ISA dijangka tidak akan dihapuskan, bahkan diteruskan, kerana ianya merupakan senjata yang ampuh yang pada peringkat akhir dipergunakan bagi menyekat sebarang tentangan terhadap pemerintah. Manakala tindakan menarik balik larangan penerbitan terhadap Harakah berkuatkuasa serrta merta dianggap suatu gimik polotik, bahkan melucukan, larangan yang baru dilaksanakan seminggu dari tiga bulan larangan yang pada asalnya bagi kepentingan politik Menteri Dalam Negeri dikira sebagai kurniaan sempena perlantikan Perdana Menteri. Tindakan melarang penerbitan ini menjadikan rakyat lebih simpati terhadap PAS dan Keadilan dan menambahkan undi simpati kepada Pakatan Rakyat bagi pilihanraya kecil terutama di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Rakyat Mahu Pembersihan

Rakyat lebih berminat dan mengharap tuntutan `membersih diri` seorang Perdana Menteri dari sebarang tanggapan salah. Ini lebih penting bagi wibawa seorang Perdana Menteri yang bukan saja berdepan dengan rakyat, tetapi dunia global. Seorang Perdana Menteri naik dan dilantik atas kapasitinya mengetuai sebuah kabinet pemerintahan! Bukan atas diri perseorangan. Sudah bukan rahsia lagi gejala rasuah berlaku di kalangan tokoh-tokoh politik dan pengikut UMNO-BN. Pihak Jawatankuasa Disiplin Parti telah menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang terlibat. Antara mereka kehilangan peluang kedudukan pada peringkat tinggi di dalam parti. Rakyat bukanlah mereka yang bodoh dan tidak boleh diperbodohkan. Mereka melihat ada double standard dari segi rasuah. Nampaknya rasuah di dalam parti, `tidak dianggap rasuah' di luar parti. Mereka dihukum dalam parti, tetapi tidak dianggap sebagai kesalahan awam yang patut diambil tindakan sama ada di dalam parti atau di luar parti. Pada hal rasuah tetap rasuah sama ada di dalam atau di luar parti. Ada pula yang disifatkan sebagai separuh rasuah dan separuh tidak rasuah dan dianggap sebagai tidak rasuah dan dimaafkan. Dari segi amalan seorang Menteri dilucutkan jawatan kerana rasuah politik, tetapi pada lain kali yang terlibat dengan rasuah politik dikekalkan menjadi Ketua Menteri. Begitu tidak konsisten dengan perundangan. Dalam hal ini rakyat memandang rasuah menyelubungi UMNO-BN dan watak-watak di dalamnya hingga membawa kepada tokoh-tokoh di dalam kabinet. Walaupun pada hakikatnya tidak semua sedemikian. Di dalam kempen pilihanraya di Bukit Gantang isu ini digunakan, bahkan isu dianggap larangan turut digunakan. Dalam kempen pilihanraya pihak UMNO-BN terdiam dari memberi respond dan jawapan !
Rakyat melihat persoalan besar seperti rasuah ini perlu dibersihkan dan ditunjukkan bersih kepada rakyat, agar mereka yakin dengan pemerintahan. Isu ini antara perkara yang tidak dapat diberi jawapan dan tidak meyakinkan rakyat menyebabkan mereka menolak BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Rampasan Kuasa

Kemenangan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dengan majoriti bertambah, ditafsirkan sebagai manifestasi ketidaksenangan rakyat terhadap peristiwa rampasan kuasa dilakukan oleh BN pada 4 Februari 2009 secara tidak demokratik. Ini mengundang simpati rakyat terhadap Datuk Seri Nizar. Usaha beliau terutama bersama Speaker Sivakumar, walaupun dihalang, bahkan dilarang dari mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri hingga terpaksa bersidang di bawah pokok itu mengundang kepada tindakan undang-undang dan siri-siri berkaitan yang masih berjalan dan belum berkeputusan. Tindakan-tindakan yang diambil terhadap Datuk Seri Nizar dan usahanya mempertahankan kedudukan dari satu segi dilihat adalah sebagai proses mematangkan kepimpinan dan perwatakan Datuk Seri Nizar. Ternyata beliau adalah seorang pemimpin yang berkualiti dan berkarisma. Ini adalah antara faktor beliau menjadi pilihan rakyat pada pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang. Kita percaya dengan ujian yang dilalui dan kemantapannya, beliau akan menjadi pemimpin Pakatan yang berwibawa dan cemerlang pada masa akan datang

Suara Pembelaan

Bagi pilihanraya terutama di Bukit Gantang dan Bukit Selambau baik secara langsung, maupun secara tidak langsung, khususnya dengan tindakan yang diambil terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak, khususnya terhadap Menteri Besarnya Datuk Seri Nizar dilihat sebagai watak yang ditindas dan pembela, dan S.Manikumar dari PKR di Bukit Selambau dilihat berada pada pihak pembela orang-orang India teraniaya. Contoh kes penamgkapan dan kematian orang India dalam hubungan dengan pihak berkuasa. Dengan keberadaan pada pihak membela yang teraniaya kerana dirampas kuasa secara tidak demokratik, membela mereka yang teraniaya menjadikan calon-calon Pakatan Rakyat pada pihak tertindas. Mereka menyuarakan pembelaan dan keadilan. Jadi mereka berada pada tapak yang kukuh dari segi perjuangan. Kontras dengan kedudukan ini pihak BN dilihat sebagai tidak adil, merampas kuasa di samping perasuah. Ada label-label yang dikenakan terhadap Pakatan Rakyat, iaitu Penderhaka Terhadap Sultan, terutama bagi menarik sokongan dari orang-orang Melayu, namun soal menderhaka ini dapat dibuktikan lebih banyak (13 episod) dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dari UMNO-BN. Ini termasuk usaha Dr Mahathir pada November 1983 selaku Perdana Menteri pada masa menjalankan kempen menarik kuasa-kuasa Raja-Raja Melayu. Sebab itu dapat dilihat usaha Dr Mahathir kembali campur tangan di dalam politik selepas berundurnya Tun Abdullah Badawi dan turunnya Dr. Mahathir berkempen di Bukit Gantang tidak dapat menambahkan sokongan rakyat terhadap BN, tetapi mengurangkan sokongan, kerana rakyat tidak lupa kepada peranan beliau – terutama menarik kuasa Raja-Raja Melayu. Sebab itu sekiranya ada usaha Najib untuk membawa kembali Dr Mahathir berperanan dalam politik, sama ada secara langsung atau bersifat proksi, hendaklah difikir semasak-masaknya, adakah ia menguntungkan UMNO-BN atau sebaliknya.

Prospek Masa Depan

Selepas pilihanraya ke 12 Mac 2008, prospek masa depan Pakatan Rakyat semakin cerah. Lima buah negeri telah dapat ditawan. Beberapa pilihanraya kecil penting selepas pilihanraya Mac 2008, memperlihatkan Pakatan Rakyat terus mendapat sokongan dan kemenangan dari pilihanraya peringkat Parlimen di Permatang Pauh, membawa ke Kuala Terengganu dan terbaru di Bukit Gantang. Rampasan kuasa di negeri Perak yang di rancang oleh Najib benar-benar membuatkan pimpinan BN berada di dalam dilema. Pada peringkat awal, mereka termasuk Najib, Zahid dan Zambry merasa megah terhadap kejayaan mereka menguasai Perak secara haram dan tidak demokratik. Tetapi bukan saja pemimpin di dalam BN dianggap bijaksana, tetapi pihak Pakatan Rakyat tidak kurang dari tokoh dan pakar-pakar yang menyanggah kedudukan kerajaan haram di negeri Perak. Keadaan pemerintahan di negeri Perak di bawah BN bukan saja lumpuh, tetapi di dalam dilema. Dengan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat yang makin bertambah dan kekalahan mereka di dalam pilihanraya di Bukit Gantang, mereka amat gentar dengan desakan agar berdepan pilihanraya bagi kerusi-kerusi DUN di negeri Perak. Pilihanraya bagi keseluruhan DUN di negeri Perak patut diadakan bagi mengatasi kemelut politik di negeri Perak dan mandapat mandat bersih dan baru dari rakyat. Sebenarnya kita menjangkakan, jika UMNO-BN tidak dapat membersihkan diri, rasuah masih terus bermaharajalela dan cabinet baru yang tidak mantap, maka harapan Pakatan Rakyat untuk memerintah pada peringkat Negara dan negeri adalah cerah. Syaratnya Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpinnya hendaklah berpegang teguh dengan nilai-nilai murni, terus membela rakyat, mementingkan keadilan, berkebajikan, tidak bias terhadap satu kaum dan menekan kaum yang lain. Insya Allah rakyat akan memberi dan terus meningkatkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Sekian. Terima kasih.

Dr. Shafie Abu Bakar

Bangi,

13 Rabiul Akhir 1430
09 April 2009.

No comments:

Post a Comment