December 31, 2007

Selangor makin bercelaru

Membaca berita dan menatap wajah Menteri Besar Selangor Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dipaparkan melalui akhbar-akhbar harian, contoh di dalam The Star (28 Okt. 2006: N10) dan New Straits Times (Nov. 21, 2006: 14) mengatakan bahawa wajah menteri berkenaan makin ceria, muda dan lebih 'handsome', dan berubah dari wajah sebelumnya yang disifatkan sebagai tidak terurus, letih dan kelihatan lebih tua dari umur sebenarnya (41).

Kita tersenyum dan membayangkan, tentulah Dato' Seri Khir Toyo mendapat nasihat dan bertindak menggunakan perunding imej, kecantikan dan keterampilan (ketampanan?) hingga membawa kepada perubahan imej dan wajahnya kepada lebih ceria, muda dan tidak lagi berkaca mata (melalui plastik surgery). Keceriaan ini sepatutnya memberi kesan kepada suasana dan iklim pentadbirannya kepada yang lebih positif, rancak dan menguntungkan negeri Selangor.

Walau bagaimanapun kebelakangan ini, keadaan menjadi terbalik dan kontradik dari segi politik dan pentadbirannya. Isu 'Istana Zakaria' yang mulai terbongkar pertengahan Oktober 2006 menjadi permulaan terserlahnya atau dibangkitkan kembali beberapa penyalahgunaan kuasa, kronisme dan nepotisme di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Negeri Selangor.

'Istana Zakaria' tidak mendapat kelulusan plan dari MPK bagi bangunan yang terbina di atas tanah seluas lebih kurang seekar (43,000 kaki persegi) di tengah kawasan perumahan rakyat di Kampung Idaman Pandamaran yang dijangka berharga berjuta-juta ringgit.

Isu ini menggugat kredebiliti Menteri Besar yang terlepas pandang masalah di majlis perbandaran berkenaan yang sepatutnya diberi pengawasan. Tuanku Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengarah Zakaria menemui baginda pada Isnin 23 Oktober, namun gagal hadir, tetapi akhirnya menemui baginda pada 28 Oktober di Istana Kayangan dan Zakaria diminta baginda meletakkan jawatan.

Atas desakan rakyat antaranya melalui tunjuk-tunjuk perasaan pada hari dan waktu Zakaria menemui Tuanku dan berikutnya yang diadakan di hadapan 'Istana Zakaria' dan pembongkaran oleh akhbar-akhbar menunjukkan Zakaria juga menyalahgunakan kuasa menggunakan tanah reserve kerajaan mendirikan warung DZ Satay kepunyaannya di Pandamaran.

Beberapa orang lagi ahli MPK membina banglo mereka tanpa mendapat kelulusan plan dari MPK seperti Mazlynoor Abdul Latiff dan Faizal Abdullah yang membina banglo mereka di Kg. Raja Uda Klang. Faizal meletakkan jawatan dari ahli MPK. Selain dari mereka bertiga terdapat beberapa orang ahli MPK yang melanggar peraturan MPK.

Mereka ialah Dato' Song Kee Chat, Samad Ahmad dan Alex Thiagarasan. Apa yang mengejutkan dua dari anak menantu Zakaria menjadi ahli MPK, iaitu Zainuri Zakaria dan menantunya Roselinda Abdul Jamil. Apabila perkara ini dibangkitkan, sebagaimana trend biasa Khir Toyo mempertahankan apa yang dianggap nepotisme dan menyeleweng.

Dalam perkara wujudnya bapa dan anak menantu di dalam MPK ini (juga berlaku kepada Speaker Tan Sri Onn Ismail yang pada satu masa anaknya Senator Datin Paduka Nor Hayati dan bekas suaminya Suffian dan menantunya Faizal Abdullah serentak menjadi ahli MPK), Khir Toyo mengatakan bahawa:

'there is nothing wrong in appointing three members of a family as municipal councilors.' (Sunday Star, 15 October, 2006: 5).

Jawapan Khir Toyo ini membangkitkan kemarahan di kalangan persatuan pengguna, persatuan penduduk, badan-badan perniagaan dan media, Khir Toyo akhirnya mengalah dan anak Zakaria, Zainuri meletakkan jawatan.

Kebobrokan pentadbiran yang lain

Apa yang berlaku di MPK adalah contoh dan cerminan yang berlaku di majlis-majlis perbandaran dan pentadbiran yang lain sehingga kepada pentadbiran pada peringkat negeri. Ada kecenderungan pada peringkat majlis perbandaran dan jabatan-jabatan melindungi apa yang dianggap menyeleweng di dalam jabatan-jabatan dan institusi-institusi tertentu.

Ahli-ahli majlis yang dilantik tidak berani menimbulkan sebarang penyelewengan, kerana menjaga kedudukan mereka dan takut melibatkan kepentingan mereka. Hal ini terus terpendam, kecuali jika ianya terbongkar oleh faktor luar seperti yang berlaku kepada Dato' Zakaria di MPK.

Kebobrokan pada peringkat negeri

Masalah kebobrokan pentadbiran dan tindakan-tindakan dapat dipersoalkan ini tidak saja berlaku pada peringkat majlis perbandaran, tetapi juga pada peringkat negeri. Baru-baru ini ditimbulkan mengenai 'Mahligai Exco di Seksyen 7, Shah Alam'.

Pada peringkat pertama didedahkan pada awal Mac 2005 dulu oleh YB Teng Chang Khim, Khir Toyo cuba mempertahankan 10 buah banglo yang dibina adalah untuk kepentingan pentadbiran. Alasannya Exco mudah dipanggil apabila mereka berada pada satu tempat khas dan tidak berlaku kelewatan kehadiran terutama bagi mesyuarat-mesyuarat penting.

Khir Toyo menafikan yang harga 'mahligai-mahligai' berkenaan bukannya RM40 juta, tetapi hanya RM21 juta sahaja dan kononnya merupakan perumahan seperti rumah-rumah diperuntukkan kepada pegawai-pegawai kerajaan. Ianya tidak semestinya dihuni oleh kalangan Exco, tetapi oleh pegawai-pegawai yang lain.

Namun setelah dua tahun berlalu dan berikut dari isu 'Istana Zakaria', isu 'Mahligai Exco' ini diselidiki dan ditampilkan kembali. Maklumat yang didedahkan adalah mengejutkan. The Star Metro melaporkan bahawa mahligai Exco adalah seperti perkampungan hantu, lapor akhbar itu:

'Two years on, most of the exco members aren't even living at the more than RM20mil. Exco Village. Instead their relatives occupy some of the furnished homes. One use it as a guest house`. (The Star Metro, Monday 13 November 2006: M1).

Jelaslah tujuan asal pembinaan banglo untuk ahli exco bermukim di perkampungan Exco tidak berlaku. Hanya beberapa kerat yang menggunakannya sekali sekala. Yang lain lebih selesa tinggal di rumah masing-masing. Tiga buah daripadanya dihuni oleh turunan keluarga exco. Sepanjang 2 tahun rumah kelab hanya diguna sebanyak tiga kali.

Jelasnya projek berkenaan adalah satu pembaziran dan penyalahgunaan harta negeri dan rakyat. Pendudukan oleh turunan keluarga boleh disifatkan sebagai penyalahgunaan hak dan kuasa. Walau bagaimanapun Setiausaha Kerajaan Negeri cuba mempertahankan kewajaran keluarga dari turunan exco mendiami mahligai exco itu dengan katanya:

'there was nothing wrong with relatives living in the village as given their duties as state government leaders and assemblymen.' (The Star Metro, Monday 13 November, 2006:M3).

Apa yang berlaku adalah dari tindakan yang tidak teliti, tidak diasaskan kepada kajian dan tidak pendahulukan sesuatu yang lebih penting dari yang kurang penting bagi rakyat. Barangkali tindakan yang diambil memperlihatkan Selangor kononnya negeri mewah sehingga tidak ada lagi ruang perlu disalurkan kepada rakyat, kerana meraka semuanya makmur?. Sebab itu dibangunkan 'mahligai' bagi kalangan atasan untuk bermewah-mewah.

Sebenarnya ada rakyat Selangor yang peka dan tidak sanggup menutup mata terhadap pentadbiran dan perancangan yang dianggap tidak wajar dan perlu dipersoalkan. Misalnya di samping kerajaan negeri bermewah-mewah, kerajaan negeri dipersoalkan tentang kerugian beberapa syarikat kerajaan negeri Selangor.

YB Teng Chang Khim walaupun digantung dari menghadiri DUN hingga akhir 2007, mempersoalkan kerugian yang dialami Syarikat Kumpulan Hartanah Selangor Bhd.yang mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM188.87 milion dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd. yang juga mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM97.904 milion. Kerugian ini (RM 286 milion) merupakan satu perempat bajet tahunan bagi negeri Selangor (The Star, Tuesday 21 Mach, 2006: N 18).

Kepekaan rakyat turut mempersoalkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri dapat dilihat dari pertukaran pegawai-pegawai kerajaan pada peringkat atasan yang dilihat antaranya bersifat abnormal dan kemungkinan mempunyai unsur-unsur kronisme.

Satu yang di luar kebiasaan dan tidak sepatutnya terjadi ialah pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Ramlan Othman kepada jawatan Datuk Bandar Shah Alam yang lebih rendah dari jawatan yang dipegang sebelumnya (Setiausaha Kerajaan Negeri) pada September yang lepas, manakala Datuk Bandar Shah Alam, iaitu Dato' Ramli Mahmud dipromosi menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri. Ini bermakna bos sebelumnya (Ramlan) turun dan berada di bawah Ramli secara terbalik menjadi bosnya pula.

Pertukaran yang seumpama ini disifatkan sebagai abnormal dan sepatutnya tidak berlaku. Sepatutnya Ramlan bersara, kerana usianya telah melewati umur persaraan. Apakah wujudnya unsur kronisme di sini? Pertukaran-pertukaran lain dari kalangan pegawai tinggi kerajaan negeri, YDP majlis perbandaran dan pegawai secara ad hoc juga menimbulkan kekecohan dan pertanyaan (The Star Metro, 25 September 2006: M4).

Berbagai-bagai permasalahan

Apa yang dibicarakan di atas adalah merupakan sebahagian dari permasalahan yang dihadapi pada peringkat negeri dan majlis perbandaran. Sudah tentu banyak lagi persoalan-persoalan yang menggugat kerajaan dan pentadbiran tempatan.

Pada peringkat kerajaan negeri boleh dipersoalkan tentang kegagalan kerajaan negeri membendung dari berulangnya gejala alam seperti penarahan dan penggondolan tanah contoh di kawasan Bukit Cahaya, Shah Alam yang merosakkan alam sekitar, tanah runtuh, rumah roboh yang banyak berlaku di Ampang dan Hulu Klang, banjir kilat, jerebu, pembuangan sampah, pencemaran sungai, air pili yang kotor, pembuangan bahan toksik yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang awam, gejala maksiat, penyalahgunaan dadah, dengue, berbagai jenayah, kemalangan jalanraya yang tinggi, peragut dan penyeluk saku, perompak dan pembunuhan.

Pada peringkat majlis perbandaran isu 'Istana Zakaria' dan perlanggaran peraturan yang ramai dilakukan oleh ahli MPK hanya bersifat permukaan, banyak lagi kesalahan-kesalahan yang seumpamanya berlaku di majlis-majlis perbandaran yang lain yang terpendam dan masih belum terbongkar dan sudah tentu mahu dipendamkan.

Contoh monopoli billboard di Majlis Perbandaran Petaling Jaya oleh satu syarikat selama 30 tahun, kecurian pasir, pengambilan tanah awam untuk rekreasi secara sewenang-wenang yang kononnya untuk pembangunan dan perubuhan rumah-rumah rakyat secara kasar dan zalim.

Di Kajang umpamanya terdapat beberapa projek yang terbiar dan membazir seperti muzium satay, water park berdekatan muzium berkenaan, penjualan tanah kerajaan kepada syarikat tertentu yang dipersoalkan. Manakala ada pelantikan ahli majlis begitu lama dan dipersoalkan fungsinya, penyaluran projek-projek kepada ahli-ahli majlis tertentu dan sebagainya.

Cara mengatasinya

Sejak isu 'Istana Zakaria' timbul dan pendedahan berbagai penyelewengan dan perlanggaran aturan oleh ahli-ahli majlis sendiri, turut ditimbulkan kembali isu-isu yang lepas terutamanya berhubung dengan majlis perbandaran. Berbagai-bagai cadangan dikemukakan di dalam media bagi memperbaiki pentadbiran dan perjalanan pemerintahan.

Pada peringkat negeri dasar pemerintahan dan pentadbiran adalah digubal di Dewan Undangan Negeri dan diperturunkan projek dan pembangunan melalui exco. Mereka adalah dipilih rakyat melalui pilihan raya. Perlembagaan Negara dan negeri memang memperuntukkan peranan pemerintah dan pembangkang di dalam pemerintahan.

Pemerintah membentang perancangan, projek dan peruntukan yang akan dilaksanakan di dalam negeri, tetapi tidak semestinya apa yang dirancang terbaik untuk rakyat, ianya perlu diperhalusi, dikritik dan dinilai. Mana-mana yang tidak penting dan merugikan rakyat perlu ditolak. Keadaan yang sama sewajarnya berlaku pada `PihakBerkuasa Tempatan` (PBT). Apa yang berlaku, khususnya di negeri Selangor kini dan juga ahli majlis tempatan, ialah pembentangan, perancangan dan peruntukan merupakan pembentangan dari satu pihak.

Pada peringkat DUN, mereka hampir semua dari satu pihak (BN), maka di dalam persidangan ahli-ahli lebih bersifat menerima, walaupun mereka boleh memberi pendapat, tidak akan ada yang mau menentang dan membangkang. Masing-masing lebih terdorong untuk menjaga kedudukan dan kepentingan diri. Dalam hal ini penting wujudnya pembangkang yang seimbang yang berani mengkritik dan menampilkan cadangan-cadangan yang bersifat konkrit. Pihak kerajaan (BN) di DUN Selangor pernah mengungkapkan, bahawa DUN tidak memerlukan kepada pembangkang, mereka akan wujudkan kelompok dari kalangan mereka sebagai pembangkang.

Walau bagaimanapun cadangan ini tidak pernah wujud dan terlaksana. Sebab itu sifat penguasaan satu pihak berlaku, bahkan mereka sebenarnya tidak suka dikritik dan dibangkang, sebab itu wujudnya pembangkang di DUN Selangor, walaupun dengan 2 suara mereka cuba menafi dan menggantung salah seorang dari mereka yang dianggap lantang dan mampu menggugat perjalanan DUN dan mengkritik perjalanan kerajaan negeri.

Sebab itu jalan terbaik bagi memperbaiki perjalanan kerajaan negeri ialah dengan memilih dan menghantar wakil-wakil dari kalangan pembangkang. Jangan sekali-kali memberi majoriti tinggi kepada pemerintah. Jika tidak kebobrokan dan penyelewengan akan berlaku. Tidak ada suasana yang menggalakkan mereka mengkritik dan mereka cenderung untuk memelihara kedudukan dan kepentingan masing-masing.

Bagi PBT yang dikenali sebagai majlis perbandaran, cara perlantikan sekarang dipersoalkan. Komitmen mereka juga diragui. Mereka adalah dilantik, sememangnya mereka dikehendaki memberi fikiran dan cadangan berdasarkan kepakaran masing-masing. Tetapi masalah yang menjadi kekangan, bahawa mereka dikuasai oleh politik yang sebahagian dari ahli dari parti politik yang berkuasa. Mereka ini sebenarnya berkuasa.

YDP Majlis biasanya tunduk di bawah kekuasaan mereka. Dengan kedudukan ini ahli-ahli yang dilantik lebih selesa berdiam diri dan menurut kehendak dan perancangan pihak berkuasa politik. Jika mereka sedikit radikal dan membuat bangkangan, apalagi yang menjejaskan parti dan kekuasaan yang menguasai dewan, mereka akan dipandang serong, maka kedudukan mereka dan masa depan mereka di majlis tidak berpanjangan.

Cara melalui pilihan raya dan pelantikan

Cara pemerintahan Negara dan negeri kita sekarang berdasarkan pilihan raya dan perlantikan. Perlantikan secara pilihan raya, ialah melalui pilihanraya umum pada peringkat federal dan negeri yang dijalankan biasanya secara serentak. Parti yang berkuasa memerintah baik pada peringkat federal, maupun pada peringkat negeri.

Parti-parti yang menang, tetapi tidak menguasai majoriti menjadi pembangkang pada peringkat parlimen dan begitu juga pada peringkat dewan undangan negeri. Manakala satu sistem lagi ialah melalui perlantikan, iaitu pada peringkat Dewan Negara. Pada peringkat 'Kerajaan Tempatan' sejak pertengahan 1950an pelantikan dibuat adalah melalui pilihan raya `Kerajaan Tempatan`, malangnya pilihan melalui pilihan raya ini dihentikan mulai 1967 dan pelantikan dibuat oleh kekuasaan parti yang memerintah negeri.

Berbanding dengan pelantikan ahli Dewan Negara yang berperanan bermesyuarat dan menilai apa yang diputus di dalam Dewan Rakyat (biasanya tanpa pindaan), mereka tidak terdedah dengan penyelewengan-penyelewengan, sebaliknya pada peringkat 'Kerajaan Tempatan' yang kini dikenali dengan PBT atau Majlis Perbandaran, lebih dekat dan terdedah dengan penyelewengan. Melalui Majlis Perbandaran dirangka projek-projek pembangunan bagi Majlis Perbandaran dan disalurkan peruntukan-peruntukan.

Dalam hal ini ahli-ahli boleh terdedah dengan penyalahgunaan kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme sebagaimana berlaku di dalam MPK dan sebenarnya di dalam majlis-majlis perbandaran yang lain. Bukanlah sesuatu yang menjadi rahsia, ahli majlis ada yang mendapat manfaat dari projek-projek yang diluluskan oleh Majlis Perbandaran, manakala pada satu peringkat ahli-ahli majlis yang dilantik melalui politik menggunakan kedudukan dan peruntukan yang disalurkan sebagai cara mengukuhkan kedudukan politik.

Pada dasarnya amalan yang seumpama ini termasuk di bawah takrif menyalahguna kuasa dan kedudukan. Pendek kata kaedah pelantikan, kedudukan dan perjalanan majlis-majlis perbandaran sekarang penuh dengan permasalahan, tidak telus dan banyak boleh dipersoalkan.

Cadangan-cadangan

Bagi memperbaiki perjalanan majlis-majlis perbandaran sekarang sewajarnya sebuah suruhanjaya yang baru yang bebas ditubuh dan dilantik menyelidiki perjalanan majlis-majlis perbandaran sekarang. Kelemahan dan penyelewengan hendaklah dikenalpasti dan cadangan-cadangan yang konkrit hendaklah dikemukakan.

Pada peringkat federal dan negeri, sudah tentulah meneruskan sistem pilihanraya, tetapi perlu berada di bawah satu suruhanjaya yang benar-benar bebas, tidak dikongkongi kuasa yang memerintah, telus dan berwibawa. Bagi pentadbiran pada peringkat majlis perbandaran PBT cadangan-cadangan dari masyarakat hendaklah diambil kira. Tetapi setakat ini boleh dibuat rumusan ada dua perdapat yang bertentangan antara satu sama lain.

Pertama pendapat yang mencadangkan agar ahli majlis perbandaran tidak dilantik dari wakil rakyat (ADUN). Cadangan ini antaranya datang dari ahli akademik, iaitu Profesor Dr. Abdul Aziz Bari Pensyarah Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Kuala Lumpur. Menurut beliau Akta PBT sekarang mengikut Seksyen 10(2) Akta 171 memberi panduan yang jelas:

"Bahawa siapa saja yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing seperti arkitek, peguam, doktor dan sebagainya boleh dipilih sebagai ahli majlis PBT. Kerajaan negeri sebagai pihak yang memiliki bidang kuasa kepada PBT boleh memilih sesiapa saja sesuai untuk mewakili rakyat". (BM 5 November 2006: 14).

Walau bagaimana masalah pemilihan dan perjalanan banyak mengundang penyelewengan.Beliau berpendapat cara melalui pilihan raya bagi memilih ahli PBT adalah terbaik di samping pelantikan.

Walau bagaimana bagi sebagai pandangan kedua ADUN-ADUN yang terpilih contohnya di Selangor berpendapat ADUN amat wajar berada di dalam Majlis PBT, kerana ianya berada di bawah kawasan ADUN dan permasalahan yang dibangkit amat berkait dengan kewajipan ADUN dan banyak dari perkara yang releven ditimbulkan di PBT dapat dibawa ke DUN. Jika tidak permasalahan terputus dan tidak dapat diselesaikan menurut saluran secara wajar. (Sunday Star, 19 November, 2006: 23).

Kedua-dua pendapat ada kewajaran. Namun permaslahan di dalam PBT selama ini berlaku, ialah pengusaan ahli-ahli politik kerajaan BN di PBT yang membawa kepada penyalahgunaan kuasa seperti berlaku di MPK dan juga di majlis-majlis perbandaran yang lain dan tidak ada pihak yang berani menegur, walaupun dari kalangan ahli profesional yang dilantik.

Untuk membebas sepenuhnya dari kalngan politik sukar dipraktikkan, kerana pihak berkuasa yang memerintah akan mengguna berbagai saluran bagi menguasainya, walaupun tidak berada di dalam secara langsung, kerana ianya merupakan saluran penting dan berpengaruh bagi mendekati rakyat.

Antara cadangan alternatif, ialah dengan mengambil elemen pilihan raya dan pelantikan sebagaimana berlaku di Dewna Rakyat, Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara.Pelantikan dari kalangan profesional dan tokoh-tokoh terkenal tempatan yang dihormati bukan dari kalangan ahli politik hendaklah terus menjadi pilihan bagi sebahagian besar ahli PBT (24 orang), manakala dari kelangan politik hendaklah diwakili oleh semua parti yang terlibat bertanding di dalam DUN-DUN di mana PBT itu bertanding. Satu perempat dari perwakilan ahli politik ini (enam orang) diambil secara peratusan jumlah undi yang didapati oleh calon-calon yang bertanding di dalam pilihan raya.

Parti-parti akan menghantar pilihan terbaik mereka menduduki di dalam PBT. Dengan ini kemungkinan satu perempat dari ahli PBT itu terdiri dari 3 BN, 1 DAP, 1 PAS dan 1 Keadilan Rakyat. Dengan ini ada perwakilan di dalam PBT yang berani mengkritik dan memantau perjalanan PBT. Tidak sebagaimana kini.

ADUN-ADUN dari pembangkang yang menang tidak diberi peluang menduduki PBT. Bagi tujuan ini Akta Kerajaan Tempatan perlu dipinda dengan perubahan-perubahan yang lain melalui satu suruhanjaya bebas. Tanpa perubahan yang radikal dan berani, maka perjalanan PBT tidak akan berubah dan ianya tetap bermasalah dengan penyalahgunaan kuasa, bersifat kronisme dan nepotisme.

Yang penting jangan biarkan baik di dalam Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa tempatan dikuasai oleh satu pihak dan puak seperti sekarang. Pada peringkat Parlimen dan Dewan Negeri rakyat hendaklah memilih wakil-wakil secara berimbang dan di dalam PBT suara mereka dari segi politik hendaklah dipilih menurut peratusan pencapaian mereka di dalam pilihan raya. Kalau tidak ada perubahan dari segi perlantikan, maka kecelaruan seperti yang berlaku di Selangor akan berterusan.

Pemimpin-pemimpin politik berlumba-lumba mengejar kesempatan membina kemewahan, walaupun bercanggah dengan peraturan. Yang kelihatan wajah pemimpin-pemimpin makin berseri mencerminkan kekenyangan dan keselesaan, sedangkan prestasi pemerintahan dan pentadbiran makin menurun, malap dan jauh dari cemerlang.

Bangi
23 November 2006
02 Zulkaedah 1427.

No comments:

Post a Comment