June 23, 2008

Kata-kata aluan MB Selangor Sempena Perasmian Pelancaran Bangi Bandar Ilmu

Ucapan Perasmian Pelancaran Bangi Bandar Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah....
Waasolatuwasslamu’ala asyrafil ambiyai wal mursalin Wa’ala alihi wasahbihi ajma’in....

Saudara Pengerusi Majlis,
Yang Berhormat Dr. Halimah Ali, Ahli Mesyuatrat Kerajaan Negri Selangor
Yang Berhormat Dr. Shafie Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Kawasan bangi
Ahli-ahli Yang Berhormat
Yang Berbahagia Dato Adanan Isman, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Dato-dato, datin-datin
tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Pertama-tamanya, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberi nikmat kepada kita, dapat bertemu dalam majlis perasmian pelancaran bangi Bandar Ilmu pada pagi ini.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Dr. Shafie Abu Bakar yang telah mengilhamkan inisiatif ini iaitu mahu menjadikan Bangi sebagai Bandar Ilmu.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian;
Usaha yang dilakukan ini sebenarnya sangat bertepatan dengan matlamat dan cita-cita Kerajaan Negeri Selangor sendiri. YB berhasrat menjadikan Selangor sebagai hub ilmu.
Baru-baru ini exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, iaitu Yang Berhormat Dr. Halimah Ali, kerajaan negeri baru-baru ini telah memulakan program mennjejaki para ilmuan di seluruh negeri Selangor. Program ini dinamakan "jejak ilmuan."
Program jejak ilmuan ini ialah mencari dan menjejaki para ilmuan terbilang di seluruh negeri Selangor ini bagi membentuk suatu data-base ilmuan, dengan tujuan untuk memastikan para sarjana dan ilmuan diletakkan di tempat yang mulia, dipandang tinggi dan dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat, khususnya golongan muda hari ini.
Oleh yang demikian, pelancaran Bangi Bandar Ilmu pada hari ini sangat bertepatan dengan hasrat dan cita-cita kerajaan negeri tersebut. Dengan usaha-usaha murni seperti ini, baik yang dilaksanakan di peringkat negeri ataupun di peringkat DUN-DUN, saya percaya rakyat Malaysia, khususnya rakyat Selangor akan mendapat rahmat dan hikmat kewujudan para ilmuan semua.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian; Ilmu sangat penting dalam kehidupan, tidak kira dalam era mana kehidupan itu, lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan ini. Ini kerana dengan ilmulah manusia boleh maju dan mencipta lebih banyak pembaharuan di atas muka bumi ini bagi memenuhi maksud "Khalifah fi al-Ard." Betapa besarnya peranan ilmu, begitulah juga besarnya peranan para ilmuan. Tanpa mereka siapalah kita semua. Sebab itu Allah SWT telah berfirman di dalam surah az-Zumar ayat 9 yang bermaksud' "Katakanlah; apakah sama antara orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu..." Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya; "Sesiapa yang mahukan kehidupan dunia maka ia mesti berilmu, sesiapa yang mahukan kehidupan Akhirat dia mesti berilmu, dan sesiapa yang mahukan kehidupan kedua-duanya sekali dia mesti berilmu."




Tuan-tuan dan puan-puan sekelian; Saya yakin kita semua sangat gembira sekiranya Bangi boleh memimpin dalam memertabatkan ilmu dan para ilmuan. Bangi mempunyai prasarana yang baik bagi menjadikannya benar-benar Bandar Ilmu kerana Bangi berada di persekitaran yang baik dan kondusif serta dikelilingi oleh banyak institusi pengajian tinggi yang tersohor. Bangi bukan sahaja dihuni oleh ramai para ilmuan, malah sarat dengan pakar-pakar dalam pelbagai bidang ilmu, baik di peringkat tempatan mahupun peringkat antarabangsa. Sebagai Bandar Ilmu, Bangi mesti realistik. Oleh itu, sebelum masyarakat luar menikmati ilmu yang ada di Bangi ini, masyarakat setempat mesti terlebih dahulu mendapat nikmat limpahan ilmu Bangi ini.



Tuan-tuan dan puan-puan sekelian; Saya percaya Yang Berhormat Dr. Shafie Abu bakar mampu merealisasikan cita-cita murni ini, sebab beliau memangterkenal sebagai tokoh masyarakat yang cintakan ilmu dan budaya, serta sangat rapat dengan semua lapisan masyarakat di segenap peringkat. Buat akhirnya, sekali lagi saya dan Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat ADUN Bangi dan Ahli Jawatankuasa atas inisiatif menjadikan Bangi sebagai Bandar Ilmu. Saya berdoa, mudah-mudahan ianya berjalan lancar. Dengan ucapan ini, saya doa semoga usaha menjadikan Bangi Bandar Ilmu ini sebagai Bandar Ilmu menjadi kenyataan dan dengan lafaz bismillahhirrahmanirrahim, dengan ini saya merasmikan program Bangi Bandar Ilmu. Sekian terimakasih. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment