April 30, 2008

Program Integriti Wajib ?

Sinopsis Berita Harian 23 April 2008 bertajuk “Program Integriti Wajib”

Datuk Seri Rais Yatim(Menteri Luar) mencadangkan agar program integriti yang selama ini hanya dijalankan kepada kakitangan dan penjawat awam diteruskan pula kepada Ahli Parlimen, ahli Exco negeri, menteri serta timbalan menteri bagi memastikan mereka dapat menghayati dan mengamalkan prinsip integriti.

Kata beliau, pemimpin politik tanpa mengira parti dan kedudukan harus menyertai kursus atau program integriti bagi memastikan mereka dapat menjadi contoh kepada masyarakat untuk menerapkan nilai murni.

Katanya lagi, beliau akan mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya semua pemimpin politik diwajibkan menyertai program integriti yang dilaksanakan di Institut Integriti Malaysia (IIM) yang selama ini hanya membabitkan pegawai kerajaan saja. Dan beliau telahpun mencadangkan idea ini kepada Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Mohd Tap Salleh.

Harapan daripada pelaksanaan program ini adalah agar ianya mampu membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI). Tahun lalu, Malaysia berada pada kedudukan ke-43 dalam senarai 180 negara yang disenaraikan dalam kajian CPI, meningkat daripada tangga ke-44 tahun sebelumnya. Mengikut CPI, kutipan mata tertinggi iaitu 10 menunjukkan negara itu bebas daripada gejala rasuah.( Rujuk : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/BeritaUtama/20080423011339/Article/)

Ulasan :

Program/ kursus integriti ini dilihat sebagai kesinambungan usaha BN untuk meneruskan penguasaan mereka kepada tahap yang lebih jauh iaitu percubaan menguasai pemikiran pemimpin-pemimpin parti politik. Apa yang dimaksudkan ialah kesinambungan daripada program PLKN untuk pelajar lepasan SPM, BTN untuk kakitangan kerajaan dan pelajar kampus. Dan Kursus Integriti untuk wakil rakyat.

Kalau sekiranya integriti yang mahu dipasak dalam kehidupan pemimpin, saya kira bukan itu cara yang terbaik untuk dilaksanakan. Program seperti ini seolah-olah mahu memperbudakkan pemimpin yang bertaraf exco dan ahli parlimen. Ahli-ahli YB dipaksa hadir, dikurung beberapa jam atau beberapa hari dan kemudiannya dikursuskan mengikut acuan yang dikehendaki pihak berkuasa. Persoalannya, kenapa hari ini iaitu setelah “kalah” dalam PRU-12 baru pemimpin UMNO/ BN mahu perjuangkan soal integriti? Adakah sebelum ini mereka merasakan bahawa mereka sudah punya integriti. Kenapa perlu diadakan satu program khusus untuk tujuan ini?

Pelaksanaan prinsip integriti ini sudah cukup sekiranya penerapan nilai-nilai kesyumulan Islam itu dilaksanakan dengan komited. Malah lebih daripada itu, prinsip-prinsip lain seperti akauntabiliti, transperansi, good governance dan sebagainya mampu diangkat seandainya konsep Islam syumul ini diterapkan. Kerana apa? Tidak lain adalah kerana Islam menekankan akhlak sempurna, konsep amanah dan pertanggungjawaban (rujuk ayat 188, al-baqarah, ayat 62, 68, 93/ al-a’raf,ayat 27 al-anfal), keadilan (rujuk ayat 8/ al-maidah,,ayat 188/al-baqarah, ayat 58/ al-nisa’,ayat 105/ al-nisa’, ayat 152/al-an’am, ayat 118/ ali imran dan banyak lagi), ekonomi (ayat 7/ al-hasyr, ayat 275, 276, 278, 279 al-baqarah, ayat 130/ali imran, 161/al-nisa’).

Pelaksanaan prinsip integriti kepada kakitangan kerajaan pula tidak harus dilihat mampu dijalankan dengan baik hanya sekadar mengadakan program atau kursus semata-mata. Peranan media cetak dan media elektronik harus dipertingkatkan kearah kesedaran tentang prinsip integriti ini. Bukan setakat iklan atau kempen semata-mata malah malalui filem, drama dan sebagainya.

Namun, seandainya program ini hendak dilaksanakan juga, harus kita cadangkan kepada pemimpin UMNO/ BN supaya ianya hanya dilaksanakan di kalangan mereka sahaja. Sebab, yang selalu kedengaran tentang kepincangan akhlak/moral, salah laku sexs, rasuah, salah guna kuasa ialah dari kalangan pimpinan UMNO/ BN. Analogi mudah, kenapa harus kita masukkan pelajar cemerlang ke kelas pemulihan sedangkan kelas pemulihan hanya untuk mereka yang lemah?

Bangi
24 Rabiulakhir 1429 H
30 April 2008

2 comments:

  1. Minta YB lebih aktif dalam memberi comment terhadap comment 2 yang telah diberikan dalam blog ini. takut nanti ada yang jemu dengan blog ini.

    ReplyDelete
  2. Taman Kajang Baru dan MPKj

    Tanggal 22 April 2008 bahagian dapur sebuah rumah di Taman Kajang Baru menyembah bumi. Seorang bapa dalam lingkungan umur 60an terselamat dari mala petaka apabila beliau yang baru sahaja menggunakan tandas yang terletak di bahagian dapur itu sudah berada di ruang tamu. Akibatnya beberapa buah rumah teres dua tingkat yang bersambung dengan rumah tersebut turut mengalami rekahan teruk....

    dari tengkujamali.blogspot.com

    ReplyDelete