January 1, 2008

Wajarkah Hishammuddin melenting?

Membaca kenyataan keras Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn yang menjadi berita utama di muka hadapan bagi sebuah akhbar perdana tanahair (BH, 21 Julai 2007) begitu mengejutkan.

Beliau memberi amaran secara terbuka terhadap MCA agar menghentikan kenyataan bahawa , `Malaysia Negara sekular`. Kejutan ini menggerak penulis mencari balik berita yang menjadi kemarahan Hishammuddin dari timbunan akhbar yang telah dibaca untuk diteliti kembali.

Rupanya ianya sebagai reaksi lanjut dari kenyataan Dato' Seri Najib Tun Razak Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam sidang akhbar (UM, 18 Julai 2007:4) selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Peranan Negara-Negara Islam Dalam Dunia Global di Kuala Lumpur.

Kenyataan Najib mungkin untuk menyesuaikan dengan persidangan yang dihadiri mewakili Perdana Menteri tetapi mempunyai implikasi tersendiri. Kenyataan Najib, Malaysia bukan Negara Sekular sebagaimana difahami Barat, tetapi `Negara Islam` berdasarkan dokumen Perlembagaan yang menyebut bahawa, `Agama Islam adalah Agama Rasmi Negara`, tetapi tidak pernah menafikan hak-hak kaum bukan Islam di Negara ini. Kenyataan seperti ini juga termuat di dalam akhbar perdana berbahasa Inggeris (NST, July 18, 2007: 2).

Bahkan sebuah akhbar yang agak kritikal dan popular pada hari kenyataan dikeluarkan, bukan saja memuatkan kenyataan Najib pada halaman pertama, tetapi menyiarkan reaksi dan pendapat tokoh-tokoh dalam bidang perundangan dan tokoh-tokoh politik pada halaman kedua keluaran yang sama. (the Sun, July 18, 2007: 2).

Apa yang dirujuk oleh Hishammuddin ialah terhadap komen yang dibuat oleh Setiausaha Agung MCA Datuk Ong Ka Chuan yang dianggap di luar kewajaran kerana mencanggahi kepimpinan secara terbuka, bahawa Malaysia adalah Negara sekular berdasarkan dokumen-dokumen sejarah antaranya Reid Report, Cobbold Commission dan keputusan Mahkamah Tinggi 1988 berhubung dengan `Public Prosecutor versus Che Omar (NST, July 19, 2007: 18).

Turut menyiarkan pendapat kalangan pengamal perundangan dan ahli-ahli politik pada hari yang sama oleh sebuah akhbar lain (The Star, Julay 19, 2007: N19).

Bukan perkara baru

Penulis dapati isu yang ditimbulkan oleh Dato' Seri Najib bukan perkara baru. Tetapi dengan kedudukannya tidak dijangka diucapkan oleh Najib kerana boleh membawa implikasi sokongan dan penentangan di dalam dan di luar komponan BN juga desakan dari lawan untuk meningkatkan komitmen terhadap Islam sebenar, bahkan boleh disifatkan kenyataan Najib sebagai senjata makan tuan.

Soal sekular dan Islam Negara Malaysia, sememangnya sejak masa Tunku Abdul Rahman memerintah beliau dengan jelas menekankan Malaya/Malaysia adalah Negara sekular dan bukan Negara Islam.

Sebagai bukti beliau pernah berkata, `Undang-undang Tuhan jangan dicampurkan dengan undang-undang Negara` (Qalam Bil. 127, Sya`ban 1380/ Februari 1961: 2). Sikap dan pendirian pemerintah (BN) kekal, yakni memisahkan Islam dari pemerintahan.

Perubahan BN/UMNO berhubung dengan Islam berlaku selepas 1970an-1990an, apabila berlakunya kesedaran dan kebangkitan Islam pada peringkat global dan tempatan dan melihat kepada umat Islam condong dan cenderung memberi sokongan terhadap Islam, maka timbullah pada zaman pemerintahan Dr. Mahathir pendekatan bagi memperlihatkan Umno bukan saja parti kebangsaan, tetapi Islam, maka dipopularkan slogan seperti `penerapan nilai-nilai Islam`.

Pendekatan ini tidak lain dari untuk menarik sokongan dari orang-orang Melayu yang sememangnya kuat berpegang dengan Islam. Perubahan dari segi pendekatan politik UMNO terhadap Negara ini dari sekular kepada Islam lebih jelas apabila Dr. Mahathir di dalam satu ucapan pada perhimpunan Parti Gerakan Malaysia pada 29 September 2001 mengisytiharkan `Malaysia sebagai Negara Islam`.

Perubahan ini disifatkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai menjenamakan `kereta lembu dengan jenama Mercedes`. Perubahan ini (Malaysia Negara Islam) mendapat tentangan terutamanya dari parti DAP, contoh dari Encik Karpal Singh dan En. Lim Kit Siang yang banyak diungkapkan dalam ucapan-ucapan mereka.

Sesungguhnya isu Malaysia adakah Negara Islam atau sekular bukan perkara baru, tetapi bagi Najib tidak perlu menyentuhnya dan lebih wajar mengelak diri, tetapi setelah diungkapkan tidak sewajarnya Hishammuddin melenting!

Jadi apabila Hishammuddin memberi amaran keras terhadap MCA agar tidak membincangkan soal Malaysia sebagai Negara Islam atau sekular menimbulkan pertanyaan kepada kita, apakah wajar beliau melarang dari membincangkannya ?

Kita berpendapat amaran Hishammuddin bercanggah dengan ketelusan yang harus diberi, bahkan digalakkan kepada rakyat 'exercise' secara akademik atau perbincangan biasa Hishammuddin sendiri sebagai seorang tokoh yang memimpin satu kementerian yang mengungguli ilmu wajar menggalakkan perbincangan.

Rakyat berdepan dengan peruntukan perlembagaan, realiti amalan pemerintahan dan kehidupan masyarakat. Di samping itu kita juga berdepan dengan tuntutan pihak yang maukan Malaysia sebagai negara Islam sebenar kerana melihat Negara ini bukan menepati Negara Islam di samping ada yang melihat pemerintahan adalah secara `sekular`. Adalah lebih baik perkara ini diperbincangkan secara telus dan terbuka.

Ketiga-tiga pihak, iaitu pihak yang melihat Negara ini adalah Negara Islam, pihak yang melihat Negara ini masih bukan Negara Islam dan Negara ini adalah Negara sekular membentangkan pendapat mereka secara serius dan rasional agar kefahaman berpihak kepada rakyat dan bukannya emosi dan taassub menyekat kefahaman dan realiti yang dihadapi mereka.

Adalah malang dan mendukacitakan jika perkara ini dihalang apa lagi ditakut-takutkan. Rakyat jangan dibiarkan dalam gelap dan ragu tanpa pedoman.

Apa yang kita nampak amaran Hishammuddin bukan saja amaran terhadap MCA, sebenarnya adalah amaran terhadap para professional bidang perundangan, akademik, ahli politik, NGO dan orang perseorangan. Adakah beliau berhak memberi amaran dan melarang ?

Di dalam hal ini Dato' Seri Najib yang mengeluarkan pendapat Malaysia negara Islam dan beliau lebih banyak menerima kritikan tidak melenting dan tidak menempelak terhadap mereka yang mengkritik pendapat beliau.

Najib memberi pendapat beliau berdasarkan perlembagaan yang memperuntukkan di dalam artikal 3 (1) bahawa `Agama Rasmi Persekutuan adalah agama Islam`, tetapi penganut agama lain berhak mengamalkan agama mereka secara aman`.

Sekular

Bagi yang melihat bahawa Malaysia adalah sebagai Negara sekular mempunyai hujah-hujah masing-masing. Ong Ka Chuan Setiausaha Agung MCA yang menjadi objek amaran Hishammuddin menghujahkan bahawa Malaysia sebagai Negara sekular.

Menurutnya bukti-bukti nyata dari dokumen-dokumen sejarah Laporan Reid, Suruhanjaya Cobbold dan keputusan Mahkamah Agung pada tahun 1988. Beliau juga menghujahkan kontrek sosial yang dipersetujui oleh generasi pemimpin lepas. Mengulas lanjut beliau menghujahkan, berdasarkan Memorandum Bersama kepada Suruhanjaya Reid bertarikh 27 September 1956 pada halaman 19 menyebut bahawa:

``The religion of Malaya shall be Islam. The observance of this principle shall not impose any disability on non-Muslim nationals professing and practicing their own religion, and shall not imply the state is not secular state.`` (NST, July 19, 2007: 18).

Ong juga menekankan pendirian Tengku Abdul Rahman yang menurutnya pernah berkata di dalam satu mesyuarat bertarikh 17 April 1957, bahawa seluruh kandungan perlembagaan berasaskan Negara sekular.

Beliau menambah bahawa nota-nota di Pejabat Jajahan British bertarikh 23 Mei, 1957 bersidang menyebut bahawa delegasi bersama menekankan bahawa , mereka tidak berhasrat menjadikan masyarakat theokrasi dan Malaya adalah Negara sekular.

Hujah-hujah bersifat historical dan kontrak sosial juga diutarakan oleh seperti Ahli Parlimen Kota Melaka Wong Nai Chee, manakala Ambiga Sreenevasan Presiden bagi Bar Council Malaysia berpendapat dengan melihat pada Perlembagaan, sistem pentadbiran kerajaan dan perjalanan perundangan sudah menunjukkan bahawa Negara ini adalah secular (the Star, July 19, 2007: N19). Berdasarkan Perlembagaan bahawa Malaysia adalah Negara sekular juga merupakan pendapat Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai (the Sun, July 18, 2007: 2).

Tidak sekular

Berlainan dengan pendapat-pendapat yang mengatakan Malaysia adalah Negara sekular ialah pendapat yang mengatakan, Malaysia bukannya Negara sekular (not a secular state).

Hujah ini berdasarkan kepada perlembagaan artikal 3(1) yang menyebut bahawa `Islam is the religion of the Federation`. Pendapat ini dikemukakan oleh Profesor Dr. Abdul Aziz Bari Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Baginya Malaysia boleh dikatakan sebagai Negara orang Islam yang boleh diinterpretasi secara khusus (But it is acceptable to say Malaysia is `an Islamic nation with its own interpretation`` (the Sun, July 18, 2007: 2).

Dari segi interpretasinya boleh ditambah Negara orang Islam ini lantaran dilihat dari berbagai-bagai ciri.

Antaranya majoriti rakyatnya beragama Islam. Malaysia dikelompokkan ke dalam Negara-negara Islam dan berada di dalam kesatuan Negara-negara Islam (OIC) dan turut memimpin kesatuan tersebut. Kedaulatan Tertingginya, iaitu Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Dipertuan Agong sebagai lambang Tertinggi dan Pelindung Islam dan Raja-Raja di negeri-negeri pula adalah Pelindung Islam di negeri-negeri masing-masing.

Terdapat jabatan-jabatan yang melaksanakan pentadbiran Islam seperti majlis-majlis agama dan jabatan-jabatan agama Islam di Wilayah dan negeri-negeri. Terdapat jawatan-jawatan yang bersifat Islam seperti mufti, kadhi, khatib, imam dan sebagainya.

Rakyat mengamalkan aturan-aturan syariat seperti di dalam bidang ibadat, munakahat dan sebahagian dari muamalat. Syiar-syiar Islam terdapat dengan banyaknya seperti masjid, surau, sekolah-sekolah agama, cara berpakaian, adat istiadat dan akhlak menurut aturan dan batas keislaman.

Terdapat institusi ekonomi dan amalan yang berkaitan seperti zakat, waqaf, bahkan terdapat Bank Islam. Walau bagaimana berhubung dengan Bank Islam ini terdapat rakyat yang melahirkan rintihan, bahawa beban bayaran balik bagi pinjaman Bank Islam lebih tinggi dari bank konvensional, lantaran itu dipersoalkan apakah ianya mencerminkan keislaman dan diharapkan pihak JAKIM memberi perhatian.

Atas faktor-faktor yang sedemikian dan faktor-faktor ini boleh ditambah lagi bahawa Malaysia adalah Negara orang Islam yang mempunyai masyarakat Islam. Walau bagaimana ianya masih tidak boleh dianggap sebagai `Negara Islam` dalam erti kata sebenarnya.

Tidak sekular dan tidak negara Islam

Dengan wujudnya fakta-fakta yang boleh ditegakkan yang bagi satu pihak mendakwa Malaysia Negara sekular dan pihak lain melihatnya bukan sekular, Profesor Dr. Shad Saleem Faruqi dari UITM berpendapat, Malaysia bukan sebuah Negara sekular, tetapi di dalam masa yang sama ianya bukan Negara Islam.

Menurutnya; `The Constitution is the supreme law of the nation. So it does not permit a conclusion that we are a full-fledged Islamic state` (the Sun, July 18, 2007: 2).

Dengan dakwaan pihak yang menentang mengatakan Negara Malaysia sebagai negara Islam dan mengatakannya sebagai sekular, pendapat yang mengatakan bahawa Malaysia adalah Negara orang Islam yang mempunyai masyarakat Islam dan tidak Negara Islam dan tidak pula sebagai sekular membuktikan kebenaran dari segi perjuangan PAS yang berpendapat bahawa Malaysia bukannya sebagai Negara Islam dalam erti kata sebenar-benarnya dan adalah menjadi ideal perjuangan bagi PAS untuk menegakkan Negara Islam.

Islam atau sekular tidak cukup pada fakta tersurat tetapi hendaklah ditegak secara amali dan jamai. Tetapi menyedari realiti masyarakat Malaysia, maka perlembagaan Pas Bab Ketiga , Fasal 5 secara realistik menyebut tujuan PAS ialah: Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah dan mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara.

PAS melihat walaupun perlembagaan Malaysia merakamlan bahawa Islam agama rasmi Negara, tetapi dari segi praktiknya banyak yang memperlihatkan tidak Islamik bahkan bercanggah bukan saja dengan prinsip Islam, tetapi juga bercanggah dengan perundangan, keadilan dan kemanusiaan.

Pemerintahan Negara bukan saja tidak Islamik, tetapi bercanggah dari demokrasi yang seharusnya dijunjung kerajaan seperti banyak berlakunya kes-kes rasuah yang dikaitkan dengan pihak pemerintah, pegawai-pegawai dan pentadbir-pentadbir, penyelewengan dasar Negara seperti DEB yang tidak sebenarnya membela bumiputra, tetapi secara sindiran dikatakan membela umnoputra, penyalahgunaan dadah yang meluas dan meningkatnya kadar jenayah, masalah moral dan sosial di dalam Negara, tiadanya kebebasan dalam media, dasar hiburan yang melampau yang bertujuan menenggelamkan, terutama golongan muda di dalam arus hidonisme agar mereka tidak menjadi golongan yang mengkritik dan menentang kerajaan.

Pendidikan agama tidak diberi perhatian bahkan kelihatan ditekan. Bagi yang mampu menyambung pelajaran ke peringkat tinggi mereka dibelenggu dengan hutang, disekat dengan berbagai-bagai akta agar mereka lembek dan lumpuh dan tidak melawan.

Begitu juga kalangan akademik dan pegawai-pegawai turut diikat dengan aku janji dan akta-akta. Kaedah demokrasi berjalan dengan tempang, persempadanan pilihan raya dilakukan secara bepihak kepada BN, perjalanan pilihan raya tidak telus dan diragui dan tuntutan-tuntutan pembangkang dan NGO tidak dilayan. Keputusan perundangan dipersoalkan.

Dasar pendidikan Negara bukan saja tidak Islamik, tetapi diubah-ubah menurut selera dan kemahuan pihak berkenaan. Tuntutan rakyat di dalam bidang pendidikan tidak diberi perhatian dan banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan.

Apakah motif Najib dan Hishammuddin?

Dengan bukti-bukti yang dibicarakan menunjukkan Malaysia bukan Negara Islam, jadi apakah motif dengan cara tiba-tiba dan mengejutkan Najib mengatakan Malaysia Negara Islam ? Ianya tidak lain dari bermotifkan politik.

Najib sedar sentimen orang Melayu terhadap Islam adalah tinggi. Mereka menyokong perjuangan keislaman termasuk parti yang berjuang menegakkan Islam. Dalam suasana pilihan raya yang makin mendekat Umno memerlukan sokongan orang Melayu, termasuk di Kelantan terhadap UMNO & BN. lantaran itu beliau menyatakan bahawa Malaysia adalah Negara Islam secara agak janggal dan luar dari konteks dan suasana perjuangan Umno.

Mengapa pula tiba-tiba Hishammuddin melenting dan penuh emosi memberi amaran terhadap MCA agar tidak memperkatakan soal Malaysia Negara sekular, juga bermotifkan politik.

Sebenarnya apa yang diharapkan Datuk Seri Najib untuk mendapat sokongan orang Melayu dengan Malaysia Negara Islam belum tentu dapat, tetapi sebagai implikasi Najib berdepan dengan penyangkalan dan kemarahan orang bukan Melayu dan bukan Islam sebagaimana telah diperkatakan.

Bagi menyekat sentimen orang bukan Melayu yang merugikan BN, sebab itu secara melenting dan emosi Hishammuddin mengeluarkan amaran. Ini bukan kali pertama beliau bersikap demikian. Orang masih ingat emosinya beliau `Menghunus Keris` dalam persidangan Umno dan amaran-amaran beliau yang lain.

Tidak ada salahnya

Tidak ada salahnya membincangkan perlembagaan yang memayungi Negara. Ianya memberi kefahaman kepada rakyat dari segi fakta dan huraian. Kefahaman mengelak dari beremosi dan dapat memperlihatkan kewajaran huraian yang masing-masing tegakkan.

Sebenarnya artikal 3(1) `Islam Agama Rasmi Negara, tetapi penganut-penganut agama lain boleh mempraktikkan kepercayaan mereka secara aman` boleh dibincang dan diolah secara akademik, intelektual dan memanfaatkan.

Sebagai satu dokumen artikal 3(1) memancarakan realiti sejarah yang dilalui. Negara kita pernah menerima pengaruh tamadun besar seperti dari India, Cina, Islam dan Barat.

Aspek ini wajar dibicarakan di universiti, ianya lebih baik dari apa yang diajar mengenai `Hubungan Etnik` di universiti sekarang yang mau mewujudkan perpaduan, tetapi kurang dari ilmiah dan peradaban.

Artikal 3(1) menjadi pintu yang membuka ruang ke arah penerokaan peradaban dan mendidik pelajar dan masyarakat secara intelektual bukan secara takut-takut dan hati-hati tetapi terbuka.

Ianya tidak memerlukan teks khusus seperti pada peringkat anak-anak sekolah rendah dan menengah, kerana sumber kesemua peradaban ini banyak tertulis dan terhimpun di perpustakaan-perpustakaan.

Lebih dari itu artikal 3(1) memberi ruang kepada mereka yang mengatakan Malaysia Negara Sekular, Malaysia bukan Negara Islam dan mereka yang maukan nilai Islam mengambil pendekatan secara dialog peradaban di dalam erti kata yang luas.

Ianya tidak semestinya melalui pehimpunan secara persidangan dan ceramah di ruang-ruang bangunan, tetapi melalui berbagai medium komunikasi. Dengan itu masyarakat dapat memahami apa itu kebudayaan dan pemikiran falsafah Cina dan India, mengapa barat memisahkan Kristian dari kenegaraan dan apakah hubungan liberal dengan sekular dan apakah yang ditawarkan oleh Islam sebagai satu cara hidup dunia-akhirat.

Berikut dengan itu secara jujur perlu dibincangkan, apakah masyarakat kita memerlukan kehidupan liberal dan sekular sebagaimana dialami barat ataukah kita maukan kemajuan yang tegak melalui nilai-nilai murni dan berakhlak yang dapat mengatur hidup kita secara selamat.

Masalah kita sebenarnya ialah tidak kenal dan tidak memahami, lantas membuat dakwaan mengelirukan dan ancaman menakut-nakutkan.

Sekian.

Bangi,
12 Rajab 1428.

No comments:

Post a Comment